USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, UM PERKUKUH KERJASAMA PENERBITAN ILMIAH

417418492 6965295543539128 3237658601350191038 n

USM PULAU PINANG, 8 Februari 2024 – Majlis Penandatanganan Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Universiti Malaya (UM) yang dilangsungkan baru-baru ini dilihat berjaya mengukuhkan lagi kerjasama kedua-dua universiti dalam bidang penerbitan buku-buku ilmiah.

Permeteraian tersebut menyaksikan kerjasama antara kedua-dua buah universiti yang memiliki reputasi dan antara terbaik di peringkat nasional dan antarabangsa kini telah mengorak langkah bersama dalam bidang penerbitan ilmiah bagi meningkatkan imej kedua-dua universiti dalam penyelidikan dan pengembangan ilmu.

417539829 6965294586872557 1140432848141904067 n

Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM yang mewakili Naib Canselor USM, Profesor Madya Dr. Jasni Sulong berkata, USM telah menubuhkan Bahagian Penerbitan Popular (BPP) ke arah memperkasakan dasar dan strategi penerbitan untuk memastikan proses penerbitan buku dapat dilakukan dengan lebih pantas, menarik dan berdaya saing dalam industri buku.

“Sejak ditubuhkan pada 1 Januari 2022, BPP melalui imprint USM Popular telah berjaya menerbitkan 20 judul buku dalam pelbagai kategori penerbitan dan telah menjalinkan kerjasama penerbitan dengan Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, Jabatan Mufti Negeri Perlis dan Zakat Pulau Pinang,” kata Jasni.

Tambah beliau lagi, kerjasama penerbitan antara USM dan UM adalah langkah yang tepat untuk memastikan ekosistem penerbitan yang diamalkan mampu berdaya saing dan mendepani cabaran dalam industri buku pada masa hadapan.

“Dalam memacu pengisian MoA ini, saya berharap pihak USM dan UM akan bergerak dengan matlamat ke arah membentuk sebuah kerjasama penerbitan berkelas dunia yang akan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan industri buku negara dan global,” kata Jasni di majlis berkenaan.

417404873 6965293673539315 3679262463280630451 n

Sementara itu, Dekan Akademi Pengajian Islam UM yang mewakili Naib Canselor UM, Profesor Dr. Mohd Fauzi Hamat menyifatkan kerjasama ini sebagai strategi UM untuk memperhebatkan lagi penerbitan buku-buku ilmiah yang dihasilkan oleh para pensyarah dan penyelidik Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM).

Jelasnya lagi, kerjasama penerbitan ini adalah berdasarkan dapatan penyelidikan mereka berkaitan dgn isu-isu kontemporari mengenai Islam, khususnya bagi maksud perluasan sempadan ilmu, pencerahan isu dan penyelesaian masalah yang sedang dihadapi oleh masyarakat kini.

417566359 6965294946872521 7158078797349070918 n

Turut hadir ke majlis tersebut adalah Pengarah Penerbit USM, Profesor Madya Dr. Nazarudin Zainun yang turut menjadi saksi pada sesi penandatanganan MoA USM-UM; Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pembangunan) APIUM, Profesor Dr. Che Zarrina Sa’ari; Timbalan Pengarah Penerbit USM, Mohd Yusri Kamaruddin; dan Timbalan Pendaftar Penerbit USM, Dr. Nazrul Hassan.

Teks: Dr. Nazrul Hassan, Penerbit USM/Suntingan: MPRC/Foto: Syed Azreezal Syed Ahmad Mufazzal, PTPM

  • Created on .
  • Hits: 344

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024