USM NEWS PORTAL 

Rencana / Features

SIMPANG KIRI SEBUAH JALAN

Profesor Madya Dr. Nazarudin Zainun
Bahagian Sejarah
Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan
Universiti Sains Malaysia
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
 
8 Disember 2020
 
Pendahuluan
"Buku teks Sejarah Tingkatan 4 telah ditulis semula dan sudah pun digunakan di sekolah. Dalam buku teks baharu ini, sejarah mogok Hartal 1947 dan perjuangan kiri PUTERA-AMCJA masuk semula dalam buku teks. Akhirnya perjuangan kiri yang telah lama dipadamkan kini diberi pengiktirafan dalam sejarah rasmi perjuangan kemerdekaan negara".  Inilah antara perkara yang dibincangkan oleh netizen dalam laman sosial sejak 12 Januari 2020 apabila membincangkan tentang buku Sejarah Tingkatan 4 yang baharu. Isu ini juga menarik perhatian sejarawan tanah air seperti diulas oleh Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam dalam Utusan Malaysia, 9 Oktober 2020. Artikel ini adalah satu penjelasan mengenai isu yang sama dan cuba meletakkan isu tersebut pada tempat yang logik dan sesuai.

2

 
Sejarah Awal
 
PUTERA (Pusat Tenaga Rakyat) adalah organisasi gabungan daripada 6 pertubuhan Melayu – PKMM, API, GERAM, Hizbul Muslimin, BATAS dan AWAS, manakala AMCJA adalah gabungan 3 buah kesatuan sekerja dan parti bukan Melayu – PMFTU, MDU dan MIC. Gabungan AMCJA-PUTERA dibentuk sebab mereka tidak berpuas hati dengan tindakan Jawatankuasa Kerja Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu (PPTM) yang tidak melibatkan golongan nasionalis Melayu radikal (kiri) dan bukan Melayu dalam merangka perjanjian tersebut. Mereka kemudiannya melancarkan Perlembagaan Rakyat (PR) sebagai alternatif kepada PPTM.  Setelah berbincang dan bertengkar panjang lebar maka dibuat undian dan akhirnya dengan persetujuan sebahagian wakil Cina maka dipersetujui perkara seperti yang tercatat pada halaman 130, Buku Sejarah Tingkatan 4.

Antara isi penting PR ialah berkaitan Tanah Air Melayu (TM), bangsa Melayu, Bahasa Melayu (termasuk jawi nya), Raja-raja Melayu mesti diterima sebelum diterima sebagai rakyat TM.  Dengan kata lain, melalui perlembagaan rakyat ini kompromi hanya wujud dengan pengiktirafan terhadap hak-hak Melayu sebagai bangsa, sedangkan istilah bangsa Malaysia ketika itu tidak wujud. Sebaliknya semuanya berasaskan kepada kebangsaan Melayu sahaja. Jelas PR menonjolkan perjuangan Melayu sebagai asas bangsa ini. AMCJA akhirnya mengiktiraf tuntutan itu walaupun melalui pengundian. Ini bermakna adanya pengiktirafan terhadap jati diri dan kebangsaan berasaskan kebangsaan Melayu. Bangsa, bahasa dan tanah air ini sebagai Melayu dan itulah yang dirancang oleh AMCJA-PUTERA jika British memberikan kemerdekaan dan PR adalah undang-undang dasar untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru.

British akhirnya menolak PR menyebabkan AMCJA-PUTERA menganjurkan Hartal (protes tanpa keganasan dengan menutup semua premis perniagaan) dengan sokongan Dewan Perniagaan Cina pada 20 September 1947. AMCJA-PUTERA ini digelar oleh British sebagai golongan radikal (kemudian popular sebagai golongan radikal kiri apabila dikaitkan dengan komunis sejak berdirinya KMM lagi) kerana keberanian mereka menentang British secara terbuka untuk menuntut kemerdekaan.

Melihatkan sokongan kepada PUTERA dan pertubuhan lain semakin meningkat maka British tiada pilihan lain selain daripada mengawalnya. Akhirnya pada 18 Jun 1948, setelah tiga orang majikan Eropah di beberapa estate di Sungai Siput dibunuh, maka kejadian ini dijadikan alasan oleh British untuk mengisytiharkan Darurat di TM. Maka serentak itu ramai pemimpin PUTERA yang ditunjang oleh PKMM ditahan dan dipenjarakan.

Sebenarnya pengumuman darurat ini adalah tindakan British untuk menghalalkan perang ke atas musuhnya. Persoalannya siapakah musuh sebenar British? Terdapat empat (4) pandangan yang membincangkan hal ini, iaitu: Ortodoks, Neo-Ortodoks, Revisionis dan Pasca-Revisionis. Hanya satu kejadian tetapi terdapat empat aliran utama pemikiran yang membincangkannya, sudah tentulah ini menggambarkan satu percanggahan pendapat yang luar biasa besar dalam pensejarahan Malaysia terutamanya berkaitan dengan sejarah darurat.

