USM NEWS PORTAL 

Rencana / Features

PEMERKASAAN GOLONGAN B40 MELALUI PROJEK PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DI UNIVERSITI SAINS MALAYSIA

Artikel ditulis oleh: 

  • Profesor Madya Dr. Badrul Hisham Yahaya, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Perkhidmatan Haiwan (ARASC) USM
  • Profesor Madya Dr. Saidatulakmal Mohd, Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) USM

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan pada Oktober 2019 menggariskan matlamat untuk memastikan taraf kehidupan yang wajar (decent living standard) dinikmati oleh semua rakyat Malaysia menjelang 2030. Wawasan ini merupakan rentetan daripada dasar-dasar dan perancangan sedia ada seperti Model Baru Ekonomi (MBE), Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang kesemuanya menekankan kepada pengurangan jurang pendapatan antara kumpulan masyarakat, penambahbaikan taraf hidup masyarakat, pengurangan kadar pengangguran dan juga pertumbuhan ekonomi. Namun, isu-isu seperti ketidakserataan pendapatan, pengangguran, kemiskinan dan kualiti hidup yang rendah masih sering diperbincangkan saban hari.

foto 4

Gambar: Sebahagian daripada peserta program keusahawanan B40 dan staf ARASC bergambar bersama para pegawai dan staf dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kubang Kerian Kelantan setelah selesai menjalani kursus pengawalan kualiti baka bebiri di Ruang Pembelajaran Terbuka, ARASC Kampus Kesihatan.

Tingkat pendapatan dan turun kadar kemiskinan di Malaysia

Tidak dinafikan bahawa program-program yang dibentuk di bawah MBE, DPN dan DEB telah mampu untuk mengurangkan kadar kemiskinan negara daripada hampir 50% pada awal 70an kepada 5.6% pada tahun 2019. Beberapa negeri seperti W.P Putrajaya dan W.P. Kuala Lumpur merekodkan kadar kemiskinan kurang 1% pada tahun 2019 manakala Pulau Pinang dan Selangor pula merekodkan kadar kemiskinan kurang daripada 2% pada tahun 2019. Ada juga negeri-negeri seperti Sabah dan Kelantan yang masih merekodkan kadar kemiskinan yang tinggi melebihi 10% pada tahun 2019. Namun, secara keseluruhannya, penurunan kadar kemiskinan ini adalah bertepatan dengan peningkatan purata pendapatan bulanan isi rumah yang meningkat saban tahun kepada RM 7,901 purata sebulan pada tahun 2019 berbanding RM 4,025 sepuluh tahun yang lalu. Pendapatan mengikut kelas pendapatan juga telah menunjukkan peningkatan yang ketara. Kumpulan pendapatan tertinggi 20% (T20) merekodkan pendapatan isi rumah kasar bulanan purata sebanyak RM 18,506 pada tahun 2019, peningkatan hampir dua kali ganda berbanding sedekad yang lalu. Peningkatan yang hampir sama dilihat dalam kumpulan pendapatan pertengahan 40% (M40) dan terendah 40% (B40) dengan pendapatan isi rumah kasar bulanan purata sebanyak RM 7,348 dan RM 3,152 pada tahun 2019.

foto 5

Gambar: YBrs Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dato’ Dr Ahmad Sukari Halim menerima cek sumbangan daripada Ahli Parlimen Kubang Kerian bernilai RM10,000.00 bagi membantu program keusahawanan B40 di Kampus Kesihatan.

Data peningkatan pendapatan dan penurunan kadar kemiskinan ini adalah bukti kepada peningkatan kualiti hidup masyarakat Malaysia dan kejayaan kepada program-program pembasmian kemiskinan, subsidi dan bantuan yang disalurkan kerajaan untuk mereka yang memerlukan. Namun, isu kemiskinan masih lagi menjadi permasalahan yang utama yang menjadi kekangan kepada peningkatan kehidupan yang lebih baik. Isu kemiskinan bandar dan kemiskinan relatif semakin hangat diperkatakan, terutamanya dalam keadaan ekonomi yang menunjukkan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan, namun peningkatan pendapatan adalah tidak seiring dengan peningkatan harga tersebut. Isu kemiskinan relatif juga sering diperkatakan dengan cadangan penanda aras sebagai 60% daripada pendapatan menengah negara. Dalam memastikan Malaysia mencapai tahap negara maju dan berpendapatan tinggi, program pembangunan negara Malaysia bukan sahaja memfokus kepada isi rumah miskin tetapi juga isi rumah B40 dan M40. Survei pendapatan isi rumah 2019 menunjukkan bahawa bilangan isi rumah B40 adalah seramai 2.91 juta dan bilangan isi rumah M40 adalah juga seramai 2.91 juta. B40 adalah isi rumah yang mempunyai pendapatan di bawah RM 4,850 manakala M40 pula adalah isi rumah dengan pendapatan di antara RM 4,850 – RM 10,959.

