USM NEWS PORTAL 

Rencana / Features

USM TANAM BUDAYA DAN MENTALITI KESUKARELAWANAN KEPADA PELAJAR

Penulis: Hafiz Meah Ghouse Meah, Penolong Pendaftar Kanan,

Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC), Universiti Sains Malaysia

25 Julai 2021

Dewasa kini, dalam dunia yang kini masih bergelut untuk mencari penyelesaian yang konkrit bagaimana untuk mengakhiri wabak pandemik COVID-19 ini, jauh di sudut renungan mata, kita dapat melihat masyarakat telah mula mengubah norma kehidupan yang bukannya mudah untuk dilakukan tanpa trend yang jelas yang dapat diterima dan sedang diterima umum.

Sebagai sebuah institusi pendidikan, yang merupakan jambatan manusia yang menghubungkan individu A yang dicambahkan ilmu untuk menjadi individu B yang sudah diterapkan elemen-elemen yang dapat menjadikannya seorang pemimpin masa hadapan yang cekal, tabah dan matang, elemen-elemen ini juga merupakan antara prinsip teras yang boleh diaplikasikan oleh sesiapa sahaja yang berniat untuk membantu insan yang memerlukan diluar sana.

Bagi masyarakat yang kurang bernasib baik, anggaplah ia sebagai suatu lumrah kehidupan yang mana nasib kita ditentukan oleh Pencipta.

Sememangnya logik dan diterima akal jika dikatakan golongan yang berkemampuan dari segi wang ringgit ataupun ilmu, tenaga dan berkaitan untuk membantu meringankan beban golongan yang amat memerlukan ini demi kelangsungan hidup.

Kehidupan kini telah mengajar kita bahawa untuk hidup bersosial itu bukanlah suatu perkara yang mudah tapi memerlukan perhatian yang jitu dan padu dalam melaksanakannya.

Jadi, salah satu nilai yang perlu ada dalam diri golongan belia di institusi pendidikan ini adalah ilmu dan praktikal berkaitan kesukarelawanan untuk digunakan dalam mengimbangi sosio-budaya kini.

Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka menyatakan maksud sukarelawan itu adalah seseorang yang melakukan sesuatu dengan sukarela, yang ingin memberikan khidmat mereka kepada golongan ini tidak diperlukan mempunyai kelayakan tertentu.

PUPUK SEMANGAT KESUKARELAWANAN DARI AWAL LAGI

WhatsApp_Image_2021-08-05_at_06.39.01.jpg

Universiti Sains Malaysia, sebuah institusi pengajian tinggi yang telah berusia separuh abad, banyak melahirkan belia yang mempunyai ilmu kesukarelawanan ini.

Sejak hari pertama mereka menjejak kaki di kampus untuk melanjutkan pengajian di menara ilmu ini, mereka telah didedahkan secara “radikal” semangat sukarelawan ini dan tertanam dalam sanubari mereka akan kecintaan (‘passion’) mengenainya.

Pihak yang terlibat dalam menjayakan usaha murni ini di peringkat domestik dan antarabangsa sudah mampu mendabik dada dan menarik nafas lega kerana usaha ini telah berjaya membuahkan hasil.

Walaupun kita dapat lihat mungkin topik ini adalah topik yang umum dan semua institusi pengajian tinggi melaksanakannya, namun, intipati dan rahsia kejayaan USM dalam mengetengahkan perkara ini dapat dilihat dalam 10 tahun kebelakangan ini, yang mana disebalik setiap penceritaan dan kejayaan yang dicaknakan telah membuka mata semua pihak tentang nilainya yang sukar dibeli dengan wang ringgit.

Melentur buluh biarlah daripada rebungnya, ini merupakan perumpamaan yang sering digunakan oleh kita semua.

Untuk mendidik pelajar di USM tentang ilmu dan menarik minat mereka ke arah kesukarelawanan, ianya perlu dilakukan secara berperingkat.

Ini dapat dilihat pada tahun 2013, seramai 50 orang pelajar sukarelawan USM bersama 20 orang staf telah memeriahkan program gotong-royong mengindahkan lanskap di sekitar kampus.

Program ini adalah bagi memotong dan mencantaskan ranting hampir 30 pokok di sepanjang jalan utama kampus, dan kediaman rasmi Naib Canselor USM (Anjung Jannatun).

