USM NEWS PORTAL 

Rencana / Features

SUKARELAWAN DAN SEMANGAT CINTAKAN NEGARA

Oleh Mohd Rashid Abdul Rejab
[This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.]
 
Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memperkenalkan frasa 'Keluarga Malaysia' bagi mengajak seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan fahaman politik bersama berganding bahu membawa keluar negara ini daripada pandemik COVID-19. Keluarga Malaysia adalah nadi negara tanpa mengira agama dan bangsa. Krisis COVID-19 ternyata amat menguji semua pihak dalam pelbagai aspek, namun di sebalik krisis itu terpapar semangat kesatuan dalam kepelbagaian antara rakyat Malaysia yang saling menghulur tangan dan berganding bahu. Bersesuaian juga dengan tema Hari Kemerdekaan pada tahun ini iaitu Malaysia Prihatin.
 
Di Universiti Sains Malaysia (USM) khususnya, terdapat seramai 484 orang pelajar dan staf berbilang bangsa berkorban masa dan tenaga dan dengan sukarelanya berbakti untuk bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) USM. Mereka ini dari pelbagai latar belakang etnik, budaya, agama dan pangkat bersatu padu berganding bahu bagi memastikan semua proses kerja dan pengoperasian harian di PPV berjalan lancar sejak PPV USM dibuka pada 18 Jun 2021.
 
Sudah hampir 3 bulan PPV di USM beroperasi hasil cetusan idea Naib Canselor USM sendiri iaitu Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan. Namun apa yang lebih membanggakan dan tidak dapat disangkal adalah semangat kesukarelawanan yang amat tinggi dalam kalangan staf dan pelajar USM. Mereka sentiasa menghulurkan bantuan khususnya sukarelawan pelajar yang sanggup tidak balik ke kampung halaman walaupun sekarang ini adalah cuti semester. Mereka sanggup berkorban untuk tidak berjumpa keluarga kerana ingin mencurahkan keringat dan bakti mereka dalam membantu merealisasikan hasrat kerajaan dan negara untuk mencapai imuniti kelompok sekaligus membendung wabak COVID-19 ini.
 
Penulis yang juga bertugas sebagai ‘Floor Manager’ di PPV USM, mengambil kesempatan menemuramah beberapa sukarelawan pelajar dan staf. Berikut ialah hasil perkongsian mereka.
 
Sukarelawan pelajar:
Picture1
Muhammad Thoriq Ziyad Bin Abdullah, Pelajar Pusat Pengajian Komunikasi
Pada pandangan saya, pengorbanan untuk bertugas di PPV USM sehingga sanggup tidak balik ke kampung menjadi salah satu cara untuk saya menyumbang kepada negara dalam situasi pandemik seperti ini. Setiap hari berhadapan dengan ratusan penduduk setempat yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan latar belakang membantu saya untuk melihat sendiri kepelbagaian kaum di negara kita dengan lebih dekat. Sebagai sukarelawan, saya dan rakan-rakan lain dapat memberi sumbangan kepada negara bukan sahaja dalam melancarkan proses vaksinasi di PPV, malah turut dalam membantu negara dan kawasan setempat untuk mewujudkan imuniti kelompok, terutamanya di dalam kampus universiti. Sebagai seorang siswa dan sukarelawan PPV, inilah nilai patriotisme yang saya peroleh dengan menyertai PPV ini.
 
Picture2
Yu Yong Qing, Pelajar Pusat Pengajian Sains Fizik
Pada pandangan saya, pengorbanan ini dapat membantu penerima vaksin yang hadir bukan sahaja dari segi proses penerimaan vaksin, malah dari segi masalah MySejahtera. Ini dapat mempercepatkan proses penerima vaksin untuk mendapatkan vaksin dan juga mempercepatkan proses negara untuk mencapai imuniti kelompok di Malaysia. Bagi saya, ini merupakan salah satu cara kami sebagai sukarelawan PPV menunjukkan nilai patriotisme dengan mempertahankan negara daripada wabak COVID-19.
 
Picture3
Ezryn Natasha Binti Saipol, Pelajar Pusat Pengajian Sains Matematik
Bagi saya, Program Imunisasi seperti ini amat istimewa kerana buat pertama kalinya ia dijalankan di negara kita. Oleh itu, terasa rugi bagi saya jika melepaskan peluang keemasan untuk menjadi sukarelawan bagi program seperti ini. Selain membantu para barisan hadapan dalam melancarkan proses imunisasi rakyat di sekitar Pulau Pinang, pelbagai pengalaman dapat diambil iktibar daripada telatah dan ragam penerima vaksin yang datangnya dari bangsa dan latar belakang yang berbeza. Dari situlah kami sebagai sukarelawan mempelajari tentang adab dan budaya kaum lain. Sebagai pasukan sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai bangsa pula, kami tidak mempunyai masalah dalam mewujudkan semangat bekerjasama semasa memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat sepanjang program dijalankan. Kami berharap agar dengan usaha dan tenaga yang kami sumbangkan sepanjang menjadi sukarelawan ini dapat membantu negara dalam menangani penularan wabak COVID-19 ini. Pengalaman yang bernilai seperti ini jarang sekali kita peroleh lebih-lebih lagi dengan kehidupan dalam norma baharu seperti sekarang.
 
Sukarelawan staf:
Picture4
Puan Kayathre A/P Rama Chandran, Staf Pusat Pengajian Komunikasi
Sangat bertuah dapat bekerja di tempat seperti USM, yang mana semua kemudahan ada terutama sekali masa PKP. Bertugas sebagai sukarelawan di PPV merupakan satu peluang untuk membolehkan saya menjadi diri saya (be myself) dan membantu dalam proses pemberian vaksin kepada orang awam bagi negara mencapai imuniti kelompok.
 
Picture5
Puan Nur Eliani Binti Ahmad Ghazali, Staf Pejabat Naib Canselor
Berpeluang menjadi sukarelawan di PPV dan berkhidmat bersama-sama barisan hadapan untuk berbakti pada masyarakat serta negara adalah pengalaman berharga demi negara tercinta. Selain meningkatkan keyakinan apabila berurusan dengan individu yang tidak dikenali, saya juga amat berminat untuk melakukan kerja kebajikan seperti ini kerana ia mendatangkan kepuasan kepada saya apabila saya dapat membantu orang lain.
 
Picture6
Cik Che Sarah Binti Ibrahim, Pesara USM
Pada mulanya saya mendaftar untuk menjadi sukarelawan PPV USM bagi mengisi masa lapang. Tetapi apabila berada di situ dan melihat situasi dan keperluan, baru terasa perlu sama-sama membantu seperti perumpamaan "berat sama dipikul, ringan sama dijinjing", susah senang kita bersama. Juga kerana cintakan negara, walaupun sudah jadi “senior citizen" saya sanggup kembali menabur bakti bagi membantu menjayakan misi negara.

Perjuangan dan pengorbanan sukarelawan PPV ini adalah demi memastikan generasi akan datang dapat menikmati keamanan dan kesejahteraan di bawah lembayung sebuah negara yang memiliki semangat perpaduan yang kukuh. Bak kata pepatah, kuat berdirinya sebatang pohon kerana akarnya, begitulah jua sesebuah negara. Keluarga Malaysia adalah nadi negara, tanpa mengira agama mahupun bangsa.

*Penulis ialah Timbalan Pendaftar di Pejabat Naib Canselor USM dan juga Pegawai Khas kepada Naib Canselor USM.

 
 
 

 

  • Created on .
  • Hits: 2272

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024