Kesan kejutan ekonomi kepada isi rumah B40

Isi rumah B40 adalah tergolong dalam kumpulan mudah terancam (vulnerable group). Golongan B40 golongan mudah miskin, terutamanya apabila terdapat kejutan ekonomi (economic shock) yang mengganggu pendapatan dan pekerjaan mereka. Dalam situasi pandemik COVID-19 yang mana banyak kumpulan pendapatan yang terjejas akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diumumkan pada Mac 2020 dan masih dilaksanakan kini akibat daripada penularan kes COVID-19 di negara. Kesan penularan COVID-19 telah mengakibatkan hampir 47% individu yang bekerja sendiri hilang pekerjaan, pengangguran meningkat dan pertumbuhan ekonomi menguncup. Sehubungan itu, golongan yang akan banyak terkesan adalah golongan B40 yang mana bilangan B40 akan meningkat dan kadar kemiskinan juga dijangka meningkat kerana keadaan ekonomi yang kurang responsif mengecilkan peluang pekerjaan.

Sistem sokongan dan keselamatan sosial perlu wujud dalam memastikan golongan B40 ini mendapat bantuan yang sewajarnya dalam memastikan mereka tidak terpinggir dalam arus pembangunan negara dan juga dapat terus menikmati kelangsungan hidup dalam keadaan ekonomi mencabar ini. Golongan B40 sentiasa menjadi tumpuan dalam penetapan dasar negara dengan pelbagai saluran bantuan antaranya seperti bantuan sara hidup, subsidi elektrik, dana rumah mampu milik, bantuan persekolahan dan insentif eTunai rakyat. Keprihatinan kerajaan terhadap masalah yang dihadapi golongan ini diteruskan dengan bantuan lain antaranya seperti PRIHATIN Nasional, bantuan PERKESO, bayaran bantuan JKM mahupun bantuan lain.

thumbnail foto 1

Gambar: Sebahagian daripada peserta yang terpilih dalam program Inisiatif Keusahawanan Staf Kumpulan B40 yang dijalankan di Ruang Pembelajaran Terbuka, ARASC USM di Kampus Kesihatan, Kelantan.

Namun, dalam memastikan kelestarian program yang dilaksanakan oleh kerajaan, pelbagai pihak perlu tampil ke hadapan dalam memperkenalkan program-program yang membantu golongan yang terkesan ini. Kebergantungan kepada kerajaan untuk menyalurkan dana dalam kelangsungan hidup golongan B40 ini akan mengakibatkan golongan ini akan terus terkesan sekiranya kerajaan tidak lagi mampu menampung bantuan dengan jumlah yang tinggi akibat daripada keadaan ekonomi negara yang terus meleset. Bagi golongan B40 yang bekerja secara tetap di sektor kerajaan terutamanya, situasi pandemik ini mungkin tidak memberikan kesan secara langsung kepada mereka. Tetapi bagi individu B40 yang memerlukan pasangannya turut bekerja sama ada di sektor swasta atau awam bagi menampung perbelanjaan harian keluarga, kemelesetan ekonomi akan memungkinkan pendapatan isi rumah akan terjejas sekiranya pasangan bekerja di sektor swasta sedangkan perbelanjaan telah meningkat akibat harga barangan yang melambung tinggi. Oleh kerana itu, pelbagai program perlu diperkenalkan bagi memastikan sekurang-kurangnya golongan terkesan ini mampu untuk membentuk satu rantaian ekonomi yang berpanjangan supaya kebergantungan kepada sumber bantuan daripada kerajaan dapat dikurangkan.

