USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SAMBUTAN IWD2024 PULAU PINANG RAIKAN KETERANGKUMAN DALAM KOMUNITI

USM PULAU PINANG, 7 Mac 2024 - Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) buat julung kalinya hari ini telah menganjurkan Sambutan Hari Wanita Sedunia 2024 atau 'Commemoration of the International Women’s Day (IWD2024)' peringkat Negeri Pulau Pinang.

WhatsApp Image 2024 03 07 at 19.06.42

Berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM, Majlis Sambutan IWD2024 kali ke-12 itu telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak bersama isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato' Seri Utama Khadijah binti Mohd Nor, dan diserikan dengan kehadiran Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dato' Dr. Mohamad Abdul Hamid bersama isteri, Datin Noraini Abd Jalil serta barisan kepimpinan negeri.

Selaras dengan sambutan di peringkat antarabangsa, tema sambutan pada tahun ini ialah ‘Inspirasikan Keterangkuman’ (‘Inspire Inclusion’) yang menekankan inspirasi dan penglibatan dari setiap lapisan masyarakat, tanpa mengira jantina, usia, atau status Orang Kelainan Upaya (OKU), dengan harapan mencapai matlamat 'Leaving No One Behind'.

Tema ini merupakan salah satu tunjang kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Bangsa-Bangsa Bersatu, iaitu Kesaksamaan Gender (Gender Equality) – SDG 5 dan Mengurangkan Ketidaksamarataan (Reduced Inequalities) – SDG 10.

Mohamad dalam ucapan aluannya berkata, IWD2024 yang telah masuk tahun ke-12 penganjurannya telah menjadi bukti bahawa Kerajaan Negeri komited dalam mengarusperdanakan kesaksamaan gender dalam pembangunan negeri ini, dan ia dapat dilihat melalui program-program yang bersifat transformatif di bawah PWDC yang bertindak sebagai agensi pelaksana IWD2024.

WhatsApp Image 2024 03 07 at 19.06.41

“Selaras dengan visi Penang2030, Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang akan terus mempertingkat pelaksanaan strategi Dasar Keterangkuman Gender demi merapatkan jurang gender yang wujud, yang bertepatan dengan tema yang diangkat melalui sambutan IWD pada tahun ini iaitu 'Inspirasikan Keterangkuman' bagi mengintegrasikan nilai ini ke dalam dasar, program dan amalan di semua jabatan dan agensi kerajaan,” tegasnya.

Sementara itu, EXCO Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim menyenaraikan kejayaan beberapa orang wanita Malaysia yang dapat kita semua jadikan inspirasi atau ‘role model’ kepada kita semua.

“Kejayaan-kejayaan wanita ini harus menjadi sumber inspirasi dan perlu kita raikan dan teruskan yang mana laluan sudah terbuka. Teruslah menimba ilmu, kemahiran and mengasah bakat anda dalam apa jua kapasiti,” katanya.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, USM banyak bekerjasama dengan kementerian dalam penyelidikan untuk membantu menaikkan tahap sosioekonomi dan memperkasakan kepimpinan wanita.

“USM bangga mempunyai 56 peratus (%) ahli akademik wanita dan terkini dua (2) daripada empat (4) penyandang jawatan Timbalan Naib Canselor adalah wanita. Selain itu, jumlah wanita di peringkat tertinggi pengurusan pentadbiran USM telah melebihi 30%,” katanya.

“Di USM, kami selarikan pencapaian akademik dan “character building” dari segi keluhuran tingkah laku dan kerohanian. Ini terbukti dengan USM selama dua tahun berturut-turut mampu mempertahankan tempat keempat terbaik dunia dalam Times Higher Education Impact Rankings yang menyenaraikan pencapaian kelestarian global,” tambahnya lagi.

Turut diselitkan dalam majlis adalah ucaptama Timbalan Menteri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu yang bertajuk “Inspirasikan Keterangkuman” ('Inspire Inclusion'), dan forum bicarawara yang menampilkan panel-panel jemputan seperti Ikon Usahawan yang juga antara pelopor fesyen Muslimah, Mona Din; Pempengaruh Media Sosial, Celoteh Dr. Malar yang juga merupakan pegawai perubatan terkenal, Dr. Malar Santhi; dan Felo Jurutera Utama, Dr. Beth Wei Yin Yam yang dimoderatorkan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA) USM, Profesor Dr. Saidatulakmal Mohd.

Hadir sama adalah Ketua Pegawai Eksekutif  PWDC, Dato' Ong Bee Leng dan Timbalan-timbalan Naib Canselor USM.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa & Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 262

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024