Sampah yang berjaya dikumpulkan adalah sebanyak tiga tong sampah seberat tiga tan. Ada juga dalam kalangan para pelajar yang menghimpunkan ranting dan dahan-dahan pokok yang telah ditebang untuk dijadikan bahan lanskap di desasiswa.

Jelas daripada program ini, sedikit sebanyak nilai awal kesukarelawanan ini dapat dipupuk kerana berbakti dengan alam sekitar mampu menenangkan jiwa dan raga disamping menimbulkan suasana positif.

YSS BANTU LAHIRKAN SUKARELAWAN GLOBAL

Sementara itu, bak kata pepatah, tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi, tanpa peranan yang dimainkan oleh pihak luar dalam membantu USM untuk terus memacu kecemerlangan dalam lapangan kesukarelawanan, ianya tidak dapat dikecapi dengan jayanya. Antara pertubuhan yang giat memperjuangkan perkara ini adalah Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).

YSS yang ditubuhkan pada 2012 bermatlamat dalam mencapai objektif melahirkan ikon sukarelawan, menyelaras aktiviti kesukarelawanan, membantu masyarakat yang memerlukan bantuan serta khidmat komuniti di dalam dan luar negara.

YSS juga berperanan dalam memperkenalkan Malaysia sebagai hub pendidikan yang melahirkan sukarelawan global serta komited dalam mempromosikan keamanan dunia dengan memupuk semangat setiakawan melalui perkhidmatan komuniti di dalam dan luar negara.

Di sini, kita dapat lihat ilmu kesukarelawanan ini perlu dipupuk dengan lebih radikal bukan sahaja dalam kepompong dan ruang lingkup kita, tapi perlu dibuka pekungnya hingga ke peringkat antarabangsa dan tahniah kepada YSS yang sering menjadi agen pencetus kepada usaha murni ini.

Pada 2015, USM telah berjaya mengorak langkah hingga ke peringkat antarabangsa apabila 17 orang pelajar Pusat Pengajian Sains Perubatan dan Pusat Pengajian Sains Kesihatan telah mengikuti misi kesukarelawanan di perkampungan Muslim, Kg. Chouk Kranyah, Wilayah Kg. Chhnang, Kemboja dalam program Cambodia: A Life Time’s Change.

Para pelajar telah berjaya mengumpul sumbangan dalam bentuk wang tunai, makanan, pakaian dan peralatan sekolah untuk 328 keluarga hasil sumbangan pelbagai pihak seperti agensi swasta dan kerajaan serta individu. 

Selain itu, para pelajar juga telah berkongsi ilmu dengan mengajar kanak-kanak cara menjaga kesihatan diri seperti menggosok gigi dan membasuh tangan dengan cara yang betul.

Walaupun bunyinya mungkin agak umum bagi sesetengah pihak dan menganggap usaha ini boleh dilakukan oleh semua pihak, namun perancangan daripada Zero To Hero yang dilaksanakan itu sendirinya merupakan kunci kejayaan.

Proses yang dilalui oleh semua yang terlibat dalam misi kesukarelawanan itu telah menjadi salah satu perkara penting yang sukar diperoleh orang lain walaupun secara kasarnya nampak mudah.

Rahsia untuk membina sawang minda dalam mentaliti pelajar berkaitan kesukarelawanan sebaik-baiknya perlu dilakukan secara peringkat dandimulai dengan diri dan empati pelajar itu sendiri, dan perlahan-lahan didedahkan dengan elemen alam dan seterusnya dipandu ke arah domestik serta antarabangsa.

PENTINGNYA RASA “SENSE OF BELONGING”

Namun begitu, terdapat juga kisah yang dapat dijadikan senjata utk pelajar terus menjadikan kesukarelawanan sebagai darah daging mereka agar apabila mereka di alam pekerjaan kelak, ilmu ini masih tersemat rapi dalam sanubari mereka. Ianya adalah penerapan rasa “sense of belonging” yang dapat dijadikan modal tambahan.

