USM NEWS PORTAL 

Rencana / Features

OLIMPIK TOKYO DARI LENSA KOMUNIKASI KELESTARIAN

https://www.astroawani.com/berita-sukan/olimpik-tokyo-dari-lensa-komunikasi-kelestarian-311176

Dr Mohamad Saifudin Mohamad Saleh
Olimpik Tokyo dari lensa komunikasi kelestarian
Olimpik sememangnya antara acara sukan dunia yang dinantikan oleh para peminat sukan seantero dunia. -Gambar fail/Stadium Astro

OLIMPIK sememangnya antara acara sukan dunia yang dinantikan oleh para peminat sukan seantero dunia.

Menariknya, sukan Olimpik yang berlangsung di Tokyo ini bukan sahaja dijalankan semasa musim pandemik COVID-19 namun ia juga berjaya meraih perhatian disebabkan oleh penganjurannya yang menekankan konsep kelestarian.

Dapat dilihat baru-baru ini di mana tular di media sosial tentang aspek kelestarian sukan yang ditonjolkan oleh Jepun dalam penganjuran Olimpik kali ini.

Ia termasuk dari segi pingat pemenang yang diperbuat daripada perkakas telefon pintar dan barangan elektronik lain yang dikitar semula; podium yang dibina daripada plastik kitar semula; dan katil untuk atlet yang diperbuat daripada kadbod dikitar semula.

Rata-rata warganet teruja dan memberikan pujian terhadap usaha kerajaan Jepun dalam mempraktikkan sukan yang ‘lestari’ dan ‘hijau’ ini.

Konsep sukan ‘lestari’ atau ‘hijau’ yang telah dipraktikkan oleh Jepun dalam Olimpik kali ini adalah satu usaha baik dalam menjadikan sukan terbesar dunia sebagai salah satu platform mencapai beberapa aspek penting dalam pembangunan lestari seperti karbon sifar (untuk mengurangkan masalah perubahan iklim), sisa sifar, hak asasi manusia, penyertaan dan kolaborasi masyarakat.

Menyingkap sejarah sukan Olimpik, sebenarnya amalan sukan secara lestari dikatakan telahpun dilaksanakan buat pertama kalinya menerusi sukan Olimpik Musim Sejuk di Lillehammer, Norway pada tahun 1994 yang dikenali dengan jolokan “White-Green Games” kerana telah meletakkan elemen alam sekitar dan kelestarian dalam penganjurannya pada ketika tersebut.

Terdapat 20 buah projek kelestarian telah dilaksanakan semasa penganjuran Olimpik Musim Sejuk di Lillehammer, Norway seperti pembuatan medal dari bahan semula jadi, penggunaan pengangkutan awam, pengurusan sisa cekap, penjagaan hidupan liar dan sebagainya.

Bertitik tolak daripada Olimpik Musim Sejuk di Lillehammer, Norway inilah banyak acara sukan lainnya telahpun bergerak ke arah penganjuran sukan yang lestari dan hijau.

Sungguhpun terdapat pandangan dan kritikan yang mengatakan bahawa acara-acara sukan sebegini sukar untuk benar-benar dilaksanakan secara lestari, namun dari perspektif komunikasi kelestarian, ia sebenarnya menjadi satu ‘mesej’ dan ‘signal’ yang penting kepada perkembangan dan perubahan penganjuran acara khususnya sukan pada masa kini dan akan datang.

Dengan erti kata yang lain, penganjuran sukan berskala besar yang melibatkan penyertaan negara-negara dunia ini memberikan mesej yang kuat tentang peri pentingnya penglibatan pemegang taruh seperti penganjur sukan, atlet, penonton, penaja dan sebagainya dalam bersama-sama mencapai matlamat pembangunan lestari tidak kira dalam apa jua yang dilakukan termasuklah dalam aktiviti sukan.

Memandangkan Olimpik dianjurkan di Tokyo, kedekatan mesej kelestarian ini juga boleh menginspirasikan negara-negara Asia lainnya termasuklah Malaysia dalam mengambil berat terhadap kepentingan kelestarian dalam setiap penganjuran acara sukan pada masa akan datang.

Strategi kelestarian yang dilakukan oleh negara Jepun dalam penganjuran sukan Olimpik kali ini dapat menjadi panduan yang baik untuk negara-negara lain dalam menganjurkan sukan yang lestari kelak sama ada secara skala besar atau kecil di negara masing-masing.

Hakikatnya, sukan itu sendiri sememangnya telah dikenal pasti sebagai alat dan peluang yang sangat baik untuk menjadi ‘pemangkin’ kepada pencapaian matlamat pembangunan lestari (SDGs) 2030 terutamanya dalam mencapai beberapa SDGs seperti SDG 3 kesihatan yang baik dan kesejahteraan, SDG 4 pendidikan berkualiti, SDG 5 kesaksamaan gender, SDG 11 bandar dan masyarakat lestari, SDG 13 penanganan perubahan iklim dan SDG 16 keamanan, keadilan dan institusi yang kukuh.

Justeru, usaha bersepadu dari semua pihak dalam memastikan sukan yang lestari adalah sangat penting dan promosi atau hebahan terhadap usaha-usaha ini perlulah dilakukan dengan rancak agar ia dapat sampai kepada masyarakat umum.

Penggunaan media sosial tanpa batasan geografi perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh penganjur dan peminat sukan untuk berkongsikan maklumat-maklumat berkaitan penganjuran sukan yang lestari dan hijau seperti Olimpik kali ini agar mesej sukan lestari ini dapat sampai kepada khalayak bagi meningkatkan kefahaman mereka tentang kepentingan dan keupayaan pencapaian matlamat pembangunan lestari menerusi sukan.

Penggunaan gambar dan infografik yang menarik dapat membantu memudahkan pemahaman pembaca selain menarik minat mereka untuk membaca dan berkongsikannya menerusi media sosial masing-masing.

Matlamat komunikasi kelestarian menerusi sukan pastinya sukar dicapai sekiranya mesej-mesej sebegini tidak sampai kepada khalayak secara meluas.

* Dr Mohamad Saifudin Mohamad Saleh, Pensyarah Kanan Komunikasi Alam Sekitar & Kelestarian Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia

-Sumber daripada astroawani.com

  • Created on .
  • Hits: 1923

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024