Kepentingan kelestarian rantaian sumber makanan

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menggariskan 17 Matlamat Pembangunan Mampan dalam laporan Sustainable Development Goals (SDGs) yang mana pada Matlamat 2 penekanan diberikan kepada Kebuluran Sifar (Zero Hunger). Dalam matlamat ini, pelbagai program telah pun digariskan bagi memastikan kesinambungan matlamat ini tercapai yang mana penekanan diberikan kepada peningkatan rantai bekalan makanan serta pengurangan kadar kehilangan dan pembaziran makanan. Bank Negara pada tahun 2019 telah melaporkan bahawa kebergantungan import makanan negara telah meningkat daripada RM43 bilion pada tahun 2013 kepada RM54 bilion pada tahun 2018. Peningkatan sumber makanan import ini merangkumi beras, daging lembu, daging kambing, cili dan kobis bulat. Peningkatan ini mungkin lebih tinggi bagi tahun 2019 hingga 2020 akibat pandemik Covid-19 di seluruh dunia dan kos import sumber makanan ini dijangka lebih tinggi disebabkan oleh negara-negara pengimport tidak mampu untuk menampung kos pengangkutan yang meningkat di samping penutupan beberapa sektor pengangkutan di kebanyakan negara. Pengurangan import bahan sumber makanan akan menjadikan peningkatan ketara kepada sumber makanan tempatan, tetapi sumber pengeluaran adalah berkurangan. Ini secara tidak langsung mengakibatkan permintaan yang tinggi bagi produk tempatan yang mempunyai bekalan yang terhad telah meningkatkan harga di pasaran.

thumbnail foto 2

 Gambar: Salah seorang staf yang terlibat dalam penternakan bebiri, Cik Nurain sedang memberikan makan bebiri ternakan kumpulannya. 

Projek pembangunan keusahawanan di Universiti Sains Malaysia

Menyedari akan hakikat kepentingan kelangsungan rantaian sumber makanan tempatan, pelbagai pihak perlu lebih kreatif dalam melahirkan lebih ramai usahawan tempatan dalam bidang berkaitan pertanian dan penternakan. Sungguhpun ianya mungkin memakan masa yang lama bagi melahirkan usahawan yang bersifat global, sekurang-kurangnya menjadi usahawan tempatan yang mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam dalam bidang pertanian dan penternakan untuk menyumbang kepada sektor ekonomi tempatan seterusnya kepada rantaian ekonomi keluarga. Kepimpinan tertinggi Universiti Sains Malaysia (USM) yang dipimpin oleh Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan melalui kerjasama Jabatan Pendaftar dan Bahagian Jaringan Masyarakat telah membangunkan program Pembangunan Keusahawanan di kalangan staf B40 di USM. Dalam program ini, staf yang tergolong dalam kategori B40 yang terpilih telah diberikan latihan keusahawanan dalam bidang penternakan ikan keli, bebiri dan arnab yang mana pemilihan dan penambahbaikan kawasan sedia ada dalam kampus USM telah dijadikan sebagai kawasan latihan keusahawanan ini.

Dalam program ini, setiap kumpulan staf yang terpilih akan diberikan dana sebanyak RM4,000 bagi menampung kos pembelian benih dan induk bagi memulakan penternakan. Dana RM4,000 ini adalah merupakan dana sumbangan USM terhadap kumpulan staf yang terpilih tanpa memerlukan staf untuk membayarnya semula. Setakat ini, sebanyak lebih RM100,000 telah dibelanjakan oleh USM bagi membantu 40 bakal usahawan baharu yang akan dibangunkan oleh USM yang mana kos ini termasuk kos penyelenggaraan dan modal awal yang telah diberikan oleh universiti kepada staf. Dalam memastikan USM melahirkan usahawan yang berilmu, pelbagai program keusahawanan dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pusat pengajian di USM bagi memberikan latihan yang secukupnya kepada staf yang berkaitan dengan bidang perniagaan, pemasaran, pengiklanan, penubuhan syarikat, pengurusan syarikat dan sebagainya.

