MANFAATKAN SUMBER MINERAL UNTUK KEPERLUAN MANUSIA SECARA BERHEMAH DAN LESTARI DENGAN MENGAMBILKIRA FAKTOR ALAM SEKITAR
Oleh: PROFESOR MADYA IR. DR. SYED FUAD SAIYID HASHIM
Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan Dan Sumber Mineral
Universiti Sains Malaysia
Perlombongan di Malaysia telah bermula lebih dari satu abad yang lalu sebagai pengeluar bijih timah terbesar di dunia sehingga tahun 1980-an. Pendapatan yang diperolehi daripada memanfaatkan sumber mineral semula jadi ini telah menyumbang kepada pembangunan awal negara. Sehingga hari ini, industri perlombongan dan pengkuarian telah menyumbang sekitar 2.9% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK). Pembinaan sebahagian besar jalan raya dan kereta api yang terdapat di Malaysia telah dimulakan atas dasar keperluan melombong serta keperluan untuk mengangkut hasil bijih timah. Sumbangan perlombongan terhadap pertumbuhan ekonomi di Malaysia adalah penting dan akan terus dilakukan pada tahun-tahun yang akan datang.
Terdapat lebih 33 jenis sumber mineral yang berbeza wujud di Malaysia, ianya terdiri daripada mineral logam, bukan logam dan tenaga. Mineral-mineral ini dianggarkan bernilai melebihi berbilion dolar dan berpotensi untuk menjana ekonomi negara. Ini termasuk bauksit, emas, tembaga dan mineral industri lain seperti batu kapur, pasir silika dan tanah liat. Baru-baru ini, dengan hasil kerja penyelidikan dan penjelajahan yang meluas, sumber baru yang berpotensi iaitu unsur nadir bumi (UNB) yang kebanyakannya terdapat di dalam batuan granit terluluhawa telah ditemui, dan memberi peluang besar kepada mereka yang ingin meneroka di kawasan yang berpotensi ini. Sudah pasti juga memberi peluang yang besar kepada negara untuk menjana ekonomi dalam bidang perlombongan dan pengkuarian.
Menyedari potensi besar sumber mineral ini, langkah-langkah penting adalah perlu bagi memastikan deposit ini diekploitasi secara bertanggunjawab. Oleh itu, pembangunan lestari sumber mineral ini perlu dijadikan agenda utama oleh pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan. Langkah strategik dan inisiatif-insiatif telah dirumuskan dan dilaksanakan untuk memastikan kelestarian sumber ini dan pada masa yang sama alam sekitar tetap dipelihara. Agensi seperti Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Malaysian Chambers of Mines (MCOM), telah memainkan peranan dalam mempromosikan dan mengetengahkan konsep ini kepada semua pengendali lombong dan kuari di Malaysia. Adalah penting pada peringkat ini, permit melombong hanya akan dikeluarkan setelah suatu kertas cadangan yang diserahkan diakses dan dinilai dengan teliti dari pelbagai pihak berkuasa.
Mineral Nadir Bumi Bukan Radioaktif
Unsur nadir bumi (UNB) adalah rangkaian unsur kimia yang terdapat di dalam kerak bumi, dan unsur ini sangat penting bagi pembangunan industri yang berteknologi moden seperti peranti elektronik, komputer dan rangkaian “networks”, tenaga bersih, komunikasi, pengangkutan berteknologi tinggi, perubatan dan banyak lagi. UNB merupakan komponen penting dalam teknologi bersih, seperti turbin kuasa angin, kenderaan elektrik, pencahayaan cekap-tenaga, dan penukar pemangkin (catalytic converters). Terdapat 17 elemen yang dianggap sebagai unsur nadir bumi yang merupakan 15 unsur dalam siri lantanida dan 2 unsur tambahan yang mempunyai sifat kimia yang serupa. 15 elemen dalam siri lantanida adalah Lanthanum (La), Cerium (Ce), Praseodymium (Pd), Neodymium (Nd) dan Samarium (Sm) yang diklasifikasikan sebagai unsur nadir bumi ringan, sementara Europium (Eu), Gadolinium (Gd), Terbium (Tb), Dysprosium (Dy), Holmium (Ho), Erbiumthulium (Er) dan Ytterbium (Yb) diklasifikasikan sebagai unsur nadir bumi berat. Dua elemen tambahan lain ialah Scandium (Sc) dan Yttrium (Y). Deposit lempung jerapan ion atau dikenali ‘ion adsorption clay’ (IAC) kini menjadi sumber tumpuan UNB di Malaysia. Ini adalah sumber mineral baru yang menjanjikan dan berpotensi sebagai ekonomi baru untuk Malaysia. Ia adalah sumber bukan radioaktif bagi Unsur Nadir Bumi (UNB) yang boleh dilombong menggunakan kaedah perlombongan yang mampan.
