USM NEWS PORTAL 

Rencana / Features

MORAL CERITA PAK CIK LADJA

https://www.hmetro.com.my/addin/2020/11/640827/moral-cerita-pak-cik-ladja

Mohamad Muhaimin Mohamad Zaki – Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan

Kisah Pak Cik Ladja melalui sebuah klip video baru-baru ini amat menyayat hati seluruh rakyat Malaysia. Wira Bajau Laut yang cekal ini gigih mendayung sampan bertemu sekumpulan anggota polis marin yang melakukan pemantauan di kawasan zon merah Kluster Bangau-Bangau, Kampung Halo yang terletak di perairan Sabah.

Hajat beliau adalah untuk memaklumkan bahawa masih terdapat dalam kalangan mereka yang belum mendapatkan bantuan. Berkat usaha murni yang dilakukan oleh Pak Cik Ladja dan polis marin yang bertindak secara cekap dan pantas, akhirnya bantuan segera dapat diberikan kepada mereka. Pak Cik Ladja tidak mementingkan dirinya sendiri walaupun ketika itu dia berada dalam kesulitan, malah bersikap bantu membantu sesama penduduk setempat yang juga mengalami nasib yang sama.

Sikap sebegini sebenarnya sangat dititik beratkan dalam Islam. Berdasarkan pelbagai kisah yang terdapat dalam sirah nabawiyyah, Baginda Nabi Muhammad SAW adalah ikon terbaik dalam mengasihi sahabat dan masyarakat. Misalnya, terdapat dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa telah datang seorang tua kepada Nabi SAW dan orang ramai melambatkan pergerakan untuk memberikan ruang kepadanya agar lelaki tua itu tidak bersesak-sesak. Setelah melihat perlakuan sahabat itu, maka nabi SAW pun bersabda yang bermaksud: " Bukanlah daripada golongan kami barang siapa yang tidak mengasihi kanak-kanak dan tidak menghormati orang dewasa." (Hadis Riwayat At Tirmizi)

Sikap cakna kepada orang lain juga menterjemahkan keimanan seseorang kepada Allah SWT. Mukmin yang sejati tidak hanya berfikir untuk memberikan kemudahan kepada dirinya sahaja, malah juga sesama insan yang lain. Rasulullah SAW sentiasa mendidik umatnya agar sentiasa mambantu dan memudahkan urusan orang lain agar kelak dipermudahkan urusan di hari akhirat. Perkara ini disebutkan dalam sebuah hadis daripada Abi Hurairah RA, sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang melepaskan saudara Mukmin daripada kesusahan di dunia maka Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat."

Berdasarkan hadis ini, Imam Ibnu Daqiq Al-A'id ketika mensyarahkan hadis ini di dalam kitabnya yang berjudul Syarah Al-Arbain Al-Nawawi Li Ibnu Daqiq Al-A'id menyatakan sebenarnya terdapat pelbagai jenis ilmu dan kaedah yang terdapat di dalam hadis ini tentang kelebihan menunaikan hajat seseorang. Ia juga termasuk di dalam mempermudahkan urusan dalam menuntut ilmu, harta, nasihat dan lain-lain yang membawa manfaat kepada manusia lain.

Mereka yang sentiasa mengasihi orang lain terutama mereka yang sedang di dalam kesusahan, hatinya sentiasa tenang dan berasa bersyukur dengan nikmat yang diberikan oleh Allah SWT. Kadangkala, kita sendiri melihat mereka yang aktif terlibat dalam gerak kerja amal dan misi bantuan kemanusiaan bukan semua terdiri daripada kalangan hartawan, namun mereka gembira setelah bantuan yang diberikan diterima dengan kasih sayang dan dihargai oleh penerima bantuan tersebut.

Mereka yang terdidik untuk menghulurkan bantuan kepada orang lain akan menyerlahkan keimanan dan ketakwaan melalui sikap prihatin terhadap permasalahan hidup orang lain. Kebiasaannya, hati dan jiwa mereka akan cepat tersentuh dengan keperitan orang lain yang memerlukan. Rasulullah SAW sendiri memberi jaminan buat umatnya yang bersikap penyayang dan penuh perikemanusiaan itu dengan ganjaran di akhirat kelak. Sabda Rasulullah SAW yang diriwatkan oleh Muslim yang bermaksud: "Barangsiapa meringankan seseorang yang berada dalam kesulitan di dunia ini, nescaya kelak Allah akan meringankan dirinya di dunia mahupun di akhirat."

Berbalik kepada kisah Pak Cik Ladja, apabila selesai bantuan diagihkan kepada penduduk di kampungnya, beliau dengan terharu segera menadah tangan berdoa kepada Allah SWT bersyukur dengan rezeki yang diperoleh. Walaupun sumbangan yang diterima tidaklah sebesar mana, namun bagi orang yang beriman mereka akan sentiasa bersyukur dengan setiap rezeki yang diperoleh. Benarlah kalam Ilahi dalam surah Ibrahim ayat ketujuh yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: 'Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih." Nikmat yang diperoleh bukan sahaja melalui harta benda, malah kurnian yang lain seperti hati yang tenang, kesihatan tubuh badan dan bahagia dengan nikmat ukhuwah sesama insan juga adalah nikmat yang tidak ternilai harganya.

Tambahan pula, ketika penularan wabak Covid-19 yang sedang menular pada ketika ini menyebabkan kejatuhan ekonomi segelintir masyarakat di negara kita. Sewajarnya, sifat bantu membantu ini disemai bermula sesama ahli keluarga, rakan taulan, sesama ahli masyarakat dan komuniti setempat. Boleh jadi bukan hanya melalui bantuan kewangan, malah bantuan seperti menyalurkan maklumat mereka yang dikenali kepada pihak bertanggungjawab untuk diberikan bantuan seperti yang dilakukan oleh Pak Cik Ladja juga adalah usaha yang boleh diteladani.

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Abdullah bin Amr mengisahkan seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai apakah amalan Islam yang terbaik? Kemudian Baginda menerangkan kepadanya bagi menjawab persoalan lelaki tersebut: "Engkau memberi makan kepada orang lain dan engkau mengucapkan salam kepada orang yang engkau kenali mahu pun yang tidak engkau kenal."

Malah, melalui perawi yang sama, Baginda SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Muslim yang mendoakan temannya secara diam-diam, akan disambut malaikat dengan berkata: 'Semoga untukmu juga.'" Inilah hikmah Allah SWT mendatangkan ujian kepada kita, antaranya untuk memberikan peluang dan kesempatan buat kita meraih pahala dengan membantu orang lain yang memerlukan.

Kesimpulannya, berbuat baik dan saling bantu membantu adalah tuntutan agama dan amalan itu patut berada di dalam diri untuk dijadikan sebagai teladan kepada masyarakat. Di dalam al-Quran, Allah SWT mengakui bahawa Baginda SAW adalah contoh teladan yang terbaik untuk diikuti sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat ke 21 yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik". Maka, di bulan kelahiran Rasulullah SAW yang mulia ini, jadikan suri teladan Baginda SAW sebagai inspirasi dalam kehidupan kita bersama.

12 November 2020 Moral cerita Pak Cik Ladja HM Addin Ms 15

(Harian Metro, 12 November 2020, Addin, Ms 15)

  • Created on .
  • Hits: 1464

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024