VAKSIN TOLAK KONSEP TAWAKAL DALAM MEMERANGI COVID-19?
https://malaysiagazette.com/2021/08/13/vaksin-tolak-konsep-tawakal-dalam-memerangi-covid-19/
By admin - 13 August 2021
Warga emas yang mendapatkan suntikan vaksin pada hari pertama pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC @IIUM), Kuantan. Foto MOHD ADZLAN, 19 JULAI 2021.
Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia telah memberi impak yang global kepada masyarakat dari segi ekonomi, pendidikan, pelancongan, perniagaan, psikologi dan sebagainya. Amerika Syarikat masih menjadi negara paling tinggi di dunia yang terkesan dengan Covid-19, diikuti India dan Brazil. Sehingga kini wabak ini telah mencecah 150 juta kes yang mengakibatkan hampir 3.2 juta penduduk meninggal dunia di seluruh dunia. Dengan peningkatan jumlah pesakit saban hari yang semakin meningkat dan membimbangkan banyak pihak, program vaksinasi telah dilancarkan sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan penularan wabak serta mengurangkan simptom yang dialami oleh pesakit.
Vaksinasi adalah satu proses pelalian aktif yang melibatkan kemasukan antigen ke dalam badan untuk merangsang sistem imun perumah untuk menghasilkan antibodi supaya bertindak balas terhadap jangkitan. Antigen yang digunakan dalam proses vaksinasi diperolehi dari kuman yang dilemahkan atau dibunuh, racun yang terhasil atau protein permukaannya. Keberkesanan vaksin telah lama dikaji secara menyeluruh dan ia merupakan salah satu kaedah pencegahan penyakit paling berkesan.
Disebabkan kemaslahatan atau kebaikan vaksin lebih dari keburukan, maka ianya harus diambil untuk mencegah jangkitan penyakit. Para fuqaha atau ulama seluruh dunia bersepakat bahawa pengambilan vaksin adalah penting dan harus untuk mencegah penularan Covid-19. Salah satu kepentingan utama vaksin adalah untuk menghasilkan imuniti berkelompok, iaitu keadaan di mana penularan jangkitan penyakit tidak dapat berlaku disebabkan sebahagian besar masyarakat mempunyai imuniti atau daya tahan terhadap penyebab jangkitan tersebut.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dianggarkan sebanyak 60% hingga 70% populasi penduduk dunia perlu mempunyai daya tahan terhadap COVID-19 untuk mencapai imuniti berkelompok supaya penularan ini dapat dikawal. Ketika vaksin mula diperkenalkan, terdapat pelbagai reaksi daripada banyak pihak. Ada yang pada mulanya menolak vaksin kerana meragui kandungan yang terdapat di dalam vaksin.
Pelbagai penerangan melalui media massa dan laman sesawang telah diadakan untuk memberi pendedahan dan pemahaman sebenar mengenai vaksin kepada masyarakat. Sekarang, vaksinasi telah mula diterima oleh banyak pihak. Tidak kurang juga terdapat pelbagai tohmahan yang dilontarkan oleh golongan antivaksin terutamanya dalam laman media sosial kononnya bahan-bahan yang digunakan untuk penghasilan vaksin adalah daripada unsur haram contohnya DNA babi, konspirasi jahat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengurangkan populasi penduduk dunia serta pelan Bill Gates, seorang
billionaire terkenal untuk menjayakan ‘Plandemik’.
Walau bagaimanapun, persepsi dan pandangan masyarakat terhadap vaksinasi atau penerima vaksin perlu diperbetulkan. Walaupun telah menerima dua dos lengkap vaksin, ia tidak menjamin seseorang daripada tidak dijangkiti virus ini. Justeru, Operasi Prosedur Standard (SOP) yang ketat perlu diamalkan di mana sahaja kita berada untuk mengurangkan risiko jangkitan serta mengurangkan penularan Covid-19.
Sejauh mana vaksin dapat mencegah jangkitan secara mutlak masih belum dapat dibuktikan sepenuhnya kerana kajian jangka panjang secara menyeluruh belum dapat dilakukan. Ini kerana proses vaksinasi baru sahaja diperkenalkan semenjak Pfizer-BioNTech mengeluarkan vaksin pertama pada Disember 2020. Walau bagaimanapun, kajian terkini menunjukkan penggunaan vaksin adalah selamat, berkesan dan dapat mengurangkan keterukan simptom yang dialami oleh pesakit yang telah melengkapkan dua dos vaksin berbanding dengan pesakit yang tidak mengambil vaksin. Terdapat pelbagai alternatif turut disarankan untuk pesakit Covid-19 termasuklah vitamin C, bunga cengkih, habbatus sauda dan sebagainya.
Pada hakikatnya semuanya itu adalah ikhtiar kita sebagai hamba. Hakikat penyembuhan sebenar adalah daripada Allah jua. Amalan memperbanyakkan doa, bersedekah, melazimi selawat dan zikir juga disarankan sebagai usaha kita sebagai seorang Muslim supaya Allah menghindarkan kita dari wabak yang berbahaya ini. Tawakal bermaksud penyerahan diri kepada Allah setelah berusaha bersungguh-sungguh dalam sesuatu urusan. Meyakini apa yang Allah tentukan yang terbaik untuk kita dan bersangka baik dengan Allah sekalipun bertentangan dengan kehendak dan keinginan kerana Dia Maha mengetahui segalanya yang mana mungkin ada hikmah disebaliknya yang kita sedari atau tidak. Redha dan sabar dalam menerima nikmat dan ujian daripada-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Ingatlah ketika dua puak dari kamu terasa lemah semangat untuk meneruskan perjuangan kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka; dan kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.” (Surah Al-Imran Ayat 122) Dalam Surah Yusuf Ayat 67 Allah SWT telah berfirman yang maksudnya: “Dan ia berkata lagi, “Wahai anak-anakku, janganlah kamu masuk ke Bandar Mesir dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu berlainan. Dan aku (Nabi Yaakob) tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu (sebab dan musabab) itu hanya tertentu bagi Allah. Kepada-Nyalah aku berserah diri, dan kepada-Nyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri.”
Firman Allah SWT lagi dalam Surah At-Thalaq ayat 3 yang bermaksud: “Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” Dalam ayat-ayat ini Allah telah menjelaskan kepentingan bertawakal dan menyerahkan segala urusan kepada-Nya setelah berusaha bersungguh-sungguh. Itulah yang sebaik-baiknya, rechda dan sabar dengan apa sahaja ketentuan Allah yang terbaik untuk setiap hamba-Nya. Dari Umar bin Khattab RA, Rasulullah SAW turut bersabda dalam hadis riwayat Imam Ahmad, at-Tirmidzi, al-Hakim, Ibnu HIbban, “Sesungguhnya seandainya kalian bertawakal kepada Allah dengan sebaik-baik tawakal, nescaya kalian akan diberi rezeki sebagaimana rezekinya burung-burung. Mereka berangkat pagi hari dalam keadaan lapar, dan pulang petangnya dalam keadaan kenyang.”
Dalam hadith ini Allah telah menjelaskan bahawa orang yang bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, Allah akan mencukupkan rezekinya sebagaimana Dia mencukupi rezeki burung-burung. Allah itu adalah Zat yang Maha Hidup dan tidak pernah mati. Tujuan seseorang itu diuji Allah SWT adalah bagi menghapuskan dosanya. Diriwayatkan di dalam al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah seorang Muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosanya seperti pohon menggugurkan daun-daunnya."
Wallahu’alam.
- Created on .
- Hits: 2055