PENGISIAN KEMERDEKAAN DALAM KONTEKS PENDIDIKAN
Oleh: Dr. Mohamad Muzammil Mohamad Noor, Universiti Sains Malaysia
Tahun 2021, tema hari kebangsaan yang ke-64 masih dikekalkan iaitu 'Malaysia Prihatin'. Ulang tahun hari kemerdekaan kali ini menunjukkan kematangan kita dari segi fikiran dan kebebasan rakyatnya menuntut pemerintahan sendiri daripada kuasa kolonial, Inggeris. Kedaulatan negara yang lahir pada tahun 1957 kembali berada dalam peta dunia dengan nama Persekutuan Tanah Melayu atau 'Federation of Malaya' dan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Hajmenjadi Ketua Menteri yang kemudiannya ditukar kepada Perdana Menteri pertama manakala Tuanku Abdul Rahman ibni Tuanku Muhammad dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ulung. Nama 'Rahman' menjadi seolah-olah nama keramat kepada rakyatnya ketika itu.
Kemerdekaan membawa pengertian yang pelbagai atau luas maksudnya. Dalam konteks ini, bulan Ogos adalah bulan kemerdekaan bagi sebuah tanah air yang dijajah oleh bangsa luar sekian lama. Malaysia yang pernah diserang dan dijajah oleh kuasa serantaunya iaitu Aceh, Burma dan Siam; oleh kuasa Barat iaitu Portugis, Belanda, Inggeris; dan kuasa kolonial Timur, Jepun mengalami situasi yang mencemaskan kepada rakyatnya. Selepas para pemimpin silam berusaha mencapai kemerdekaan secara aman dan berunding dengan kuasa Inggeris di London mulai pada 1956, kita turut menghirup udara segar kemerdekaan.
Berbeza dengan negara jiran, Indonesia yang membebaskan tanah airnya melalui tumpahnya darah atau dengan kata lain, dengan peperangan dan ribuan kematian bangsanya, kita seharusnya bersyukur mencapai kemerdekaan dengan cara aman tanpa perang, iaitu melalui perundingan meja bulat di kota raya London.
Sebagai seorang pendidik, kemerdekaan mempunyai pengertian yang khusus lebih-lebih lagi saya yang seorang penyelidik dan pensyarah dalam bidang ilmu sejarah politik tanah air dan Indonesia. Dalam penyelidikan dan penulisan saya tentang perjuangan para pejuang silam tidak kiralah yang berhaluan kiri iaitu yang mahu memerdekakan negara tanpa berunding dengan penjajah seperti Ahmad Boestaman dan Dr. Burhanuddin al-Helmi ataupun mereka yang berhaluan kanan yang mahu berkompromi dengan Inggeris seperti pejuang dalam UMNO terutama Tunku Abdul Rahman sendiri, memberi kesan yang mendalam untuk menghargai betapa besarnya pengorbanan mereka dalam mencapai kebebasan tanah air dalam erti kata yang luas. Para pejuang bangsa mulai faham betapa inilah peluangnya untuk rakyat mentadbir sendiri tanah air mereka tanpa bantuan kuasa asing. Rakyat sendiri yang perlu kuasai sektor ekonomi dan kewangan negara serta hasil kekayaan negara tanpa berkongsi dengan kuasa luar. Rakyat berhak merasai nikmat kemerdekaan dalam bidang sosial dan politik terutama sektor pendidikan dan peluang mengejar ilmu bagi kejayaan bangsa dan maruah rakyat Malaysia yang berabad lamanya dibelenggui pemikiran kebaratan akibat implikasi penjajahan.
Negara kita mencapai kemerdekaan dalam keadaan aman. Permintaan kita untuk memerintah sendiri diperakukan oleh Inggeris. Namun pada awal 1957 hingga 1963, negara kita diserahkan kuasa pentadbiran sedikit demi sedikit oleh Inggeris kepada pemimpin terdahulu. Dalam erti kata yang lain, semasa awal pentadbiran negara kita selepas menghirup udara kemerdekaan, keadaan negara kita masih mencari arah untuk membangunkan sebuah negara yang bebas daripada unsur kebaratan. Dalam tempoh itu minda kita dan fikiran kita masih lagi dijajah. Dalam erti kata yang sebenar, kita masih lagi memerlukan bantuan beberapa orang pegawai dan pentadbir Inggeris untuk menentukan hala tuju sebuah negara yang merdeka terutama dalam sektor sosioekonomi dan pembangunan di desa.