Pandangan Ortodoks (antaranya Miller, 1954 dan Purcell, 1955) menyatakan bahawa British mengisytiharkan darurat sebagai tindak balas terhadap keganasan komunis dan kewujudan rancangan PKM atas arahan komunis antarabangsa untuk mengangkat senjata melawan British. Golongan Neo-Ortodoks pula (antaranya Furedi, 1994 dan Stockwell, 1993) menyatakan darurat disebabkan adanya perubahan taktik PKM kepada yang lebih ganas, serta dorongan komunis antarabangsa serta kesan perang Dingin telah memaksa British mengisytiharkan darurat di TM. 

Bagi aliran Revisionis (antaranya McVey, 1958 dan McLane, 1966) pula Darurat berpunca daripada tindakan British sama ada dirancang atau tidak untuk menghapuskan ancaman terhadap kelangsungan pemerintahannya. Bagi mazhab Pasca-Revisionis – pandangan terbaru (antaranya Abdul Rahman Ismail, 2009 dan Azmi Arifin, 2014; 2017) pula menyatakan darurat adalah tipu muslihat British sebagai ‘serampang dua mata’ untuk menghapuskan ancaman gerakan nasionalis kiri-agama Melayu terutama dalam PKMM yang menuntut kemerdekaan dan sekali gus memanjangkan hayat British di TM.

Dengan kata lain mazhab Pasca-Revisionis menyatakan darurat di TM tiada kaitan dengan ancaman PKM dan mereka ini langsung tidak menyumbang kepada usaha-usaha kemerdekaan TM. Jadi dakwaan pemberontakan oleh PKM itu sengaja direka British bagi menghalalkan tindakan mereka terhadap golongan nasionalis yang dianggap mengancam kelangsungan British di TM. Dalam konteks darurat PKM hanyalah ‘kambing hitam’ bagi membolehkan British mengambil tindakan keras terhadap seluruh gerakan anti-kolonial terutama yang dipelopori oleh nasionalis kiri-agama Melayu yang terang-terangan memperjuangkan kemerdekaan TM. Hakikatnya British menganggap mereka lebih berbahaya berbanding ancaman komunis.

3

Mazhab

Ortodoks dan Neo-Ortodoks berpandangan dan meletakkan seolah-olah PKM sebagai sebuah organisasi yang kuat dan berpengaruh. Apakah benar demikian?  Aliran ini mengiktiraf dan menggambarkan seolah-oleh komunis merupakan sebuah organisasi yang sangat kuat walaupun pada hakikatnya PKM hanya mempunyai sekitar 12 ribu ahli sahaja berbanding golongan kiri dalam PKMM sahaja dianggarkan keanggotaannya sekitar 100 ribu orang. Tindakan mereka ini jelas mewakili sudut pandang kolonial yang sering memperkecil dan terkesan sebagai memperlekehkan perjuangan golongan nasionalis tempatan.

Sebenarnya semasa darurat, PKM tidak mempunyai cukup kekuatan untuk menghadapi British apatah lagi untuk ditakuti British. Berdasarkan sumber British dan Chin Peng sendiri mengakui bahawa PKM sememangnya tidak bersedia mengangkat senjata menentang British sehingga 1948. Buktinya sehingga 1940-an British masih ragu-ragu untuk mengaitkan keganasan yang berlaku di TM dengan pemberontakan PKM secara langsung kerana tidak mempunyai bukti konkrit. Malahan semasa darurat diisytiharkan pun kedudukan komunis berada pada tahap paling lemah kerana perpecahan dalamannya selepas era Lai Teck selain tidak disokong oleh masyarakat sama ada Melayu atau bukan Melayu di TM.

4

Persoalan Demi Persoalan

Tindakan sebahagian pengkaji seperti Furedi yang mengeneralisasikan semua gerakan kiri ke dalam komunis dan Stockwell menyatakan gerakan komunis di TM adalah gerakan nasionalis sebenar adalah satu kekeliruan nyata dan kesilapan besar. Hakikatnya PKM bukanlah sebuah parti yang memperjuangkan kemerdekaan TM. Anggotanya sekitar 12 ribu orang itu adalah golongan nasionalis yang berkiblatkan kepada negara China. Dengan kata lain mereka adalah nasionalis yang memperjuangkan nasionalisme orang asing di TM. Maka tidak hairanlah jika mereka tidak mendapat sokongan orang tempatan. Jelas bahawa pandangan golongan ini tersesat.

Dakwaan bahawa PKM dikatakan cuba membebaskan TM daripada cengkaman British juga jelas meragukan kerana matlamat utama PKM bukanlah untuk mencapai kemerdekaan bagi TM, tetapi hanya untuk menjadikan TM sebagai sebahagian daripada satelit komunis sama ada di bawah telunjuk China atau Soviet. Bagi tujuan tersebut, Chin Peng menyatakan bahawa PKM lebih bersedia bekerjasama dengan British bagi mencapai matlamatnya berbanding secara kekerasan. Sudah jelas lagi bersuluh kedudukan sebenar PKM ketika itu. Jadi di manakah asas kebimbangan British terhadap PKM?

