USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SISWA/I KAMPUS PESISIR USM-KLE IMP, BELGAUM, INDIA KONGSI KEGEMBIRAAN SAMBUT RAMADAN BERSAMA PENDUDUK SETEMPAT

WhatsApp Image 2024 03 29 at 11.38.42 AM

USM-KLE BELGAUM, KARNATAKA INDIA, 24 Mac 2024 – Selain berjauhan dari kaum keluarga dan keceriaan suasana Ramadan di tanah air, berpuasa di perantauan sudah pasti mempunyai pelbagai keunikan ceritanya yang tersendiri.

Pengalaman berbuka puasa di bumi rempah ini sememangnya unik dan tidak akan dilupakan oleh pelajar Kampus Pesisir USM-KLE, International Medical Programme (IMP) sekaligus memberikan perspektif baharu berkenaan budaya dan amalan setempat terutama cara mereka meraikan Ramadan.

Sekumpulan pelajar Kampus Pesisir USM-KLE IMP berkongsi pengalaman mereka sewaktu berbuka puasa di Masjid Rehmaniya, Sangameshwar Nagar; Masjid Noor Ul Huda, Ambedkar Nagar; dan Masjid Zakariya, Azam Nagar, yang jaraknya sekitar 3-5 km perjalanan dari hostel pelajar.

433536594 902986451625983 1858331138662538117 n

Budaya masyarakat Islam setempat di sana adalah mereka membawa juadah masing-masing untuk dikongsi bersama sambil diiringi oleh pengumuman dan bacaan doa Iftar oleh bilal masjid yang bergema sehingga kedengaran hampir di seluruh bandar sebelum azan berkumandang.

Uniknya masyarakat Islam di sana khususnya dek kerana populasinya yang ramai, setiap masjid mempunyai kelainannya yang tersendiri dari segi cara berbuka puasa.

Namun pilihan juadah yang pelbagai seperti Nasi Dum Briyani Ayam, Samosa, Roti, Meethe Chawal dan minuman terkenal Mohabbat ka Sharbat menjadi kewajipan setiap masjid yang akan dihidangkan sebelum berbuka dan selepas solat maghrib.

Menyentuh mengenai keadaan cuaca di sana, permulaan siang boleh mencecah sekitar suhu 37 darjah Celsius manakala pada waktu malam akan menurun ke 24 darjah Celsius.

Tempoh berpuasa ternyata agak panjang sedikit berbanding di Malaysia. Subuh seawal 5.21 pagi memerlukan kekuatan yang luar biasa untuk bangun sahur manakala waktu berbuka puasa adalah sekitar jam 6.48 petang.

433476430 902986378292657 6242302200730887714 n

Lebih menariknya terdapat bazar Ramadan besar yang jaraknya hampir 10 minit dari hostel pelajar. Amat berbeza dengan di Malaysia, bazar tersebut meriah pada waktu malam sehingga dinihari berbanding di Malaysia yang dilihat meriah sebelum waktu berbuka.

Melanjutkan pengajian di perantauan semestinya mempunyai pengalamannya yang tersendiri ibarat peribahasa Melayu, jauh perjalanan luas pemandangan.

Mewarnai kanvas kehidupan dengan kepelbagaian warna di sepanjang proses pembelajaran tentunya menghasilkan identiti yang berbeza.

Semoga para pelajar dapat menyesuaikan diri dalam suasana persekitaran yang sesungguhnya berlainan daripada Malaysia apatah lagi berjauhan dari keluarga tersayang.

Teks: NirMaryadi Rashid & Haikal Ghazali, Unit Media dan Penerbitan BHEPA/Foto: MPP USM-KLE, Islamic Society & MedSoc USM-KLE

  • Created on .
  • Hits: 94

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024