PEMBANGUNAN PENDIDIKAN PENTING UNTUK MENGUBAH MINDA RAKYAT YANG SUDAH MERDEKA
Keadaan pembangunan pendidikan dan pelajaran masyarakat ketika awal kemerdekaan masih lagi daif dan mundur. Sebagai sebuah negara yang baharu mencapai kemerdekaan penuh dan tergolong dalam negara yang baharu membangun, pemerintah sendiri harus memikir dan menyediakan segala kelengkapan dan fasiliti yang memuaskan untuk membangunkan minda rakyatnya melalui prasarana pendidikan.
Pada awal kemerdekaan, negara kita hanya ada sebuah universiti. Itupun ianya pecahan daripada sebuah universiti di Singapura yang diasaskan pada tahun 1949 dan akhirnya menjadi institusi berasingan, Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur. Itu baharu institusi pendidikan tinggi, belum disentuh maktab perguruan bagi melatih para guru untuk mendidik anak bangsa di sekolah kebangsaan dan menengah. Kerajaan mulai mengorak langkah dalam menyediakan prasarana pendidikan yang sempurna, bilangan guru harus ditambah berdasarkan pembinaan sekolah-sekolah di bandar dan desa, dan juga jumlah murid semakin meningkat.
Peluang meningkatkan lagi pendidikan bertaraf tinggi juga harus dititikberatkan. Sebagai sebuah negara yang telah bebas daripada cengkaman penjajah, kerajaan harus merancang bagi mempertingkatkan bilangan sumber tenaga profesional dan separuh profesional dengan menyediakan lagi Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) selain UM yang telah sedia ada. Maka Kolej Univeriti Pulau Pinang kemudian bertukar Universiti Pulau Pinang dan akhirnya menjadi Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ditubuhkan pada tahun 1969 dan 1970 telah mengambil alih tugas tersebut dalam melatih para anak bangsa terutama golongan bumiputera yang dikatakan masih mundur untuk membangunkan negara.
Pendek kata, dengan nikmat kemerdekaan yang dicapai, pembangunan pendidikan turut seiring bagi membangunkan sebuah negara baharu yang selama ini maruah bangsa tercalar dek cengkaman penjajah.
PELAJARI BAHASA KEBANGSAAN DAN SUBJEK SEJARAH: BANTU TINGKATKAN SEMANGAT PATRIOTISME
Buat generasi muda sekarang, mereka cukup beruntung kerana merasai kenikmatan kemerdekaan hasil usaha titik peluh generasi lama semasa mencapai kemerdekaan dan membangunkan tanah air selepas merdeka. Generasi muda sekarang mencapai pemodenan dalam serba serbi, iaitu kemewahan, kehidupan yang sofistikated, minda yang moden; dalam keadaan aman dan makmur, dapat menikmati hiburan dan segala yang cukup dan paling penting peluang pendidikan yang serba luas dirasai.
Sebenarnya, pendidikan yang disediakan oleh pemerintah kepada generasi kini adalah untuk memelihara negara agar terus merdeka. Memberi peluang kepada mereka berfikiran merdeka dan membuka minda seluas mungkin merentasi sempadan. Fikiran kebebasan menjadi tunjang utama untuk mencapai kemajuan tanpa meninggalkan unsur tradisional yang dipegang sejak berzaman. Tidak keterlaluan dikatakan dengan kematangan fikiran melalui penerimaan pendidikan, mereka akan menjaga tanah air melalui semangat patriotisme.
Bagaimana caranya? Satu cara yang dilaksanakan pemerintah kita ialah melalui kaedah mata pelajaran sejarah. Sejak sedekad lalu subjek sejarah menjadi subjek teras di peringkat pendidikan rendah, menengah dan menengah atas. Malah di USM sendiri juga menjadikan subjek sejarah sebagai syarat lulus untuk menimba ilmu di situ. Kesedaran subjek sejarah menjadi tunjang untuk meningkatkan semangat sayangkan bangsa, agama dan tanah air. Menghayati dan mempelajari subjek sejarah juga mewujudkan perpaduan kaum.
Sejak merdeka kita menghadapi banyak cabaran yang mendatang. Hal ini berlaku kerana negara kita mempunyai multi bangsa dan etnik dari Perlis hingga sampai ke Sabah. Salah satu masalah sosial negara ialah mewujudkan perpaduan kaum dalam sebuah sistem pendidikan nasional dengan menggunakan satu bahasa kebangsaan iaitu bahasa Malaysia. Usaha USM dalam mendaulatkan bahasa kebangsaan sangat dibanggakan kerana syarat untuk memperoleh ijazah memerlukan kelulusan dalam kursus bahasa itu. Malahan penuntut luar negara wajib mempelajari dan mengikuti kelas bahasa tersebut.
