PENDAFTARAN PELAJAR ANTARABANGSA DI SEMUA KAMPUS BERMULA HARI INI
USM PULAU PINANG, 16 Mac 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) adalah antara universiti awam yang menerima masuk ramai pelajar antarabangsa.
Seramai 42 orang pelajar antarabangsa (pengambilan baru) mulai mendaftar pada hari ini di kampus induk bagi memulakan pengajian masing-masing di pusat-pusat pengajian kampus induk USM yang dijangka akan bermula pada minggu hadapan.
Dijangkakan lebih 300 pelajar antarabangsa akan mendaftar di semua kampus USM bermula pada hari ini hingga akhir tempoh pendaftaran.
Khusus untuk kampus induk USM, pendaftaran kemasukan pelajar antarabangsa ke desasiswa dan bilik premium bermula seawal jam 8.30 pagi sehingga 4.30 petang di pejabat Pusat Perumahan dan Penginapan Universiti (HAC) serta beberapa desasiswa lain iaitu Desasiswa Restu, Saujana dan Tekun yang telah bersiap siaga untuk beroperasi pada hujung minggu ini bagi menyambut ketibaan pelajar-pelajar antarabangsa ini ke USM.
Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM mengucapkan selamat datang ke kampus kepada seluruh pelajar antarabangsa yang akan memulakan kehidupan baru pembelajaran di USM.
Tidak dilupakan juga jutaan terima kasih kepada warga BHEPA di kesemua kampus yang bertugas pada hujung minggu bagi memastikan kelancaran semasa pendaftaran desasiswa berlangsung.
Teks: NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Dokumentasi BHEPA/Foto: Pusat Perumahan dan Penginapan Universiti (HAC) USM
- Created on .
- Hits: 290