USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKASA BUDAYA KEUSAHAWANAN DAN INOVASI PELAJAR MENERUSI FESUS24

35888f19 9dda 45d1 a0a6 2e694057ebe5

USM PULAU PINANG, 9 Mac 2024 – Menyedari kepentingan pendidikan keusahawanan untuk membekalkan pelajar dengan peluang dan potensi untuk memilih kerjaya sebagai usahawan, Pusat Rancangan Kokurikulum (Teras Keusahawanan), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menunjukkan komitmen terhadap pelaksanaannya.

Pada tanggal 22 - 23 Januari 2024 yang lalu, telah berlangsungnya Festival Keusahawanan dan Kelestarian 2024 (FESUS24) sebagai platform bagi pelajar-pelajar USM untuk bersama-sama menghayati budaya keusahawanan dan inovasi di samping meningkatkan nilai kebolehpasaran mereka.

Ia juga merupakan landasan terbaik golongan usahawan pelajar untuk mempromosikan produk mereka ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum USM, Profesor Madya Dr. Mohamad Haafiz Mohamad Kassim, berkata keusahawanan merupakan bidang kerjaya yang sangat penting di negara ini, dan kerajaan bermatlamat menjadikan bidang keusahawanan terutamanya sektor industri kecil dan sederhana sebagai penyumbang utama peluang pekerjaan baru, dan seterusnya membantu perkembangan ekonomi negara pada masa akan datang.

“Justeru itu, saya yakin pameran keusahawanan seperti ini mampu memperkasakan budaya keusahawanan dan inovasi dalam kalangan pelajar teras keusahawanan rancangan kokurikulum di USM.

“Ia juga merupakan peluang terbaik usahawan muda mempamerkan produk-produk tempatan dan pada masa sama kita mahu mempamerkan produk-produk antarabangsa ke pasaran lebih luas,” kata Mohamad Haafiz.

Tambahnya, “Semua kumpulan yang dibentuk telah dikhususkan satu reruai dan menariknya ada di antara kumpulan yang mendapat keuntungan bersih RM900 meskipun hanya berniaga dalam masa 4 jam sahaja."

033a59c4 48de 462b ba7d 9fc070c41a1f

Turut diadakan ialah majlis penyampaian sumbangan cek bernilai RM3,500 oleh pihak Al Kifayah Food Industries Sdn. Bhd. yang telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Safiuddin Rosli kepada Pengerusi Rancangan Keusahawanan, Profesor Madya Dr. Mohd Sayuti Hassan.

Sumbangan tersebut, mengikut Mohd Sayuti, bertujuan untuk digunakan bagi mempertingkatkan pengetahuan pelajar serta kaedah yang betul dalam usaha menjadi usahawan yang berjaya apabila tamat pengajian nanti.

Katanya, “Adalah menjadi harapan dengan pelaksanaan FESUS24, akan melahirkan graduan yang holistik dan mempunyai nilai-nilai yang bersifat positif seperti keberanian mencuba sesuatu yang baharu, pemahaman pernyataan masalah sebelum proses pembentangan solusi, keinginan untuk mencabar apa-apa norma kebiasaan dalam usaha mencari penyelesaian terbaik, semangat kebersamaan dalam perbincangan dan diskusi serta lain-lain."

“Apa yang lebih penting bagi seorang usahawan adalah keberanian untuk menghadapi kegagalan. Seorang graduan yang memiliki sifat ini tidak mudah rentan menghadapi cabaran, walaupun di era kesukaran pembangunan ekonomi dunia,” ujar Mohd Sayuti.  

Sebagai rekod, hampir 5,000 pengunjung telah memeriahkan majlis di sepanjang dua hari berlangsungnya festival tersebut di perkarangan Perpustakaan Hamzah Sendut dan ruang legar Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) yang turut mempamerkan produk-produk kelestarian.

Teks asal & Foto: Profesor Madya Dr. Mohd Sayuti Hassan & Profesor Madya Dr. Mohamad Haafiz Mohamad Kassim, Pusat Rancangan Kokurikulum, USM Kampus Induk/Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 226

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024