USM NEWS PORTAL 

Rencana / Features

TUNTUTAN FILIPINA TERHADAP SABAH: ANTARA REALITI DAN SOLUSINYA

Profesor Madya Dr. Nazarudin Zainun
Bahagian Sejarah,Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
8 November 2020

 

Pendahuluan

Perbalahan antara Filipina dan Malaysia mengenai siapa yang berhak memiliki Sabah masih belum selesai daripada kaca mata Filipina. Bagi Filipina isu pemilikan ke atas Sabah masih tergantung, tiada penyelesaian muktamad, tetapi pendirian Malaysia jelas menganggap kes ini telah selesai berdasarkan keputusan rakyat Sabah sendiri yang memilih untuk bergabung dalam Malaysia.

Punca Perbalahan

Isu asas siapakah berhak ke atas Sabah?Filipina mendakwa memperoleh kuasa memerintah Sabah daripada Kerajaan Sulu, manakala Malaysia peroleh kuasa perintah Sabah daripada Kerajaan British. Inggeris mendapat kuasa daripada Syarikat Inggeris Borneo Utara yang mendapatkannya daripada Overbeck & Dent [Penerima hak-hak & Keistimewaan-keistimewaan tertentu] yang dikurniakan oleh Sultan Sulu (Sultan Muhammad Jamalul Alam) berdasarkan dokumen ditandatangan pada 22 Januari 1878.

Berdasarkan dokumen tersebut, Filipina nyatakan hak dan keistimewaan yang diperoleh Overbeck & Dent sebagai satu lease [penyewaan], bukan cession [penyerahan] seperti didakwa Inggeris dan kemudian oleh Malaysia sebagai penyerahan [penjualan].Dokumen tersebut ditulis dalam Bahasa Melayu-Arab, masalah timbul apabila terdapat dua versi terjemahan dokumen tersebut:

  1. Terjemahan Maxwell-Gibson dalam Treaties and Engagements Affecting the Malay States and Borneo, terjemahan cession dan dianggap oleh Filipina sebagai tidak betul.Tajuk terjemahan: Grant from the Sultan of Sulu to Baron de Overbeck and Alfred Dent Esquire of Certain Territories and Lands on the Mainland of the Island of Borneo, dated 22nd January 1878.
  2. Terjemahan Prof. Conklin,leasedan ini diakui oleh Filipina sebagai betul.Tajuk terjemahan: Grant by the Sultan of Sulu of a Permanent Lease Covering his Lands and Territories on the Island of Borneo, dated 22nd January 1878.

Berdasarkan terjemahan berbeza inilah tuntutan tersebut bermula. Ekoran itu kerajaan Filipina meminta dibuat satu terjemahan lain dan kali ini dibuat oleh waris Sultan Jamalul Kiram dan pakar Bahasa Belanda yang menterjemah sebagai 'penyewaan'. Masalah sama ada penyewaan atau suatu pengurniaan yang mutlak (penyerahan) adalah suatu perkara semantik, apa yang patut menentukannya ialah hasrat rakyat Sabah sendiri.

Sebenarnya pada 22 Januari 1878 bukan dokumen tersebut sahaja ditandatangani, tetapi terdapat satu lagi dokumen yang mengesahkan pelantikan Overbeck sebagai 'Raja Sandakan'. Dua dokumen tersebut masing-masing tentang penggunaan tanah dan kuasa untuk berkerajaan di wilayah Borneo Utara. Dokumen kedua ini sering diabaikan dalam pertikaian, maka perbalahan hanya berkisar tentang soal cession atau lease sahaja.

Tinjauan Kedua-dua Versi Perjanjian 1878

Asasnya selain soal cession ataulease kedua-dua versi adalah sama [keluasan, jumlah bayaran - $5,000 dibayar setiap tahun], tapi dalam versi cession dinyatakan sebagai ganti rugi [pampasan] kerana perihal melepaskan hak. Versi kedua menyatakan bayaran sebagai rental atau sewa. Kedua-dua versi menyatakan:

* Wilayah ini tidak akan dipindahkan milik tanpa persetujuan kerajaan Inggeris.

* Jika wujud sebarang perselisihan antara kedua-dua pihak, maka perkara tersebut harus dirujuk kepada Konsul General Inggeris di Borneo/Brunei.

* Syarat terakhir menyatakan jika Sultan Sulu perlukan sebarang bantuan atau berada dalam kesusahan, maka pihak satu lagi perlu membantu baginda.

Jadi pihak Sultan Sulu lebih beruntung sebab di samping mendapat bayaran tahunan sebanyak $5,000 juga bantuan Inggeris jika perlu. Isu berkaitan dengan cessionatauleaseini mendapat ulasan seorang penulis Filipina - Quiason yang mempertikai penggunaan istilah cession oleh Prof. Tregonning - Under Chartered Company Rule, yang cenderung menyamakan erti cession dengan lease.

Kesan Perjanjian

Satu hal yang menghairankan para pengkaji ialah dokumen perjanjian tersebut tidak ditandatangani oleh Rumah Bicara Sultan [Majlis bagi Datu-Datu/Hereditary Lords] seperti sepatutnya. Nama-nama mereka juga tidak disebut dalam perjanjian tersebut, ini adalah suatu perkara memeranjatkan menurut Prof. T.Otley Beyer seorang pakar sejarah Filipina. Perjanjian penyerahan tersebut ringkas yang menyerahkan kepada Overbeck dan satu pembayaran tahunan yang tidak ditetapkan satu masa penamat, menunjukkan ianya penyewaan selama-lamanya. Jika perjanjian tersebut adalah satu penyerahan sovereignty kepada Overbeck kenapa pula beliau perlu sediakan dokumen kedua? Jadi dalam hal ini jelas bahawa kuasa kerajaan hanya diamanahkan kepada Overbeck sebagai Raja Sandakan dan boleh ditarik balik. Overbeck pula telah mendapat tandatangan Sultan dalam perjanjian tersebut melalui ancaman Tentera Laut British dengan ancaman mahu memusnahkan Sulu.

