USM NEWS PORTAL 

Rencana / Features

SESAYUP JALAN, BUKU PERTAMA USM

thumbnail FB IMG 1662513348539

PULAU PINANG, 6 Sept 2022 - Buku ini adalah hasil karya ulung Sasterawan Negara Dato' Dr. Zurinah binti Hassan semasa menuntut ilmu di Universiti Sains Malaysia. Setelah 41 tahun siapa sangka, penulis buku ini akhirnya dianugerahkan sebagai tokoh Sasterawan Negara yang ke-13 pada 13 Oktober 2015.

Bakat luar biasa Dato’ Dr. Zurinah Hassan telah dikesan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia ketika itu, Tan Sri Datuk Profesor Hamzah bin Sendut setelah melihat tulisan-tulisan beliau dalam akbar Berita Harian. Mengimbau kenangan silam, Dato’ Dr. Zurinah Hassan tidak dapat membayangkan perasaan gembiranya apabila menerima surat yang dihantar oleh Pegawai Khas Naib Canselor USM yang menzahirkan hasrat Naib Canselor untuk menerbitkan koleksi puisi tulisannya. 

FB IMG 1662513337043

Dato’ Shahnon Ahmad ketika itu diminta oleh Naib Canselor untuk menilai karya beliau. Pada mulanya Dato’ Shahnon Ahmad tidak begitu yakin dengan nilai karya tersebut. Walau bagaimanapun, selepas sebulan, beliau terus meminati hasil tersebut. Sejak itu, nama Dato' Dr. Zurinah Hassan sering meniti di bibir Dato’ Shahnon Ahmad yang mengangkat namanya sebagai penulis sastera wanita pertama negara.

FB IMG 1662513356205

Dato’ Dr. Zurinah Hassan menjadikan beberapa karya sasterawan negara sebagai bahan bacaan dan rujukan. Sebagai contoh, Dato’ A. Samad Said, Allahyarham Dato’ Dr. Haji Shahnon Ahmad, Allahyarham Dato’ Usman Awang dan beberapa lagi karya sasterawan yang telah memberikan inspirasi kepada beliau untuk menulis. Terkadang penulis yang belum terkenal juga akan menarik minat Dato’ Dr. Zurinah Hassan untuk dijadikan inspirasi apabila hasil sastera tersebut dikatakan berkualiti dan mempunyai nilai serta impak yang tersendiri.

Menurut sasterawan negara wanita pertama di Malaysia ini, waktu sesuai untuk menulis tidak kira waktu dan tempat. Yang penting, apabila ada idea yang datang, beliau akan segera mencapai pen dan kertas dan menukilkan hasil karya beliau. Beliau menzahirkan rasa gembira dan terharu terhadap pengiktirafan yang diberikan oleh USM, ia merupakan suatu penghargaan untuk dirinya apabila menerbitkan semula buku pertama beliau, Sesayup Jalan yang diterbitkan pada 1974, kira-kira 48 tahun yang lalu.

thumbnail FB IMG 1662513342297

Beliau ditemui ketika menandatangani dokumen perjanjian penerbitan buku Sesayup Jalan di Penerbit USM. Buku pertama USM ini bakal menemui pembaca pada bulan Oktober 2022 dengan konsep buku yang lebih segar dan menarik di bawah jenama USM Popular. Turut hadir ialah En Mohd Yusri Kamaruddin, Timbalan Pengarah Penerbitan merangkap Ketua Bahagian Penerbitan Popular Penerbit USM dan warga Bahagian Penerbitan Popular (BPP) Penerbit USM.

 

Teks Disediakan oleh:

Noorashikin Sharom & Nazrul Hassan/Foto: Noorashikin Sharom

  • Created on .
  • Hits: 1371

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024