USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TINGKATKAN KERJASAMA DENGAN UMS DALAM BIDANG PEMBEDAHAN DAN PERUBATAN

WhatsApp Image 2024 03 13 at 12.59.39 PM1

USM PULAU PINANG, 13 Mac 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengambil langkah untuk mengukuhkan hubungannya dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) baru-baru ini.

MoU yang dimeterai di antara USM dan UMS itu merupakan satu titik tolak dalam kajian rentas bidang dan perkongsian idea dalam kemajuan bidang perubatan pada masa kini.

Kedua-dua Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, dan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor hadir untuk menandatangani MoU tersebut.

WhatsApp Image 2024 03 13 at 12.59.39 PM

Turut hadir sebagai saksi ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman dan Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar.

Abdul Rahman berkata, “Sebagai Universiti Awam, kita semua mempunyai agenda yang sama dalam memacu kecemerlangan pendidikan tinggi negara dan kita tidak boleh bergerak sendirian pada zaman kini.”

“Justeru itu, kolaborasi antara USM dan UMS ini dilihat dapat mewujudkan dan memperluaskan lagi peluang dalam bidang penyelidikan, pendidikan dan latihan yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak serta berupaya mensejahterakan masyarakat,” katanya lagi.

Tambah beliau, kolaborasi yang terjalin ini juga adalah selaras dengan visi USM, iaitu mentransformasikan pendidikan tinggi untuk kelestarian hari esok.

Manakala Kasim menyatakan bahawa pihak UMS berhasrat untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan latihan, memastikan graduan mereka bersedia untuk cemerlang dalam bidang kepakaran masing-masing.

WhatsApp Image 2024 03 13 at 12.59.37 PM   WhatsApp Image 2024 03 13 at 12.59.38 PM

“Perkara utama di sebalik MoU ini adalah untuk memajukan program Sarjana Perubatan di dalam bidang pembedahan di UMS. Dengan adanya tenaga pengajar yang lengkap, bidang sub-kepakaran yang mahir, dan ruang bekerja yang kondusif, menjadikan USM pilihan bagi UMS untuk menjalinkan kerjasama strategik ini,” katanya lagi.

Kedua-dua pihak berharap kolaborasi tersebut akan terus berkembang dan menjadi asas kepada lebih banyak cetusan penyelidikan yang boleh dikongsi dengan pelbagai pihak.

Teks: Siti Fatimah Abu Mansor/Suntingan: Tan Ewe Hoe  

  • Created on .
  • Hits: 143

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024