USM NEWS PORTAL 

Rencana / Features

KERACUNAN VAPE DI MALAYSIA (VAPE POISONING IN MALAYSIA)

Oleh: Sulastri Samsudin, Pegawai Farmasi, Unit Maklumat Ubat & Racun, Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia. Emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.; 26 Januari 2021   

Vape mula diperkenalkan dalam pasaran dunia pada tahun 2004 sebagai produk mengurangkan kemudaratan (harm reduction product) untuk digunakan dalam terapi berhenti merokok1.

Vitamin B12 Vaping Can Hurt Your Lungs - Is Vitamin Vaping Really  Beneficial to Your Health?

Namun setelah hampir 2 dekad di pasaran, banyak kajian dan laporan terhadap kesan buruk akibat penggunaan vape telah dilaporkan.

Selain berisiko menyebabkan kesan jangka panjang terhadap kesihatan seperti penyakit berkaitan paru-paru akibat penggunaan rokok elektronik atau vape (EVALI, E-cigarette and vape product related lungs injury), menghisap vape juga berisiko mengakibatkan kesan buruk lain seperti keracunan akut, malahan kecederaan sama ada akibat letupan atau kebakaran sehingga menyebabkan kematian mendadak.  

Di Malaysia, vape mula dipasarkan secara komersil pada tahun 2015.

Sejak dari itu, Pusat Racun Negara (PRN) telah menerima hampir 30 kes keracunan berkaitan vape dengan peningkatan ketara pada 2 tahun kebelakangan ini. Sebanyak 6 kes telah dilaporkan pada tahun 2019, manakala pada tahun 2020, kes bertambah dua kali ganda kepada 13 kes4.

Seperti kes-kes keracunan vape di negara lain, kebanyakan kes keracunan cecair vape melibatkan kanak-kanak kecil berusia lingkungan 1-4 tahun2. Malahan, pesakit paling muda yang dilaporkan kepada PRN adalah berusia 4 bulan!

Majoriti pesakit terminum cecair isian semula vape yang diletakkan di tempat yang mudah dicapai oleh kanak-kanak.

Terdapat 2 kes kanak-kanak berusia 9 dan 10 bulan yang cuba menghisap vape kepunyaan ahli keluarga dan mengalami gejala pernafasan.

Hampir semua pesakit yang dilaporkan mengalami gejala seperti muntah, sakit perut, cirit-birit dan pening kepala. Seorang kanak-kanak berusia 4 tahun mengalami kesan paling teruk sehingga sawan dan tidak sedarkan diri4.

Dalam kebanyakan kes, kandungan cecair isian semula vape tidak dapat dikenalpasti melainkan bahan asasnya yang didakwa selamat iaitu propilena glikol, gliserin dan bahan perasa.

Namun di Malaysia, daripada sudut undang-undang, vape didefinisikan sebagai rokok elektronik yang tidak mengandungi nikotin.

Tetapi jika diperhatikan gejala-gejala yang dialami oleh pesakit, rata-rata menunjukkan kesan akut keracunan nikotin.

Ini memberi gambaran bahawa kemungkinan besar cecair tersebut mengandungi nikotin dan menyalahi undang-undang yang ditetapkan.

Sebarang persediaan yang mengandungi nikotin adalah racun kumpulan C yang dikawal mengikut Akta Racun 1952.

Fenomena ini diburukkan lagi dengan laporan kes keracunan vape yang diterima PRN pada awal tahun ini.

Berdasarkan maklumat daripada pesakit, cecair vape tersebut disyaki mengandungi bahan terlarang iaitu dadah berbahaya Psilocybin yang boleh didapati daripada ekstrak cendawan atau secara sintetik yang juga dikenali sebagai Magic Mushrooms, Shrooms atau Booms.

Penambahan bahan terlarang ke dalam cecair vape akan membuka ruang kepada penyalahgunaan bahan yang lebih teruk lagi pada masa akan datang.

Bilangan pengguna vape di Malaysia kini telah pun mencecah lebih sejuta orang dan kebanyakan mereka adalah daripada golongan remaja3.

Adakah kita sanggup menggadaikan nasib bakal pewaris negara kita dengan menerima vape sebagai pengganti kepada rokok?

Pusat Racun Negara berpendirian bahawa kedua-dua amalan sama ada menghisap rokok atau pun vape adalah satu proses meracuni diri sendiri dengan sengaja dalam jangka panjang. Justeru itu, vape bukanlah satu alternatif untuk berhenti merokok.

Yakin dan percayalah dengan saranan pengamal perubatan anda untuk menggunakan terapi ubat-ubatan yang diiktiraf dan telah dikaji keselamatannya. Berhenti menghisap vape atau jangan mulakan!

-----------------

Rujukan:

  1. Anna Tzortzi et al. A Systematic Literature Review of E-Cigarette-Related Illness and Injury: Not Just for the Respirologist. Int. J. Environ. Res. Public Health 2020, 17, 2248; doi:10.3390/ijerph17072248
  2. Chang et al. National estimates of poisoning events related to liquid nicotine in young children treated in US hospital emergency departments, 2013–2017. Injury Epidemiology (2019) 6:10 https://doi.org/10.1186/s40621-019-0188-9
  3. NHMS (2019). National Health and Morbidity Survey 2019: Vol II: Non-Communicable Diseases, Risk Factors, & Other Health Problems. Kuala Lumpur: Institute for Public Health
  4. Data kes keracunan yang dirujuk ke Pusat Racun Negara 2015–2020.
  • Created on .
  • Hits: 13235

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024