USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PUSAT ISLAM USM TERUSKAN TRADISI BERBUKA PUASA DAN PROGRAM BERSAMA KOMUNITI

USM PULAU PINANG, 21 Mac 2024 - Khemah sudahpun dipacak di hadapan Masjid Al Malik Khalid, Universiti Sains Malaysia (USM). Begitu juga dengan meja dan kerusi telahpun disusun.

Ini menandakan bulan Ramadhan telahpun tiba dan para kariah masjid telah memulakan persiapan iftar dan sebagainya, yang memberi makna bahawa USM masih meneruskan tradisi berbuka puasa melibatkan warga kampus serta penduduk setempat.

WhatsApp Image 2024 03 21 at 16.27.36

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Induk Ramadhan peringkat USM merangkap Timbalan Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Zayd Zhari, Pusat Islam USM menjemput seluruh muslimin dan muslimat, warga kampus dan komuniti qaryah untuk sama-sama melibatkan diri dalam program-program yang dianjurkan oleh Pusat Islam USM sepanjang bulan ini.

“Aktiviti yang diadakan bukan sekadar berbuka puasa, tetapi bermula dengan proses penyediaan juadah dengan bantuan kira-kira 300 tenaga kerja yang terdiri daripada warga kampus dan orang awam.

“Pembahagian tugas dilakukan bagi memudahkan kerja-kerja yang bermula daripada pembelian bahan mentah sehingga pengagihan makanan,” katanya,

Tambah Zayd, jumlah makanan yang disediakan adalah untuk kira-kira 3,000 orang dengan menu yang berbeza setiap hari, yang dipilih oleh jawatankuasa khas yang terdiri daripada kakitangan USM.

"Mereka yang ingin menikmati juadah berbuka puasa diberi dua pilihan iaitu berbuka puasa di masjid (tempat yang disediakan) atau membawa pulang juadah yang disediakan dengan membawa bekas makanan sendiri."

WhatsApp Image 2024 03 21 at 16.27.35

Menarik pada sambutan bulan Ramadhan tahun ini, pelajar antarabangsa juga turut serta dalam aktiviti yang dianjurkan. Mereka merupakan pelajar yang baru mendaftarkan diri di USM dan dalam tempoh orientasi. Bagi mereka yang bukan beragama Islam, majlis berbuka puasa beramai-ramai atau secara berjemaah ini adalah suatu pengalaman yang baharu.

Antara aktiviti-aktiviti lain yang dijalankan sepanjang bulan Ramadhan adalah solat tarawih di masjid dan surau qaryah; kuliah zohor dan kuliah subuh Ramadhan; moreh dan bubur lambuk serta sahur dan qiamullail pada 10 malam terakhir Ramadhan.

Selain itu, diselitkan juga beberapa program khas seperti Festival Musabaqah Al-Quran (FMQ), Ceramah Nuzul Al-Quran, program derma darah dan sebagainya.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 150

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024