WhatsApp_Image_2021-08-05_at_06.45.47.jpg

Sebagai penceritaan, pada tahun 2017 ketika banjir besar melanda pantai timur, seramai 73 orang sukarelawan yang terdiri daripada pelajar Kampus Kesihatan USM telah menyertai ‘Misi Bantuan Mangsa Banjir’ bertempat di Sekolah Kebangsaan Sri Rantau Panjang yang merupakan pusat pemindahan banjir bagi penduduk sekitar.

Penasihat pasukan kesukarelawanan ketika itu berkata, misi ini adalah bertujuan memberi bantuan kemanusiaan khususnya dalam gerakerja pembersihan dan membantu petugas semasa berada di tempat pemindahan mangsa banjir.

Para sukarelawan ini ditugaskan untuk membantu dalam aspek penyediaan makanan, menjaga kebersihan tempat pemindahan di samping memberi sokongan moral kepada mangsa banjir.

Yang lebih membanggakan ialah walaupun pelajar bakal menduduki peperiksaan, atas dasar keprihatinan, mereka sanggup turun padang membantu mangsa banjir.

Dengan rasa “sense of belonging” itu, ianya telah membuka hati pelajar USM untuk terus mengerahkan keringat bakti untuk membantu masyarakat yang terkesan dengan fenomena ini. Sesuatu fenomena yang sebesar ini akan sentiasa menjadi cetusan kepada pelajar untuk lebih bersemangat membantu secara sukarela.

Paling memberi kesan dan antara produk berjaya USM ialah Pemenang Tokoh Sukarelawan Terbaik dan Sukarelawan Siswa 2015, Siti Zurianah Ismail. Menurut beliau, siswa-siswi USM sendiri harus mula mengubah corak pemikiran mereka mengenai apa yang program sukarelawan dapat berikan kepada mereka, sebaliknya melihat manfaat yang dapat mereka ambil darinya.

"Keputusan akademik cemerlang dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.0 kini bukan lagi keutamaan bagi majikan, sebaliknya siswa perlu ada nilai tambah khususnya dalam aspek kepimpinan dan kreativiti yang turut menjadi faktor nilai tambah dalam lapangan kerjaya kelak termasuk nilai kesukarelawanan," jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa aktiviti kesukarelawan ini adalah titik permulaan kepada pelbagai cabang ilmu. Jadi daripada testimoni ini, cabang sukarelawan dapat dilihat melalui pelbagai sudut dan cara penerimaan kita semua.

BUDAYA KESUKARELAWANAN TETAP PENTING DI ERA PANDEMIK COVID-19

Terkini, di era pandemik COVID-19 ini, yang mana kehidupan telah berubah kepada norma baharu, dan penyelesaian sedang dicari untuk ‘memusnahkan’ virus ini, muncul satu strategi iaitu pemberian vaksin kepada semua untuk mengurangkan risiko penularan pandemik ini.

Di sini, ingin saya berkongsi serba sedikit mengenai Pusat Pemberian Vaksin USM, yang diberi kelulusan penubuhannya oleh pihak kementerian, telah beroperasi dengan menggunakan warga USM sebagai kakitangan yang mengendalikan pusat ini.

Tidak terkecuali seramai 232 orang pelajar Kampus Kejuruteraan, USM turun padang menjadi sukarelawan di dua Pusat Pemberian Vaksin USM - PPV@USM induk dan PPV Sains@Bertam - di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Bagi pelajar-pelajar ini, PPV menjadi platform kepada siswa dan siswi untuk berbakti kepada masyarakat dan juga dapat membantu meredakan tekanan dalam kalangan pelajar ekoran daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan pergerakan pelajar bagi mengekang penularan wabak COVID-19 serta paling penting, memupuk nilai kesukarelawanan dalam diri setiap mereka.

Secara tuntasnya, daripada ulasan dan fakta-fakta ini, tidak dapat dinafikan bahawa kesukarelawanan itu sendiri dapat dikategorikan dalam pelbagai bentuk dan medium penyampaiannya.

Paling utama ialah bagaimana seseorang individu itu dapat menjadi agen yang akan mempromosikan budaya kesukarelawanan ini kelak kepada masyarakat dan membuka mata semua bahawa kehidupan masa lampau, masa kini dan masa depan tidak akan pernah mudah tanpa elemen kesukarelawanan.

  • Created on .
  • Hits: 1636

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024