PEMBUDAYAAN MINDA CERGAS SUATU KEMESTIAN
Pelajar-pelajar pada masa kini merasakan begitu terkesan dengan taraf kehidupan keluarga yang agak kurang berkemampuan di tambah pula dengan isu kenaikan harga barang, kehilangan pekerjaan, bencana alam dan pelbagai lagi. Kesan ini secara tidak langsung membawa kepada sejauh manakah kepentingan tahap kesihatan mental perlu dibincangkan.
Isu kesihatan mental adalah sesuatu yang jarang dikupas dalam kalangan pelajar-pelajar, disebabkan isu ini kurang diambil peduli oleh masyarakat. Statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) mendedahkan, satu pertiga daripada rakyat Malaysia berusia 16 tahun dan ke atas mempunyai masalah mental.
Situasi ini sudah pasti membimbangkan masa depan negara dengan masalah mental bukan saja terjadi dalam kalangan penduduk dewasa, tetapi turut berlaku kepada pelajar. Kesihatan mental dalam kalangan pelajar boleh berpunca daripada persekitaran terutama akibat tekanan pelajaran, namun perkara yang membimbangkan apabila isu ini tidak diselesaikan kerana kebanyakan individu yang mengalaminya gemar memendamkan perasaan.
Justeru itu, di atas kesedaran betapa pentingnya remaja masa kini diberikan pendedahan untuk mengelakkan daripada mengalami kemurungan akibat tekanan mental, maka Pusat Rancangan Kokurikulum, USM telah mengambil inisiatif mengadakan PROGRAM KPT PRIHATIN KOMUNITI SEJAHTERA (KRIS).
Program ini telah diadakan pada 19-21 Ogos 2022 bertempat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi Perlis dengan kerjasama pihak sekolah dan Angkatan Mahasiswa/I Perlis (AMLIS) USM, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, dan Faizuddin Center of Excellent.
Seramai 100 pelajar-pelajar tingkatan 6 telah mengambil bahagian dalam program ini.
Program ini bertujuan untuk melahirkan modal insan yang berdaya tahan dan kompetitif yang merupakan pra-syarat penting bagi menggerakkan agenda transformasi pemikiran kreatif dengan berkesan untuk mencapai agenda pembangunan negara. Justeru, modul program ini dibangunkan secara optimum agar dapat melahirkan pelajar atau para remaja masakini yang mempunyai sikap dan pemikiran progresif serta memiliki etika dan nilai yang sejajar dengan budaya negara.
Salah satu objektif program ini adalah memupuk keperibadian, jati diri dan nilai patriotik pelajar supaya berminda cergas, berketrampilan dan berkemampuan menyesuaikan diri di alam persekolahan.
Program ini dimantapkan lagi dengan kepakaran bidang penceramah yang berpengalaman dari kalangan tenaga pakar yakni anak kelahiran Negeri Perlis bagi mencapai objektif program dalam melahirkan pelajar dengan minda kelas pertama selaras dengan matlamat ke arah negara maju dan menggalakkan pemikiran yang selari dengan aspirasi masyarakat Malaysia.
Selain itu diharapkan agar program ini dapat menghasilkan nilai tambah dalam gerak-kerja, tugasan, keupayaan dan kemampuan berfikir pelajar dalam membudayakan nilai-nilai murni. Kaedah WORLDCAFE juga digunakan untuk mendapat input daripada para pelajar berkaitan dengan tahap kefahaman sepanjang mengikuti program tersebut.
Akhir sekali aktiviti seperti explore race juga dilaksanakan bagi tujuan melatih pelajar bekerjasama dalam melaksanakan sebarang tugasan secara berpaksukan dengan jayanya.
Dengan terlaksananya program ini maka adalah menjadi hasrat dan harapan Pusat Rancangan Kokurikulum, USM untuk membangunkan modal insan secara holistik, merangkumi keupayaan sahsiah dan intelektual yang mesti dimiliki oleh pelajar-pelajar bagi memandu pemikiran dan perlakuan dalam rutin harian.
Disediakan Oleh:
Prof Madya Dr. Mohd Sayuti Hassan
Timbalan Pengarah
Pusat Rancangan Kokurikulum USM
- Created on .
- Hits: 1628