USM NEWS PORTAL 

Rencana / Features

PEMERKASAAN KEPUSTAKAAN DALAM BAHASA MELAYU MELALUI TERJEMAHAN

Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong
Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Artikel ini diterbitkan dalam Dewan Bahasa Bil. 11 2020, m.s. 56-59
 
m.s. 56

Terjemahan merupakan wahana yang menjadi penghubung antara dua bangsa, dua tamadun, dua budaya dan dua negara yang sekali gus memungkinkan interaksi terjalin, serta persefahaman terpupuk antara dua entiti yang berlainan daripada beberapa aspek berikutan kelainan weltanchuung atau pandangan sarwanya.

Oleh hal yang demikian, terjemahan ternyata bukan sekadar kerja-kerja pemindahan huruf bahasa, malah turut merangkumi pemadanan pemikiran dan pandangan sarwa. Ternyata terjemahan adalah rumit dan memerlukan pengajian dan pelatihan yang khusus dan tersendiri, pada masa yang sama, terjemahan adalah pengajian aneka disiplin yang merentasi ruang dan waktu.

Untuk itu, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Bahagian Pengajian Terjemahan dan Interpretasi, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan menjadi institusi pertama dan satu-satunya universiti di Malaysia yang menawarkan program pengajian terjemahan dan interpretasi pada peringkat ijazah sarjana muda sejak tahun 1992. Disebabkan kepakaran para ahli akademiknya, USM turut menawarkan pengajian terjemahan pada peringkat ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah.

Turut menjadi kebanggaan USM adalah penyelidik dalam bidang terjemahan khusus bagi pasangan bahasa Cina-bahasa Melayu datangnya dari USM. Dengan bangkitnya negara China sebagai kuasa gergasi ekonomi dunia, terjemahan bahasa Cina-bahasa Melayu menjadi semakin penting baik dari aspek ekonomi, mahupun politik dan sosiobudaya.

Selaras dengan langkah perkembangan terjemahan bahasa Cina-bahasa Melayu, Unit Penyelidikan Terjemahan dan Interpretasi (Uniti), Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia menggembleng tenaga dengan Pusat Kebudayaan Han Malaysia dan Pejabat Kedutaan Malaysia di Beijing, China menganjurkan Webinar Antarabangsa Terjemahan Bahasa Cina-Bahasa Melayu pada 30 Jun 2020 melalui pelantar WEBEX. Perbincangan ilmiah yang berfokus pada terjemahan bahasa Cina-bahasa Melayu seumpama ini adalah perbincangan yang julung-julung kali diadakan. Seramai 200 orang peserta telah mengikuti Webinar ini.

Melalui penganjuran Webinar ini, penyelidik terjemahan bahasa Cina-bahasa Melayu dari Malaysia dan China diketemukan bagi membentangkan hasil dapatan kajian masing-masing. Selain itu, Webinar ini bertujuan mempererat hubungan kerjasama dua hala Malaysia-China melalui perkongsian ilmu terjemahan bahasa Cina-bahasa Melayu, dan pada penghujung Webinar ini, kertas kerja yang dibentangkan akan dikumpulkan bagi menghasilkan buku ilmiah dalam bidang terjemahan bahasa Cina-bahasa Melayu yang boleh dijadikan sumber rujukan amali dan penyelidikan sekali gus memperkaya kepustakaan dalam bahasa Melayu.

Dalam ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, Naib Canselor USM, beliau melaporkan bahawa sebagai prakarsa bagi merancakkan pelatihan penterjemah dan jurubahasa bahasa Cina-bahasa Melayu, USM mula mengorak langkah pada tahun 2018 dengan mengadakan usahasama dengan lapan buah universiti di China. Universiti-universiti ini ialah Beijing Foreign Studies Universiti, Guangdong University of Foreign Studies, Guangxi University for Nationalities, Yunnan Minzu University, Communication University of China, Tianjing University of Foreign Studies, Xi’an International Studies University dan Hainan College of Foreign Studies. Rakan-rakan universiti ini menghantar pelajar jurusan Bahasa Melayu mereka ke USM untuk mengikuti Program Pemindahan Kredit Bahasa Melayu (PROPERBM) selama 1-2 semester. Pada tahun 2018, seramai 23 orang pelajar telah mengikuti program ini, manakala tahun 2019 menampakkan seramai 63 orang pelajar telah menyertai PROPERBM. Tambah beliau, kursus-kursus dalam pakej PROPERBM terdiri daripada kursus bahasa, kesusasteraan, tamadun dan falsafah, sejarah, budaya, politik dan ekonomi dunia Melayu dan Malaysia yang membekalkan pelajar-pelajar ini kemahiran dan kecekapan untuk melakukan terjemahan.

Dato’ Goh Hin San, Presiden Pusat Kebudayaan Han Malaysia pula mengumumkan bahawa mereka sedang merancang mengadakan kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka serta kerajaan negara China bagi mengadakan satu sistem penilaian terjemahan bahasa Cina-bahasa Melayu dalam ucapan beliau. Tegas beliau, sistem penilaian ini bertujuan memberikan akreditasi kepada penterjemah bahasa Cina-bahasa Melayu bagi memastikan mutu terjemahan mereka terjamin.

