USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERIMA DANA AMANAH SDG MALAYSIA-PBB, MENDIDIK KANAK-KANAK ORANG ASLI DI PAHANG KEMAHIRAN MEMBACA, MENULIS DAN MENGIRA (3M)

WhatsApp Image 2024 03 27 at 12.57.13 AM

USM PULAU PINANG, 27 Mac 2024 – Unit Peneraju Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu Universiti Sains Malaysia (USM) telah dianugerahkan geran Malaysia-United Nations (UN) SDG Trust Fund (Dana Amanah SDG Malaysia-PBB) bagi melaksanakan projek “Shaping the First Steps: Early Childhood Education in Educating Orang Asli at Pos Lenjang, Pahang” bernilai USD101,420.

Ketua Unit Peneraju, Muhamad Nur Hazim Mazlan dari Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM berkata, melalui projek tersebut, seramai 50 orang kanak-kanak Orang Asli Pos Lenjang yang berusia dari 5 hingga 6 tahun akan dibantu dan dibimbing oleh ‘coaches’ (guru tempatan komuniti) dalam usaha untuk membangunkan kemahiran membaca, menulis serta mengira (3M) melalui pendekatan pembelajaran yang berfokus, interaktif dan berkesan.

“Projek yang dijalankan dengan sokongan dana ini sememangnya menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) PBB, iaitu berkaitan SDG 3 – Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan, SDG 4 – Pendidikan Berkualiti, dan SDG 17 – Kerjasama Demi Matlamat,” katanya.

Dana Amanah SDG Malaysia-PBB melibatkan kerjasama antara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia dan Yayasan MySDG, yang disokong oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

Ia bertujuan untuk menggalakkan projek yang memberi impak positif kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di Malaysia.

Dana tersebut menggunakan pendekatan senegara (whole-of-nation) yang membolehkan Kerajaan Malaysia dan PBB bekerjasama dengan sektor swasta, NGO, CSO, akademia, orang awam dan pelbagai pihak lain untuk merealisasikan pencapaian SDG.

Dana itu bertujuan untuk membantu dalam pencapaian SDG dengan melaksanakan tindakan strategik dan substantif bagi menyokong keutamaan negara, terutamanya dengan menyasarkan kumpulan dan sektor yang ketinggalan.

Tiga outcome menyeluruh yang disasarkan:

  1. Memperkukuhkan kerjasama dengan pelbagai pemegang taruh bagi menggalakkan sinergi, kolaborasi dan impak merentas kesemua 17 SDG.
  2. Menggerakkan sumber penyampaian SDG – melalui Dana dan memangkinkan peluang SDG yang lain.
  3. Mencapai keutamaan SDG di Malaysia dengan fokus untuk memastikan bahawa tiada siapa yang akan ketinggalan.

Teks: Tan Ewe Hoe/Sumber: Facebook Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat USM  

  • Created on .
  • Hits: 147

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024