USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ZAPICON 2024 MARTABATKAN PERANAN DAN TADBIR URUS ZAKAT

WhatsApp Image 2024 02 15 at 13.14.51

USM PULAU PINANG, 15 Februari 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) dan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) diberi penghormatan menjadi penganjur bersama Persidangan Antarabangsa Zakat Pulau Pinang 2024 (ZAPICON 2024) dengan penganjur utama Pusat Kajian Pemikiran dan Ketamadunan Islam Negeri Pulau Pinang (Al-Hady Centre), Zakat Pulau Pinang, dan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang.

Majlis perasmian ZAPICON 2024 telah berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM pagi ini dan disempurnakan oleh TYT Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

WhatsApp Image 2024 02 15 at 13.14.52

Persidangan yang bertemakan “Inovasi Tadbir Urus Zakat Dalam Merapatkan Kesenjangan Sosio-Ekonomi Ummah” merupakan salah satu usaha dalam memartabatkan peranan dan tadbir urus zakat dengan lebih meluas, profesional, berteknologi dan berinovasi.

Tema ini memfokus kepada aspek pembaharuan dan penambahbaikan dalam pengurusan zakat, sama ada kutipan mahupun agihan, bagi memastikan matlamat kewajipan zakat khususnya daripada segi pemulihan ekonomi asnaf, dapat dicapai.

Faktor inovasi menjadi titik utama perbincangan supaya pengurusan zakat dapat benar-benar memberi impak kepada pemulihan ekonomi golongan asnaf.

Persidangan ini dilihat mampu mengiktiraf peranan zakat dalam merapatkan kesenjangan sosio-ekonomi ummah, seiring dengan hasrat kerajaan untuk membina masyarakat MADANI yang berilmu dan bertamadun.

Majlis turut menyaksikan pembentangan utama oleh Profesor Dr. Irfan Shauqi Beik dari Universiti Pertanian Bogor, Indonesia. Beliau merupakan Timbalan Setiausaha Agung kepada World Zakat and Waqf Forum, satu platform antarabangsa mengenai zakat dan wakaf. Beliau juga merupakan tokoh penyelidik yang banyak melakukan kajian berkenaan zakat.

Dalam persidangan ini juga, terdapat dua sesi Sidang Pleno yang mengupas tema persidangan. Bagi Sidang Pleno 1, pembentang melibatkan para pengkaji dan pengamal zakat peringkat nasional yang terdiri daripada Profesor Dato’ Dr. Noor Inayah Yaakub, Presiden/Naib Canselor, Infrastructure University Kuala Lumpur; Dato’ Amran Hazali, Ketua Pegawai Eksekutif, Zakat Pulau Pinang; Dato’ Selamat Paigo, Ketua Pengarah, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR); Profesor Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu; dan Profesor Madya Dr. Jasni Sulong, Dekan, PPIK USM.

Manakala bagi Sidang Pleno 2, pembentangan adalah gabungan daripada pengkaji dan pentadbir zakat dari Malaysia, Thailand dan Indonesia, iaitu Profesor Madya Dr. Mohd Sukki Othman, Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden & Komunikasi, Universiti Putra Malaysia; Dr. Wisoot (Tobrani) Lateh, Imam Besar Masjid Ban Nuea, Thailand; dan Bapak Mohamad Arifin Purwakananta, Deputi 1, Badan Amil Zakat Nasional (BAZNAS), Indonesia.

WhatsApp Image 2024 02 15 at 13.14.53

TYT Tun turut diiringi melawat pameran poster penyelidikan berkenaan zakat dan reruai agensi-agensi yang terlibat di ruang legar DTSP, termasuk reruai yang mempamerkan hasil kajian dan penyelidikan di peringkat Sarjana, PhD dan juga penyelidikan semasa oleh pelajar ijazah tinggi dan para pensyarah dari PPIK dan ISDEV USM.

Turut bersama ialah Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap YDP Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, YB. Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor; Rektor KITAB, Profesor Madya Dr. Wan Nazjmi Mohamed Fisol; Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin; Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; dan dif-dif kehormat yang lain.

Perkongsian utama dalam persidangan ini ialah pembentangan ucaptama daripada Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim pada keesokan hari (16 Februari 2024).

WhatsApp Image 2024 02 16 at 12.10.04

YAB Perdana Menteri juga akan melancarkan dua judul buku digital (e-Book) iaitu, buku Isu Zakat Kontemporari: Himpunan Soal Jawab Zakat dan buku berkenaan Malaysia Madani.

Turut akan hadir bersama pada hari kedua ialah Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir dan barisan pengurusan tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi.

Teks: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 198

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024