Pembentukan Sumber Mineral Nadir Bumi (UNB)
Deposit UNB merupakan jenis lempung jerapan ion (IAC) biasanya terhasil oleh luluhawa sub-tropik ke atas batuan igneus yang mengandungi mineral UNB. DI dalam deposit terluluhawa ini, umumnya UNB akan meresap ke permukaan tanah liat (kaolinit dan halosit) tetapi mungkin juga terkandung di dalam struktur mineral sekunder itu sendiri. Pembentukan bijih jenis ini disebabkan oleh luluhawa fizikal, kimia dan biologi (mikrob) batuan granit dan gunung berapi yang kaya dengan UNB di bawah keadaan panas, lembap, sedikit berasid di zon tropika - subtropika.
Perlombongan dan Pemprosesan UNB
UNB dalam IAC mudah diekstrak melalui proses pertukaran ion dengan penggunaan kos yang rendah melalui kaedah pelarutlesapan secara “in-situ”. Perlombongan konvensional melibatkan peletupan bijih mineral dari tanah, pemecahan batuan, dan pemprosesan mineral untuk mendapatkan mineral yang dikehendaki. Namun, kaedah perlombongan untuk UNB jenis IAC ini menggunakan kaedah pelarutlesapan ‘In-situ’ atau “In-situ leaching” (ISL), di mana kaedah ini tidak akan melibatkan penggunaan tanah yang luas dengan penebangan pokok yang dilakukan adalah sangat minimal dan tiada penggunaan jentera berat. Larutan pelarutlesapan “in-situ” akan disuntikkan secara langsung ke jasad bijih melalui lubang suntikan larutan di mana sistem perpaipan yang komprehensif dibina. Sistem pengaliran larutan kandung (“pregnant solution”) yang mengandungi ion UNB dibina di bahagian bawah jasad bijih untuk pengumpulan larutan kandung UNB yang telah dilarutlesap ke dalam kolam larutan kandung, dan seterusnya dipam ke kilang hidrometalurgi untuk diproses. Larutan tersebut kemudian melalui proses pemendakan untuk meningkatkan kepekatan ion UNB. Produk akhir proses ini adalah UNB Karbonat. Kaedah ini telah digunapakai dengan meluas untuk pengekstrakan uranium dan emas di sesetengah negara. Walaupun demikian, struktur batuan dan mukabumi kawasan perlombongan perlu dikaji secara mendalam bagi memastikan keselamatan air bawah tanah. Kebaikan kaedah ini adalah ia dapat mengurangkan kesan terhadap alam sekitar seperti penghasilan sisa buangan yang tidak toksik dan tiada gangguan terhadap flora dan fauna.
Modal insan dan kepakaran
Operasi perlombongan ini memerlukan kepakaran teknikal yang terlatih. Modal insan yang berpengetahuan dalam bidang perlombongan dan pemprosesan mineral dapat membantu industri berkaitan mengamalkan perlombongan secara lestari dan bertanggungjawab dan seterusnya memastikan operasi dijalankan secara selamat dan mematuhi peraturan sedia ada. Tenaga kerja mahir ini terdapat di pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan institusi pengajian tinggi seperti Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan beberapa universiti lain. Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Universiti Sains Malaysia, menawarkan program Kejuruteraan Sumber Mineral sejak tahun 1986 dan merupakan institusi terawal mempelopori bidang perlombongan di Malaysia. USM mempunyai tenaga pengajar yang berpengalaman dalam bidang eksplorasi, perlombongan dan pemprosesan mineral dan telah banyak terlibat dalam kerja penyelidikan dan pembangunan dalam bidang kejuruteraan sumber mineral.
Kesimpulan
Malaysia dikurniakan pelbagai sumber mineral untuk kegunaan semua. Sumber Mineral ini perlu dimanfaatkan untuk keperluan manusia secara berhemah dan lestari dengan mengambilkira faktor alam sekitar. Dengan adanya tenaga mahir dan terlatih dalam bidang kejuruteraan sumber mineral, adalah menjadi harapan kita semua supaya khazanah mineral negara dapat dinikmati dan diekploitasi dengan cara terbaik dengan mengambilkira keperluan masa hadapan.
- Created on .
- Hits: 10956