Amat dipercayai bahawa dengan mempelajari bahasa kebangsaan dan subjek sejarah dapat mempertingkatkan keupayaan sayangkan tanah air yang bebas merdeka yakni, menyemai patriotisme dalam kalangan bangsa Malaysia.
PERKUKUHKAN KEKUATAN JATI DIRI KITA
Cabaran seterusnya ialah memelihara kedaulatan negara kita dari dicerobohi oleh anasir-anasir luar. Dengan kemudahan internet melalui facebook, satelit dan media massa, keutuhan tanah air kita akan tergugat jika segala kemudahan tersebut disalahgunakan. Sistem pertahanan dan keamanan kita di perairan negara, ruang udara dan hal ehwal dalam negara akan ditembusi dan dicerobohi oleh anasir luar andai kita lalai seperti mana pernah berlaku peristiwa genting di perairan Sabah tidak lama dahulu. Peristiwa tersebut telah mewujudkan kegusaran dan kebimbangan kepada kita tentang keutuhan benteng keselamatan negara. Di sinilah pentingnya ilmu pendidikan tanpa had yang kita tidak sedari. Ilmu pertahanan dan keselamatan akan menjadi tunjang dalam pendidikan negara dengan pembinaan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Lanjutan daripada itu, cabaran besar bangsa negara kita hari ini ialah kekuatan jati diri agak longgar. Dalam erti kata yang sebenar, jati diri bangsa telah pudar sedikit demi sedikit. Di mana letaknya jati diri kita yang sebenar? Kita terlalu ikut budaya yang jauh tersimpang dari budaya kita selama ini yang telah sebati dalam diri. Misalnya, bangsa Melayu; budaya Melayu telah diasimilasi dengan corak dan hukum budaya Islam yang bersesuaian. Tetapi sekarang kita perhatikan, semasa hari raya Aidilfitri, sesetengah kalangan kita bertukar fesyen dengan kurang menggunakan pakaian tradisi Melayu seperti baju Melayu lelaki dan baju kurung wanita yang cukup indah dan cantik dengan bersamping atau corak selendangnya yang bermotifkan elemen tradisinya. Apatah lagi semasa kita menyambut hari kebangsaan saban tahun? Kita terikut dengan ketakjuban budaya Barat dan budaya Arab.
Di samping itu, bangsa kita juga ketika ini diancam pelbagai faktor yang boleh meruntuh perpaduan kaum. Kita asyik melaung-laung penyatuan bangsa dan 'doktrin' 1Malaysia dan kini ‘Keluarga Malaysia’. Tetapi sebenarnya ia satu retorik semata-mata. Seolah-olah jati diri kita makin lenyap akibat faktor itu. Faktor dalam pendidikan misalnya, kita gagal memperkasakan sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan dalam kedudukan yang sepatutnya. Perkara itulah yang menjadi salah satu yang menyebabkan kegagalan perpaduan nasional. Malah, faktor gagal menghayati prinsip Rukunegara yang sepatutnya menjadi 'panduan arah' bangsa untuk perpaduan telah menjadi sebab utama hal ini terjadi. Kita patut menjadikan negara jiran kita, Indonesia sebagai contoh mengangkat Pancasilanya dalam kedudukan yang tinggi. 'Rukunegara' mereka itu dijadikan sebagai salah satu subjek pelajaran dan kursus di sekolah dan universiti mereka supaya rakyatnya diperkenalkan dan diamalkan rukun itu dalam sepanjang kehidupan mereka. Tidak hairanlah jati diri mereka kukuh dalam ruang dan pembentukan masyarakat mereka sendiri sehingga semangat patriotik mereka sentiasa dalam kedudukan kehadapan.
Jadi, jati diri adalah satu identiti untuk menguatkan seseorang membangunkan bangsanya dan membangunkan kekuatan dalamannya. Sebenarnya kekuatan seseorang manusia itu terletak pada jati dirinya. Sekiranya kita sendiri tidak memahami jati diri maka kita boleh dikatakan sebagai seorang yang gagal menghadapi hal-hal masyarakat. Hilang keprihatinan dan kurang sensitiviti sosial. Dalam hal ini, apa erti kemerdekaan?
PERANAN IPTA SEPERTI USM DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK BANGSA MERDEKA
USM sebuah institusi pendidikan tinggi yang unggul di rantau ini. Seantaro dunia mengiktirafkannya, lebih-lebih lagi ia satu-satunya IPTA yang mendapat status atau taraf APEX di Malaysia. Pelajarnya datang dari segenap benua. Apatah lagi para penyelidik dan pendidik daripada luar negara. Akhirnya perkongsian ilmu dan kepakaran terhasil. Hal ini patut dibanggakan oleh warganya, alumninya dan rakyat Malaysia keseluruhan. Ia merupakan satu cara pengisian kemerdekaan dalam konteks pendidikan. Tidak keterlaluan dikatakan semua IPTA negara mengakui kehebatannya.
