USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NC USM AJAK SELURUH WARGA USM UNTUK TERUS MENGANGKAT MARTABAT UNIVERSITI

USM PULAU PINANG, 20 Februari 2023 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed hari ini mengajak semua warga universiti untuk bekerja sebagai satu pasukan untuk terus mengangkat martabat universiti sebagai sebuah institusi yang unggul.

WhatsApp Image 2024 02 20 at 18.35.56

“Sebagai sebuah universiti APEX, perjuangan kita perlulah berpaksikan kepada visi dan misi yang telah kita gariskan yang mana kedua-dua ini merupakan ‘True North’ kita sebagai warga USM,” kata Abdul Rahman ketika menyampaikan Perutusan Naib Canselor 2024 yang dihadiri kira-kira 1,000 orang warga kampus di Dewan Tuanku Syed Putra USM.

Bertemakan “Memimpin Kecemerlangan APEX”, dalam perutusan tersebut Abdul Rahman mengupas berdasarkan empat aspek utama iaitu, menghayati perjalanan APEX-USM; mengimbas kembali pencapaian sepanjang tahun 2023; memahami cabaran akan datang dan hala tuju USM tahun 2024.

“Sesungguhnya, kita amat bersyukur dengan segala kejayaan yang telah dikecapi dan sokongan yang perolehi. Namun demikian, kita perlu terus berusaha untuk menjadi sebuah institusi yang mampan kendiri (self-sustaining),” tegasnya lagi.

Dalam sesi tersebut juga Abdul Rahman turut membentangkan 10 tujahan yang memberi tumpuan kepada Inisiatif Utama APEX 2024 iaitu;

  1. Tujahan Pertama: Pemposisian dan Jenama USM
  2. Tujahan Kedua: Keunggulan Global
  3. Tujahan Ketiga: Transformasi Digital
  4. Tujahan Keempat: Pendidikan Dinamik dan Inovatif
  5. Tujahan Kelima: Ekosistem Penyelidikan dan Inovasi
  6. Tujahan Keenam: Pembangunan Bakat
  7. Tujahan Ketujuh: Kelestarian Persekitaran
  8. Tujahan Kelapan: Kelestarian Kewangan
  9. Tujahan Kesembilan: Strategic Foresight
  10. Tujahan Kesepuluh: Governans

Katanya, beliau yakin dengan pelaksanaan 10 bidang tujahan ini USM akan terus maju Memimpin Kecemerlangan APEX dan memberi sumbangan yang signifikan kepada pembangunan bakat dan kesejahteraan masyarakat di peringkat kebangsaan dan global.

“Usaha yang jitu dan komitmen yang padu daripada semua warga USM amat diperlukan kerana pastinya “yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang”,” tambahnya.

Pesan Abdul Rahman lagi agar seluruh warga USM untuk terus memelihara nama baik universiti kerana setiap tindakan kita pasti akan memberi kesan kepada semua.

Turut diselitkan dalam sesi perutusan tersebut adalah pelancaran buku APEX Key Initiatives 2024 yang disediakan oleh jawatankuasa APEX USM.

WhatsApp Image 2024 02 20 at 18.35.56 1

WhatsApp Image 2024 02 20 at 18.35.56 2

Abdul Rahman kemudiannya dibawa untuk melawat reruai pameran penyelidikan dan inovasi yang berlangsung di Foyer DTSP, USM.

WhatsApp Image 2024 02 20 at 18.35.56 3

Hadir sama adalah timbalan-timbalan Naib Canselor USM; ahli-ahli jawatankuasa pengurusan tertinggi universiti; jawatankuasa Task Force Perutusan Naib Canselor tahun 2024; ahli-ahli senat dan ketua-ketua jabatan USM.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/ Foto: Shahnizam Ab Rahim & Mohamad Nazer Abdul Hadi

  • Created on .
  • Hits: 448

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024