TUMPU CARA TERBAIK VAKSINASI
18 Januari 2021
PETALINGJAYA: Pertikaian dalam kalangan masyarakat termasuk pihak-pihak berkepentingan berhubung tarikh perolehan vaksin Covid-19,sama ada ia cepat atau lambat tidak patut diperdebatkan lagi.
Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sains Kajihayat Universiti Sains Malaysia (USM). Dr. Khayriyyah Mohd. Hanafiah berkata, urusan perolehan vaksin yang diumumkan karajaan bermula Februari ini boleh dianggap telah selesai dan kini fokus perlu terarah kepada mencari mekanisme terbaik bagaimana proses vaksinasi untuk pelbagai lapisan masyarakat bakal dilaksanakan.
Beliau berkata, ini kerana Malaysia tidak pernah mempunyai pengalaman melakukan kampen vaksinasi secara besar-besaran kepada orang dewasa memandangkan semua warganegara diberikan vaksin di peringkat bayi dan kanak-kanak.
“Sebelum ini ramai yang bertanya bila vaksin akan sampai, sekarang sudah diumumkan akan tiba secara berperingkat mulai Februari. Tidak perlu terus mempertikai cepat atau awal.
“Apa yang terbaik, kita fokus kepada perjalanan bagaimana untuk vaksinasi masyarakat. Siapa yang diutamakan, bagaimana nak yakinkan masyarakat bahawa ia selamat dan isu-isu logistik yang berkenaan.
“Malaysia tidak pernah berhadapan dengan proses vaksinasi orang dewasa secara besar-besaran kerana kita tidak pernah berhadapan dengan situasi sebegini. Pastinya banyak yang harus difikirkan dan memerlukan kerjasama seluruh masyarakat untuk melancarkannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Semalam, kerajaan memaklumkan Malaysia antara negara terawal yang menerima vaksin Covid-19 iaitu pada Februari ini seperti yang dipersetujui dengan syarikat Farmaseutikal Pfizer.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, tempoh masa terbabit dipersetujui dalam perbincangan membabitkan kontrak dengan Pfizer pada November tahun lalu sekali gus menjadikan Malaysia antara negara terawal di Asia Pasifik yang mendapat bekalan vaksin terbabit.
Katanya, melihat kepada Singapura, negara itu diyakini membuat perjanjian terlebih dahulu susulan negara itu mempunyai sumber yang besar dengan bajet melebihi SGD 1 bilion untuk populasi rakyat negara itu ) kira-kira bajet yang sama dengan Malaysia untuk penduduk yang kira-kira lima kali lebih besar).
Dalam pada itu, Pakar Perunding Kesihatan Awam, Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman berkata, adalah wajar Malaysia membangunkan vaksin sendiri dan mengurangkan kebergantungan terhadap luar negara.
“Lihat saja bagaimana kita terpaksa bergantung kepada negara lain untuk bekalan vaksin. Bayangkan senario jika bekalan vaksin yang amat terhad, kalau kita punya wang pun belum tentu kita boleh memperolehnya. Ancaman penyakit berjangkit tidak akan berkahir dengan Covid-19.
“Masa hadapan akan ada ancaman lain. Kalau kita berupaya membangunkan vaksin sendiri, sekurang-kurangnya apabila dalam keadaan kecemasan, kita boleh berusaha melindungi rakyat kita dengan lebih lebih cepat. Malah usaha ke arah ini harus serius dan dijadikan agenda nasional,”kata beliau.
sila rujuk link di bawah:
(Utusan, 16 Januari 2021, Dalam Negeri, Ms 6)
- Created on .
- Hits: 1503