Saya sebagai insan yang pernah merasai nikmat menghuni lembah ilmunya sebagai mahasiswa OKU dan sekarang kembali berkhidmat mencurah bakti berkongsi ilmu untuknya dan untuk anak buminya, merasa bangga sebagai anak Malaysia yang merdeka berada di universiti ini. Harapan saya banyak untuknya, namun yang pasti harapan saya ingin melihat USM terus mengisi ruang-ruang kemerdekaan yang masih kosong dalam mencurahkan ilmu kepada anak bangsa merdeka dalam sebuah negara yang bebas merdeka dan bebas mengejar ilmu. Adalah amat diharapkan USM terus mengimbangi ilmu sains dan kemanusiaan terutama ilmu sejarah serta ilmu dunia dan akhirat untuk anak didiknya. Segala hasilnya nanti kembali membangunkan negara yang merdeka ini.
Kita seharusnya mempertaruhkan maruah kita dalam mengekalkan kemerdekaan yang amat bernilai dipertahankan. Di sini negara kita, di sini juga tanah air kita dan di sini juga maruah kita disemadikan. Sebagai mana tokoh-tokoh kemerdekaan kita dahulu dan golongan terdahulu daripada kita mahukan pemerintahan sendiri daripada bangsa asing, begitu juga kita kini perlu mempertahankan Malaysia. Malaysia adalah simbol maruah kita yakni jiwa kita. Semangat patriotisme harus berada dalam ruang badan kita untuknya. Haruskah kita serahkan semuanya itu kepada anggota pertahanan dan keselamatan kita sahaja tanpa ada peranan kita sebagai rakyatnya?
Diperhatikan kini, menjelang bulan kemerdekaan dan pembentukan negara kita, bulan Ogos dan September, boleh dikatakan tiada penglibatan rakyatnya sekurang-kurangnya mengibar Jalur Gemilang - bendera keramat kita di merata tempat. Ia satu perkara yang mudah untuk dilakukan dalam sebuah 'acara temasya' mengibar bendera, tetapi tidak ada. Di manakah silapnya? Adakah semangat patriotik sudah mulai terhakis? Peranan ini hanya diambil oleh badan NGO, badan kerajaan dan badan berkanun sahaja yang melakukannya. Sekadar mengibar bendera Jalur Gemilang setahun sekali tidak memakan kos yang tinggi jika dibanding dengan keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi yang sukar dibayar kembali.
Dunia sekarang adalah dunia mengejar kemajuan sains dan teknologi, iaitu langit terbuka luas. Malaysia tidak terlepas dari menikmati arus kemodenan yang pesat. Negara kita mulai maju dalam bidang telekomunikasi, internet, teknologi angkasa lepas dan satelit. Dalam erti kata yang halus, ia satu cabaran baharu bagi kita untuk memelihara kemerdekaan negara kita. Mungkin tanpa kita sedari, bentuk ancaman baharu bakal kita hadapi dan perlu ditangani bersama dengan bijak. Dari itu, kewaspadaan dan tindakan drastik perlu diambil pihak berwajib negara dengan bijak. Begitu juga peranan kita sebagai anak merdeka tidak perlu melihat sahaja!
Dalam situasi konflik kesihatan dan penyebaran penyakit COVID-19 yang menjadi pandemik dahsyat di seluruh dunia dengan membunuh jutaan manusia, Malaysia tidak terlepas daripada ‘seksaan’ ini. Penyakit baharu yang berasal dari daerah Wuhan, China ini telah mengganggu sistem kehidupan manusia serta ‘kehidupan’ di USM dengan kesunyian kampus amat terasa. Kehidupan normal mahasiswanya terganggu dek kerana COVID-19. Pandemik ini adalah musuh utama kita sekarang. Apakah kita mampu mengatasinya dan membunuhnya?
Akhir kalam, kita wajib mempertahankan kemerdekaan tanah air kita selamanya, sehingga nyawa kita dipertaruhkan!
Selamat ulang tahun kemerdekaan Persekutuan Malaysia yang ke-64. Malaysia Prihatin.
*Penulis merupakan pensyarah kanan universiti di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, USM dalam bidang Sejarah Politik Malaysia dan Indonesia. Beliau boleh dihubungi melalui email,
- Created on .
- Hits: 8684