Melalui ucapan perasmiannya, TYT. Raja Dato’ Nushirwan Zainal Abidin, Duta Besar Malaysia ke Republik Rakyat China mengemukakan tiga usul untuk pertimbangan dan pelaksanaan semua pihak. Pertama, aktiviti penyelidikan terjemahan Bahasa Cina-Bahasa Melayu perlu digiatkan melalui kerjasama institusi Malaysia-China. Kedua, lebih banyak karya ilmu kontemporari (sosioekonomi, perniagaan dlm talian, teknologi, sains) daripada bahasa Cina perlu diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Ketiga, lebih banyak program yang memperkaya penggunaan bahasa Melayu perlu dianjurkan dalam kalangan generasi baharu.

Webinar ini menyaksikan lapan orang penyelidik yang membentangkan kertas kerja, iaitu empat orang dari Malaysia, dan empat orang lagi dari China. Dalam sesi pertama yang bertemakan “Sejarah Terjemahan Bahasa Cina-Bahasa Melayu”, Tan Xiao dari Guangdong University of Foreign Studies menghuraikan sumbangan Xu Younian dalam terjemahan bahasa Cina-bahasa Melayu, Boh Phaik Ean dan Goh Sang Seong dari Universiti Sains Malaysia pula mencerakin peranan dan sumbangan Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif (PERSPEKTIF) dalam terjemahan bahasa Cina-bahasa Melayu. Selain mereka, Han Xiao dari Beijing Foreign Studies University dan Zhao Dan dari Guangxi University for Nationalities masing-masing berhujah berdasarkan tajuk “Kronologi Terjemahan San Guo Yan Yi ke dalam Bahasa Melayu” dan “Sejarah Terjemahan Analek ke dalam Bahasa Melayu”.

Dalam sesi kedua, dengan tema “Kaedah dan Teknik Terjemahan Bahasa Cina-Bahasa Melayu”, Oi Jiu Bell dan Goh Sang Seong dari Universiti Sains Malaysia mengemukakan kaedah dan teknik terjemahan nilai Konfusianisme dalam Hikayat Tiga Negara, manakala Cheah Poh Ying dan Goh Sang Seong yang juga dari Universiti Sains Malaysia mengusulkan teknik terjemahan nama tempat dalam Hikayat Jelajah Ke Barat. Dua kertas kerja lagi yang masing-masing bertajuk “Teknik Terjemahan Budaya Material dalam Hikayat Tiga Negara” dan “Teknik Terjemahan Kata Kerja Berimbuhan Memper- dalam Kamus Umum Bahasa Melayu-Cina Serba Baru” dibentangkan oleh Zhao Ran dari Yunnan Minzu University, serta Lee Pin Ling dan Goh Sang Seong dari Universiti Sains Malaysia.

Sebagai rumusan Webinar ini, terbukti bahasa Melayu ialah bahasa ilmu yang berupaya digunakan sebagai bahasa pengantar bagi menyampaikan ilmu dan pengetahuan, dan pada masa yang sama, bahasa Melayu ialah bahasa antarabangsa yang dituturkan bukan hanya oleh orang Malaysia di Malaysia, malah turut dipelajari, dikaji dan dituturkan oleh warga negara China. Bahasa Melayu ialah bahasa ilmu yang berdaya saing pada peringkat antarabangsa ialah pernyataan yang sahih dan tidak wajar dipertikaikan. Banyak karya dalam bahasa Melayu sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Cina untuk bacaan khalayak di negara China. Usaha pengeksportan pemikiran Melayu ke pasaran antarabangsa ini sekali lagi menunjukkan betapa diminatinya oleh warga asing tentang akal budi Melayu.

Seterusnya, terjemahan berperanan penting memperkaya kepustakaan bahasa Melayu. Banyak ilmu yang disampaikan dalam bahasa Cina kini dapat diakses melalui terjemahan bahasa Melayu. Pengimportan ilmu ke dalam bahasa Melayu sudah pasti menjadi penambah nilai kepada usaha memandaikan bangsa Malaysia melalui bahasa kebangsaannya.

Berdasarkan maklumat sejarah terjemahan bahasa Cina-bahasa Melayu, terdapat banyak tokoh, karya terjemahan dan pertubuhan bukan kerajaan yang bertungkus lumus menggiatkan penterjemahan bahasa Cina-bahasa Melayu sejak ratusan tahun dahulu sehingga hari ini. Dan, usaha yang tidak mengira penat dan lelah individu dan persatuan inilah yang membolehkan aktiviti terjemahan bahasa Cina-bahasa Melayu bertahan ke hari ini. Rentetannya, institusi bahasa yang berautoriti di Malaysia dan di China seharusnya memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada individu dan persatuan ini agar generasi muda mendapat motivasi untuk mewarisi perjuangan mereka.

Turut disimpulkan bahawa kerja-kerja penyelidikan terjemahan bahasa Cina-bahasa Melayu masih pada peringkat awal. Banyak lagi kajian yang bersifat ‘fundamental’ yang mendasari kerja-kerja amali penterjemahan perlu digerakkan. Sesungguhnya kemajuan sesuatu bidang ilmu itu banyak bergantung pada hasil dapatan yang diterokai melalui penyelidikan ilmiah.

Cambahan idea yang dibentangkan dalam Webinar kali ini diharapkan akan mencetuskan inspirasi dan ilham yang lebih kukuh dalam perancangan dan penyelidikan terjemahan bahasa Cina-bahasa Melayu sekali gus membawa manfaat signifikan dalam kelestarian hubungan Malaysia-China dalam segenap aspek.

 

  • Created on .
  • Hits: 1824

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024