USM NEWS PORTAL 

Rencana / Features

KEMANISAN ZAMAN PERSEKOLAHAN HILANG

https://www.utusan.com.my/terkini/2021/08/kemanisan-zaman-persekolahan-hilang/

Oleh Media Mulia / 29 Ogos 2021, 1:00 pm

SUDAH kelihatan asing bagi kita melihat kanak-kanak pada hari ini bermain bola dan beriadah di waktu petang bersama kawan-kawan. Apatah lagi bergaduh dan menangis akibat berkecil hati dengan kawan-kawan. Dialog seperti ‘tak nak kawan’, atau panggilan ‘jom pergi main’ sudah tidak lagi kedengaran.

Zaman kanak-kanak dilihat semakin hilang kemanisannya. Kanak-kanak pada hari ini hilang sentuhan fizikal dan emosinya apabila terpaksa melalui norma baharu akibat penularan wabak Covid-19 yang tidak nampak surutnya.

Tambahan pula dengan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) buat kali ketiga yang masih berjalan sehingga kini.

Persoalan yang sering berlegar dalam pemikiran bukan hanya ibu bapa dan guru, malah rakyat Malaysia secara umumnya, apakah kesannya terhadap kanak-kanak pada masa akan datang sekiranya PdPR diteruskan dalam tempoh terlalu lama?

Situasi ini menyebabkan kanak-kanak tidak lagi dapat bertemu kawan-kawan di sekolah. Mereka hanya bertemu secara maya di Google Meet.

Tiada lagi kelas tambahan atau aktiviti sukan yang memerlukan mereka ‘stay back’ selepas waktu persekolahan tamat. Mereka juga tidak perlu beratur di dewan dan menyanyikan lagu Negaraku.

Kanak-kanak ini secara tidak sedar telah hilang pengalaman berharga dalam hidup. Mereka hilang pengalaman dalam persahabatan kerana tidak lagi berpeluang berinteraksi dengan kawan-kawan secara bersemuka.

PERSAHABATAN

Dua perspektif utama yang perlu kita beri perhatian dalam persahabatan kanak-kanak adalah hubungan dan interaksi sosial.

Hubungan sosial yang akrab dalam persahabatan dapat memberikan kesan positif terhadap perkembangan emosi, kognitif dan akademik kanak-kanak.

Sementara itu, interaksi sosial memfokuskan pada karakteristik sahabat. Gaya tingkah laku seorang sahabat dilihat memberi pengaruh yang signifikan terhadap tingkah laku kanak-kanak dan cara berinteraksi, sama ada dari sisi positif mahupun negatif.

Jika dahulu kanak-kanak berpeluang berjumpa kawan-kawan secara bersemuka, kini mereka hanya duduk di rumah dan berjumpa secara maya. Mereka hanya mengenali antara satu sama lain di sebalik skrin laptop atau telefon pintar mereka.

Bagi kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah, akses kepada internet dan peranti elektronik bukanlah suatu perkara yang mudah untuk didapati.

Hal ini menyebabkan kanak-kanak tersebut bukan hanya hilang kemahiran interpersonal yang dipelajari di sekolah, malah menyebabkan mereka keciciran pelajaran.

Keakraban dalam hubungan persahabatan kini bukan lagi menjadi aspek utama dalam kehidupan kanak-kanak pada hari ini.

Persekitaran mereka hanyalah di rumah dan tidak dapat meneroka kehidupan dan mendapatkan kualiti pendidikan yang sama seperti ibu bapa mereka pada zaman kanak-kanak.

Kanak-kanak mungkin merasa bingung dan tidak memahami keadaan semasa ini yang boleh menambahkan rasa kekecewaan dan kegelisahan dalam diri mereka.

Langkah yang efisyen dalam menghadapi masalah ini adalah sokongan kuat daripada ibu bapa dan guru-guru, bukan hanya dari sudut akademik tetapi juga dari sudut emosi dan psikososial.

Sokongan sosial ini penting untuk kanak-kanak supaya mereka dapat menguruskan tekanan, ketakutan dan kegelisahan serta menyekat peningkatan risiko kanak-kanak terlibat dalam jenayah dan keganasan.

KEMAHIRAN INTERPERSONAL

Kemahiran interpersonal yang seharusnya dipupuk dari kecil dilihat semakin terhakis. Kanak-kanak tidak lagi mendapat peluang untuk beratur dengan kawan-kawan di kantin pada waktu rehat, membeli makanan dengan mak cik kantin dan belajar untuk menggunakan wang.

Perkara ini nampak kecil, tetapi kita mungkin tidak sedar yang kesannya sangat besar. Kanak-kanak memerlukan ruang untuk berkomunikasi dan berinteraksi.

Ruang sosial di sekolah yang sering digunakan sebelum ini adalah seperti kantin, dewan perhimpunan, kelas dan padang sekolah. Mereka berinteraksi dan bersahabat secara tidak langsung apabila mereka menggunakan ruang ini.

Walaupun kanak-kanak masih berpeluang menggunakan ruang maya untuk berinteraksi dan mempraktiskan hubungan persahabatan, namun ruang sosial maya ini lebih terhad penggunaannya berbanding ruang sosial fizikal.

Seperti yang dilaporkan oleh UNICEF, jangkitan Covid-19 mungkin memberikan kesan ringan terhadap kanak-kanak. Namun, kesan terhadap pendidikan dan kesejahteraan kanak-kanak adalah amat merisaukan.

Kita kini berhadapan dengan situasi ‘generasi yang hilang’ atau ‘lost generation’ yang mempunyai impak terhadap pencapaian akademik dan kerjaya pada masa hadapan. Sudah hampir dua tahun kanak-kanak berhadapan dengan situasi ini.

Ibu bapa mungkin sudah ‘lemas’ dengan cabaran untuk meneruskan kehidupan yang tidak pasti ini dan tidak dapat memberikan sokongan dan kasih sayang yang secukupnya untuk kanak-kanak yang semakin membesar.

Zaman kanak-kanak adalah masa yang kritikal dalam kehidupan kita yang menjadi asas keupayaan peribadi dan daya tahan emosi seseorang.

Keadaan yang getir ini memerlukan perbincangan dan perancangan rapi daripada semua pihak demi memastikan kesejahteraan mental, fizikal dan emosi kanak-kanak adalah selari dengan kejayaan akademik.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Sosiologi Persahabatan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia

-Sumber daripada Utusan Online

  • Created on .
  • Hits: 2598

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024