USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NC SERU WARGA USM PERBAIKI DIRI KE ARAH LEBIH BAIK SEMPENA RAMADAN

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 18 Mac 2024 – Naib Canselor (NC) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed mengajak warga Kampus Kesihatan USM untuk menjadi lebih baik berbanding tahun sebelumnya dari segi melakukan ibadah khusus dan ibadah umum termasuk cara bekerja.

WhatsApp Image 2024 03 25 at 09.18.12

Menurutnya, puasa bukan alasan untuk melengah-lengahkan kerja atau tanggungjawab kita di tempat kerja.

“Rasulullah SAW dan para sahabat sentiasa menunjukkan disiplin yang baik dalam pekerjaan harian dan juga dakwah mereka termasuk terlibat dalam beberapa peperangan yang berjaya menewaskan musuh dalam bulan Ramadan,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Iftar Perdana Naib Canselor bersama Warga Kampus Kesihatan, semalam.

Abdul Rahman turut menyeru warga Kampus Kesihatan untuk sama-sama membantu menjayakan aktiviti Ihya’ Ramadan tahun ini termasuk menyumbang kepada Tabung Aktiviti Ihya’ Ramadan.

“Setiap tahun Kampus Kesihatan USM melalui Pusat Islam mengadakan pelbagai aktiviti Ihya’ Ramadan bagi memakmurkan warga Kampus Kesihatan dan juga komuniti sekitar.

“Antara aktiviti yang dijalankan termasuk memasak juadah berbuka puasa pada setiap hari secara bergotong-royong untuk 500 hingga 700 orang terdiri daripada pelajar, staf dan ahli kariah.

“Sesungguhnya menderma dan membantu menyediakan makanan kepada orang yang berpuasa amat besar pahalanya di sisi Allah SWT,” jelasnya lagi.

Dalam majlis yang sama turut berlangsung beberapa penyampaian sumbangan iaitu bantuan sara hidup pelajar, bantuan persekolahan anak staf dan kariah, bantuan kit maidaturrahman staf dan kariah, sumbangan ke Tabung Aktiviti Ihya’ Ramadan Kampus Kesihatan USM, sumbangan kepada Pelajar Palestin dan sumbangan kepada Rumah Anak Yatim Al-Kausar serta Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Kelantan (PEKA YATIM) Desa Kujid.

WhatsApp Image 2024 03 25 at 09.18.12 3

WhatsApp Image 2024 03 25 at 09.18.12 2

WhatsApp Image 2024 03 25 at 09.18.12 4

WhatsApp Image 2024 03 25 at 09.18.12 1

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail; Pengarah Pusat Perancangan Institusi dan Strategik, Profesor Dr. Asrul Akmal Shafie; Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak; Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), Profesor Madya Dr. Aziah Ismail; Pengarah Eksekutif dan Ketua Kumpulan Perubatan Usains Healthcare Sdn. Bhd., Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim; Pengurus Bank Muamalat Malaysia Berhad Wilayah Pantai Timur, Wan Haizul Wan Zain; dan ketua-ketua jabatan Kampus Kesihatan.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 102

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024