Yang menariknya, program keusahawanan B40 turut menarik minat pelbagai pihak bagi menyumbang kepakaran untuk memastikan peserta yang terlibat mempunyai cukup ilmu pengetahuan bagi menerokai bidang penternakan ini. Sebagai contoh, Jabatan Pendaftar dan Bahagian Jaringan Masyarakat telah menjalinkan kerjasama dengan Pusat Penyelidikan dan Perkhidmatan Haiwan (ARASC) USM dalam menjalankan program penternakan bebiri dan arnab. Oleh kerana ARASC adalah merupakan pusat perkhidmatan haiwan makmal yang turut menternak dan menjual arnab dan bebiri bagi tujuan penyelidikan, kepakaran yang dimiliki oleh ARASC ini turut diguna dan dikembangkan bagi membantu melatih para peserta B40 yang berminat dalam bidang penternakan bebiri dan arnab. Peserta bukan sahaja dilatih dan dipantau oleh ARASC dalam penjagaan dan kebajikan haiwan, malah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kubang Kerian Kelantan turut melatih peserta dalam teknik penghasilan baka bebiri yang bermutu bagi tujuan komersial. Jabatan Perikanan Machang, Kelantan turut menjalin kerjasama dengan peserta penternakan ikan keli dengan membekalkan 10,000 ekor anak ikan keli sebagai benih awal bagi tujuan penternakan ini. Malah, Ahli Parlimen Kubang Kerian, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man turut menyumbang dana sebanyak RM10,000 bagi membantu peserta untuk mengembangkan program keusahawanan mereka supaya limpahan kejayaan ini akan turut dikongsikan kepada komuniti setempat sebagai pusat latihan penternakan bagi komuniti. Dengan adanya pusat penternakan ini ianya turut menjadi sebagai pusat komuniti yang menghubungkan peserta usahawan B40 dengan komuniti setempat sebagai pusat latihan dan pengembangan ilmu berkaitan penternakan. Malahan, dengan adanya ruang pembelajaran terbuka ini, ianya menjadikan tapak projek keusahawanan B40 sebagai simbol komuniti dalam kampus.

thumbnail foto 3

Gambar: En. Faizul sedang memeriksa anak arnab yang berumur sebulan yang diternak oleh ahli kumpulan beliau.

Tapak bagi projek keusahawanan B40 ini bukan sahaja mampu menjadi pusat latihan keusahawanan malah akan turut menjadi ruang pembelajaran terbuka bagi komuniti setempat yang turut berminat atau sedang mengusahakan bidang penternakan ini. Ini bukan sahaja mampu untuk membentuk dan memajukan program keusahawanan di kalangan staf B40 yang terpilih, malah ianya akan mampu menerapkan konsep universiti sebagai sebuah gedung ilmu yang tiada sempadan. Universiti seringkali terkait dengan penawaran kursus-kursus yang dikatakan tidak memenuhi permintaan pasaran malah universiti seringkali dikatakan sebagai hanya menekankan kepada ilmu asas (fundamental knowledge) sedangkan yang diperlukan oleh graduan di luar universiti itu lebih rumit dan mencabar, dan ini tidak diajar oleh universiti.

Dengan adanya pengenalan kepada program keusahawanan di kalangan staf B40 ini, ianya mampu membuka ruang bagi melatih lebih ramai usahawan di kalangan pelajar USM sama ada yang sedang menuntut dalam universiti atau hampir tamat pengajian untuk turut sama terlibat dalam membangunkan program ini. Penglibatan mereka secara separuh masa dalam penjagaan dan pengurusan haiwan serta pemasaran produk pengeluaran hasil daripada projek keusahawanan ini mampu memberi dimensi baharu kepada bakal graduan yang menuntut di USM, yang mana para pelajar diberi peluang untuk hands-on dan menjana peluang yang ada di sekeliling mereka. Diharapkan usaha murni USM dalam memperkasakan ekonomi stafnya di kalangan B40 ini mampu membawa dimensi baharu yang berimpak kepada bukan sahaja kepada staf yang terpilih, malah kepada komuniti secara keseluruhannya. Pengalaman dan pengetahuan yang diterima oleh para peserta dalam program ini mampu membawa transformasi ekonomi terhadap pendapatan isi rumah serta melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang penternakan.

Nota:

Data kemiskinan dan pendapatan adalah diperolehi daripada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri di laman sesawang https://www.epu.gov.my/ms/statistik-sosioekonomi/pendapatan-isi-rumah-kemiskinan-dan-perbelanjaan-isi-rumah

Data bilangan isi rumah B40 dan M40 adalah diperolehi daripada Jabatan Perangkaan Malaysia di laman sesawang https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/6_Newsletter/Newsletter%202020/DOSM_BPHPP_3-2020_Siri_28.pdf

Maklumat berkaitan kesan COVID-19 terhadap individu adalah diperolehi daripada Jabatan Perangkaan Malaysia di laman sesawang: https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/covid-19/Analisis_Survei_Khas_Kesan_COVID-19_Kepada_Ekonomi_dan_Individu-Laporan_Penuh.pdf

  • Created on .
  • Hits: 4026

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024