Berdasarkan pandangan golongan Pasca-Revisionis, jelas bahawa darurat adalah satu reaksi British dalam menghadapi ancaman gerakan nasionalis kiri-agama Melayu berbanding ancaman komunis yang dikuasai oleh minoriti orang Cina. Kebimbangan British ini berasas bila mengingat tuntutan gerakan golongan nasionalis Melayu tersebut adalah berasas dan sah dalam menuntut kemerdekaan kerana mereka adalah nasionalis tempatan serta diiktiraf oleh pihak antarabangsa.

Hal ini ditambah lagi hakikat bahawa PKM tidak segera diisytihar sebagai sebuah organisasi haram sehingga sebulan selepas darurat diisytiharkan, iaitu setelah beberapa bulan gerakan politik kiri Melayu - API - diharamkan dan pemimpinnya seperti Ahmad Boestamam dipenjarakan. Jika benar PKM adalah biang keruk kepada Darurat di TM, kenapa British mengambil masa sehingga sebulan selepas pengisytiharan Darurat baru mengharamkan PKM. Itu pun setelah perbincangan panjang lebar di TM dan London. Jika demikian timbul persoalan, sejauh manakah pengisytiharan darurat itu disebabkan oleh ancaman pemberontakan bersenjata atau PKM seperti yang diwar-warkan dan dipercayai umum. Hal ini jelas tercatat terutamanya dalam teks-teks sejarah di sekolah.

Sebaik sahaja PUTERA (PKMM yang dianggarkan mempunyai sekitar 100 ribu ahli dan dilabelkan sebagai kiri) dibubarkan, dianggarkan seramai antara 100-300 orang Melayu, antaranya Shamsiah Fakeh dan Musa Ahmad menjadi ahli PKM dan mereka terhimpun dalam Regimen ke-10 PKM. Manakala selebihnya yang juga dilabelkan sebagai nasionalis kiri menyertai UMNO (ketika sebelum kemasukan bekas anggota PKMM, UMNO dianggarkan mempunyai sekitar 100 ribu ahli), antaranya Ghafar Baba dan Aisyah Ghani.

Timbul lagi persoalan, apakah kemasukan majoriti mereka yang nasionalis kiri ke dalam UMNO menyebabkan UMNO menjadi kiri atau Komunis? Buktinya jelas tidak menyebabkan UMNO dilabel sebagai organisasi kiri apatah lagi komunis. Hanya slogan UMNO sahaja yang berubah akibat pengaruh golongan kiri ini di dalam UMNO daripada ‘Hidup Melayu’ kepada ‘Merdeka’. Jika golongan yang dikatakan kiri ini memperjuangkan ideologi, percayalah ideologi tidak akan mati walaupun pengikutnya telah bertukar organisasi dan dicuci otaknya. Lalu apakah maksud kiri kepada golongan radikal Melayu pada masa itu? Apakah sama dengan komunis sehingga apa-apa yang tercatat di dalam PR pun ditafsirkan sebagai pengaruh kiri, sosialis malahan ada yang menyatakan sebagai sisa-sisa dan cikal bakal peninggalan komunis?

Bagi orang Melayu ketika itu kiri bukan bererti komunis. Bagi ahli-ahli PKMM misalnya menjadi golongan kiri bermaksud mengambil jalan menentang British bagi mendapatkan kemerdekaan TM. Kiri bukan bermaksud menyertai dan mengadopsi ideologi sosialisme dan komunisme ke dalam hati dan sanubari mereka. Ini kerana mereka adalah makhluk Melayu yang beragama – Islam. Ini berbeza dengan PKM yang memang mengadopsi ideologi komunis yang terang-terangan menidakkan kewujudan Tuhan.

Kesimpulan

Dengan demikian wajarlah sejarah tentang PR dan golongan radikal kiri ini dikaji dan dikenang di dalam cebisan sejarah bangsanya. Ini kerana sejarah itu dilakukan dan dilakarkan serta dimiliki oleh bangsanya sendiri - Melayu. Sehingga bila kita baru mahu sedar bahawa sejarah tentang PR golongan radikal kiri itu bukanlah warisan komunis tetapi warisan perjuangan membanggakan bangsa Melayu.

Ingatlah bahawa simpang kiri sebuah jalan itu bukan menuju ke Moscow atau Peking tetapi adalah jalan menuju kemerdekaan ibu pertiwi, yang punya agama oleh dan untuk bangsanya Melayu.

Artikel ini ditulis daripada pelbagai sumber serta perbincangan dengan pakar dalam bidang nasionalisme Melayu Dr. Azmi Arifin (Pensyarah di Bahagian Sejarah, USM). Artikel ini telah ditambah baik daripada yang disiarkan dalam fb.

 

  • Created on .
  • Hits: 5042

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024