USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MENTERI PENDIDIKAN TINGGI LUANG MASA TEMUI BARISAN KEPIMPINAN PELAJAR USM

428314374 882295877028374 4564307925586573810 n

USM PULAU PINANG, 16 Februari 2024 – Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir hari ini hadir ke Universiti Sains Malaysia (USM) bagi mengiringi YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Utama Anwar Ibrahim bagi program Persidangan Antarabangsa Zakat Pulau Pinang 2024 (ZAPICOM 2024).

Beliau turut mengambil peluang bersarapan dan beramah mesra dengan para perwakilan mahasiswa USM di The Bricks Siswaniaga@USM.  

Dalam pertemuan ringkas namun bermakna itu, Zambry turut menitipkan amanah sambil berkongsi aspirasi beliau dengan 50 pemimpin pelajar dari barisan Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Permuafakatan Anak Negeri (MAPAN) dan Majlis Yang Di-Pertua Desasiswa (MYDP) USM yang diketuai oleh Yang Di-Pertua MPP USM, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman.

426581012 882295720361723 3683535028392032593 n

Beliau meminta mahasiswa supaya bersama-sama pihak pengurusan universiti membangunkan universiti demi kecemerlangan masa hadapan yang lebih baik.

Beliau turut memaklumkan bahawa beliau bersama pengurusan tertinggi KPT akan turun padang dan mengadakan jerayawara kelak di negeri-negeri serta akan melawat serta mendekati warga institusi pendidikan tinggi dan merasai denyut nadi mereka dalam pembangunan pendidikan tinggi di lokaliti masing-masing.

Ini merupakan lawatan sulung Zambry ke USM bertemu dengan barisan kepimpinan pelajar setelah memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia mulai 12 Disember 2023.

427689257 882346060356689 6457170829148037741 n

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha KPT, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato' Seri Dr. Awang Adek Hussin; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr. Azlinda Azman; Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed serta pegawai-pegawai utama KPT dan USM.

Zambry bersama pengurusan tertinggi KPT kemudiannya menghadiri ZAPICOM 2024, untuk menyaksikan YAB Perdana Menteri menyampaikan ucaptamanya kepada hampir 1,000 orang peserta yang telah bersidang di USM selama dua hari bermula semalam.

427636553 882295757028386 770539347909815807 n

Persidangan bertemakan "Inovasi Tadbir Urus Zakat Dalam Merapatkan Kesenjangan Sosioekonomi Ummah" tersebut telah dianjurkan secara bersama oleh Pusat Pemikiran dan Ketamadunan Islam Negeri Pulau Pinang (Al-Hady Centre); Zakat Pulau Pinang; Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB); Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM; dan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) USM.

Sumber teks: Facebook BHEPA USM, Facebook KPT dan MPRC USM   

  • Created on .
  • Hits: 214

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024