PERSPEKTIF SEORANG PENTADBIR: MEMPERKASA INOVASI PENTADBIRAN AWAM MELALUI JARINGAN ANTARABANGSA DAN SEMANGAT KERJA BERPASUKAN
Penulis: Dato’ Dr. Musa Hj. Ali, Pengarah dan Pengasas, Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA), Universiti Sains Malaysia
Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Begitulah pepatah yang sering dikaitkan dengan sesuatu kejayaan yang tidak akan dapat dicapai tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Pepatah itu juga amat berkait dengan kembara penulis dalam menjayakan program latihan intensif yang bertujuan untuk memperkasa mutu dan kualiti penyampaian perkhidmatan awam.
Malah, artikel ini juga ditulis ketika sedang berlangsungnya program latihan di Munich, Jerman dengan kerjasama pelbagai agensi dari tiga negara. Program latihan yang dijalankan di destinasi terkemuka Eropah ini memberi fokus kepada ekosistem inovasi yang dipacu di sana. Jerman terkenal sebagai sebiah negara yang terkehadapan dalam bidang sains dan teknologi.
Program latihan berkenaan berjaya mencapai objektifnya dengan kerjasama daripada pelbagai agensi di Jerman, Switzerland dan Itali. Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Secretariat for Education, Research and Innovation (Switzerland), Munich Urban Colab, Munich Makerspace, German Entrepreneurship, TUM International, Department of Labor and Economic Development, City of Munich (German), University of Palermo (Italy), Mayor of Grafing City, Social Innovation Incubator (Grafing, Germany).
Malah terdahulu pada bulan September 2023, saya juga terlibat mengendalikan dua program latihan transformasi organisasi melalui Tadbir Urus Bersepadu (TUBE) di Indonesia dengan kerjasama Pejabat Walikota Bandung. Seusai program di Indonesia, saya memberi fokus kepada program di Jepun selepas tiga tahun tidak diadakan kerana pandemik COVID-19.
Program latihan di Tokyo yang diadakan pada awal Oktober 2023 juga berjaya mencapai sasarannya dengan kerjasama padu dari Japan-Malaysia Association dan pelbagai agensi kerajaan tempatan di Tokyo. Ia menjadi rekod tersendiri bila peserta program diberi kebenaran untuk menggunakan kemudahan di Bangunan Parlimen Jepun.
Lebih bermakna bila majlis penutup dihadiri oleh dua ahli parlimen Jepun yang juga mantan menteri kabinet Jepun yang berpengalaman luas. Ia satu penghormatan kepada peserta dan melambangkan eratnya hubungan Jepun dan Malaysia. Sesuatu yang sangat dibanggakan dan diingati khususnya oleh para peserta yang terlibat.
Program-program latihan yang dijalankan turut berperanan dalam memberi pemahaman kepada organisasi mengenai keperluan dan kepentingan proses transformasi organisasi serta mengenal pasti elemen penting dalam melaksanakannya.
Antara yang diberikan penekanan termasuk kerangka khusus pendekatan teknik TUBE, organisasi dan tuntutan perubahan+model perubahan, elemen ‘High-Tech’ dan ‘High-Touch’ dari dimensi TUBE dan mengaplikasikan teknik dalam merangka pelan tindakan peringkat organisasi dan individu.
Di Sebalik Tabir
Banyak yang dipelajari dan boleh dikongsikan dengan kejayaan penganjuran program latihan yang dianjurkan. Namun apa yang penting, di sebalik terukirnya kejayaan sudah pasti ia datang dengan pelbagai cabaran tersendiri.
Menganjurkan tiga program latihan antarabangsa di tiga negara yang berbeza dalam masa tiga bulan, dengan tiga topik berbeza bukanlah sesuatu yang mudah. Setiap negara mempunyai prosedur, sistem dan budaya kerja berbeza yang perlu difahami dan dihormati.
Ketiga-tiga program antarabangsa itu dapat dilaksanakan berkat perancangan, usaha dan doa yang berterusan. Namun bersandarkan kepada pengalaman yang ada, idea yang pada awalnya dilihat mencabar dapat direalisasikan. Saya boleh kongsikan di sini tiga perkara utama yang perlu diberi perhatian dalam menjayakan sesuatu misi atau tugas yang mencabar.
Pertamanya adalah jaringan kerjasama (networking). Dalam hal ini, untuk menjayakan program di luar negara, kita perlu mempunyai jaringan antarabangsa yang dapat menyokong apa jua perancangan yang hendak dilakukan. Tanpa kerjasama, laluan yang ditempuh mungkin sedikit sukar.
Kedua, rekod pencapaian lepas (proven track record). Saya masih ingat program latihan di Jepun hampir tidak dapat diadakan bila jaringan saya di Jepun, Professor Horie Masahiro dari GRIPS meninggal dunia tahun 2022. Sebelum ini program latihan di Jepun diselaraskan oleh beliau.
Untuk itu, saya terpaksa mencari jalan penyelesaian termasuk mengetuk pintu networking baharu yang saya tidak pernah berurusan sebelum ini seperti University of Tokyo, Tokyo Metropolitan Government, Japan Malaysia Association dan sebagainya. Dalam menyakinkan jaringan baharu ini, perkara pertama yang mereka ingin lihat adalah rekod pencapaian yang lepas.
Ketiga, sistem sokongan dari pasukan kerja. Pusat latihan yang saya pelopori iaitu Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA) tidak mempunyai staf yang ramai. Namun dengan adanya penyelarasan dan semangat kerja berpasukan yang tinggi, segala perancangan dapat direalisasikan dengan jayanya.
Alhamdulillah, dengan izinNya, tahun 2023 memperlihatkan kesinambungan kejayaan penganjuran program latihan bersepadu yang dapat menyuntik pemahaman kepada organisasi mengenai keperluan dan kepentingan proses transformasi serta mengenal pasti elemen penting dalam melaksanakannya.
Usaha ini sudah pastinya akan diteruskan dengan pelbagai kisah kejayaan. Namun apa yang penting, usaha ini akan menjadi lebih bermakna apabila setiap peserta dapat mengaplikasikan segala ilmu dan kemahiran mentadbir dalam organisasi masing-masing ke arah memperkasa kualiti penyampaian perkhidmatan awam.
- Created on .
- Hits: 444