USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KOLABORASI USM-NEXPERIA DALAM PENYELIDIKAN SEMIKONDUKTOR, BANGUNKAN BAKAT TEMPATAN

WhatsApp Image 2024 03 19 at 09.12.08

USM PULAU PINANG, 19 Mac 2024 – Nama Universiti Sains Malaysia (USM) antara universiti awam yang telah disebut oleh syarikat Nexperia Jerman ketika lawatan YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama delegasinya ke Jerman baru-baru ini.

Ianya sebahagian dari makluman yang telah dimuat naik di Facebook YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sewaktu program Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di sana. 

Makluman ini merujuk kepada Memorandum Persetujuan yang disusuli oleh Perjanjian Kolaborasi Penyelidikan (RCA) di antara Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC) USM dan Nexperia bagi membangunkan rekabentuk cip peranti penerima-penghantar (transceiver) elektronik.

Menurut Pengarah CEDEC, Profesor Madya Dr. Asrulnizam Abd Manaf, di bawah RCA ini, Nexperia telah memberikan geran industri kepada CEDEC bagi menjalankan penyelidikan rekabentuk cip peranti penerima-penghantar (transceiver) yang diketuai oleh pensyarah kanan CEDEC iaitu Dr. Jagadheswaran a/l Rajendran.

“Ia turut menyediakan dana bagi pengajian siswazah PhD dan projek penyelidikan bersama USM.

“Selain itu, Nexperia R&D Malaysia Sdn. Bhd. merupakan salah satu ‘tenant’ di Inkubator Inovasi Universiti (I2U) USM. Ini menunjukkan I2U memberikan sinergi dalam kerjasama di antara akademia dan industry,” katanya.

Nexperia ialah syarikat semikonduktor global terkemuka yang beribu pejabat di Netherlands dan telah mula bertapak di Malaysia sejak tahun 1992.  

Ia berhasrat untuk terus mengembangkan operasinya di negara kita ini, dan telah menjalin kerjasama dengan USM dan beberapa universiti awam lain untuk pembangunan bakat tempatan.

Teks: Mazlan Hanafi Basharudin

  • Created on .
  • Hits: 165

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024