USM NEWS PORTAL 

Rencana / Features

PERUT YANG BESAR JANGAN DISANGKA GEMUK!

oleh Dr. Salina Sany, Pakar Obstetrik & Ginekologi, Klinik Pakar Ginekologi, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), USM - 19 Januari 2021

Kebanyakan wanita cenderung untuk melewatkan rawatan walaupun perubahan perut yang semakin membesar kerana pada sangkaan mereka mengalami kegemukan.

Tahukah anda bahawa persepsi tersebut sebenarnya boleh memudaratkan kesihatan mereka sekiranya perut yang buncit tersebut disebabkan oleh kanser ovari.

WhatsApp Image 2021 01 25 at 11.43.44 AM

Kanser ovari adalah kanser yang ketiga tertinggi dalam kalangan wanita selepas kanser serviks dan kanser rahim. Selain itu, kanser ini berkecenderungan untuk berulang walaupun rawatan telah diberikan.

Apakah tanda-tanda kanser ovari?

Kebanyakan wanita didiagnos ketumbuhan ovari pada peringkat akhir yang mana simptom yang ditunjukkan kadang kala tidak jelas. Sebanyak 23% wanita tidak mempunyai apa-apa simptom walaupun mereka sebenarnya mempunyai ketumbuhan di ovari.

Simptom yang boleh ditunjukkan ialah seperti:

  1. sakit perut di bahagian pelvis;
  2. perut membesar dan tegang;
  3. kadang kala akan ada simptom susah utk kencing/buang air besar; dan
  4. sesak nafas sekiranya ketumbuhan tersebut besar atau terdapat ascitis (air di dalam ruang peritoneum).

Terdapat pesakit yang menyangkakan mereka gemuk kerana perut membuncit.

Faktor-faktor yang meningkatkan risiko kanser ovari:

  1. Wanita yang tidak pernah mengandung (nulliparous).
  2. Faktor genetik - Wanita yang mempunyai sejarah kanser payudara, usus atau ovari di dalam keluarga mempunyai risiko untuk mendapat kanser lebih tinggi berbanding wanita yang tiada sejarah keluarga (5% berbanding 1.4%).
  3. Menggunakan ubatan untuk merangsang proses ovulasi (bagi rawatan kesuburan menggunakan ubat kesuburan >12 kitaran).
  4. Obesiti.

Terdapat beberapa faktor yang mengurangkan risiko kanser ovari iaitu:

  1. Penggunaan hormon pil perancang (oral contraceptive pill).
  2. Telah menjalani proses pemandulan, iaitu kedua-dua tiub fallopian dibuang (tubal ligation).
  3. Penyusuan susu ibu.

Adakah semua ketumbuhan ovari memerlukan pembedahan?

Ketumbuhan ovari boleh dikategorikan sebagai kanser dan bukan kanser. Terdapat ciri-ciri melalui pemeriksaan fizikal dan penyiasatan yang boleh mengesan ketumbuhan tersebut adalah kanser ataupun tidak.

Ketumbuhan yang besar dan mempunyai ciri-ciri yang mencurigakan melalui mesin ultra bunyi (ultrasound) serta ujian darah Ca125 yang tinggi menandakan bahawa pesakit mempunyai potensi mendapat kanser ovari. Pesakit ini memerlukan rawatan pembedahan segera. Keputusan melalui histopatologi akan mengesahkan jenis kanser ovari pesakit.

Bagi pesakit yang mempunyai ketumbuhan ovari bersaiz <5cm dan bacaan Ca125 yang normal, mereka boleh dipantau melalui temujanji kerana golongan pesakit ini mempunyai potensi yang rendah untuk kanser ovari.

Walau bagaimanapun, sekiranya pesakit mempunyai faktor genetik atau sejarah keluarga yang mempunyai kanser ovari, mereka disarankan untuk menjalani pembedahan membuang ketumbuhan tersebut.

WhatsApp Image 2021 01 25 at 11.44.49 AM

Adakah kanser ovari mempunyai ujian saringan?

Tiada ujian saringan yang spesifik seperti ujian saringan kanser serviks untuk mengesan kanser ovari. Walau bagaimanapun, bagi wanita yang mempunyai faktor risiko, mereka digalakkan berjumpa pakar ginekologi untuk menjalani imbasan ultrabunyi bagi mengesan ketumbuhan ovari.

Sila datang berjumpa pakar sekiranya anda ingin mendapatkan pemeriksaan.

  • Created on .
  • Hits: 7554

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024