Latar belakang yang membawa kepada Perjanjian 1878

Tarikh penting 1704 apabila Sultan Brunei menganugerahkan wilayah Borneo Utara kepada Sultan Sulu sebagai satu ganjaran sebab memberi bantuan ketenteraan dalam perang saudara merebut takhta kesultanan Brunei. Dulu seluruh Sabah adalah milik Brunei dan diserahkan kepada British sedikit demi sedikit. Selama 1.5 kurun hak pemilikan Sabah tidak pernah dipersoal. Pada 1865 seorang warga Amerika Syarikat bernama Charles Lee Moses mengadakan satu perjanjian dengan Sultan Brunei. Pada 19 September, Moses memindahkan [menjual] kesemua haknya kepada Joseph Torrey dan kawan-kawan. Mereka mendirikan American Trading Company of Borneo dan dirikan penempatan di tepi Sg. Kimanis. Torrey kemudian menjual haknya kepada Overbeck.

Dalam perkembangan lain, salah satu usul untuk memperbaharui perjanjian berkenaan telah ditolak oleh Sultan Brunei sebab mereka gagal membayar kepada Sultan. Penolakan Sultan menyebabkan Overbeck mencari rakan kongsi dan menemui Alfred Dent sebagai rakan kongsi. Setelah itu Overbeck diberitahu oleh Konsul British di Labuan - William Treacher - bahawa wilayah tersebut ketika itu milik Sultan Sulu. Overbeck berjaya membuat perjanjian dengan Sultan Sulu yang ketika itu menghadapi banyak masalah termasuk serangan Sepanyol dari utara.

Perkembangan sehingga akhir 1960-an

Dalam perjanjian pada 22 Januari 1878, Overbeck dan Dent disyaratkan membayar kepada Sultan Mohammad Jamalul Alam $5,000 - Malayansetiap tahun dan jumlah tersebut ditambah menjadi $5,300 pada 1903. Sejak 1878 pembayaran tahunan tersebut dibuat hingga 1936 sahaja apabila Sultan Jamalul Kiram mangkat. Bayaran pada 1936 tergantung sebab Syarikat Inggeris Borneo Utara mahu memastikan siapakah sebenarnya yang layak menerima wang tersebut. Sebab Sultan Jamalul Kiram tiada anak, maka baginda mewasiatkan hartanya di Filipina dan Borneo Utara kepada saudara maranya. Pada 18 Disember 1939, Hakim Besar Macaskie [Sabah] putuskan 9 warisnya berhak mendapat $5,300 secara tahunan. Hakim juga menetapkan bahawa kuasa memerintah diwarisi oleh kerajaan Filipina dan inilah yang menyebabkan Filipina menuntut Sabah.

Semasa zaman pendudukan Jepun, segala pembayaran tergendala. Pada 1946, Syarikat Borneo Utara menyerah ataumemindahkan hak dan kuasanya kepada Borneo Utara dan kepada kerajaan British. Selanjutnya waris-waris Sultan mengisytiharkan pada 25 November 1957 bahawa mereka tidak mengakui Borneo Utara sebagai sebahagian daripada tanah jajahan Inggeris dan membatalkan lease 1878 yang berkuatkuasa pada 22 Januari 1958. Pada 27 Mei 1961, Perdana Menteri Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengumumkan gagasan Malaysia di Singapura dan ini menimbulkan protes daripada waris-waris Sultan Sulu. James Ongkili menyatakan kerajaan Sulu tidak wujud secara perlembagaan ketika itu. Pada 1962, waris-waris Sultan Sulu mengemukakan surat kepada kerajaan Filipina keinginan mereka untuk melihat wilayah Borneo Utara sebagai sebahagian daripada Filipina.

Pada 12 September 1962, Sultan Mohammad Ismail Kiram dengan rasmi menyerahkan kuasa memerintah Borneo Utara kepada kerajaan Filipina. Pada 12 Julai 1963, kerajaan British membatalkan kuasanya ke atas Borneo Utara, Sarawak dan Singapura untuk memberi laluan kepada pembentukan Malaysia. Sebagai langkah untuk mengelak perbalahan, perjumpaan antara Filipina dan Malaysia diadakan di Manila pada 31 Julai 1963. Maka ditandatangani Manila Accord yang menyatakan pengesahan ketiga-tiga pihak [Republik Indonesia, Filipina dan Malaysia] tentang self determination penduduk di wilayah Borneo. Pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 ekoran pengesahan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tentang keinginan majoriti penduduk Borneo menyertai Malaysia tapi Filipina tetap tidak terima ketetapan PBB itu dan tetap menuntut Sabah.

Perundingan di Bangkok pada 15 Julai 1968 tidak berjaya menyelesaikan masalah ini. Pada Oktober 1968, Filipina membawa isu Sabah ke PBB oleh Narciso Ramos supaya diselesaikan oleh Mahkamah Dunia (World Court). Hubungan Malaysia dan Filipina tegang sebab rundingan di Bangkok gagal. Ketegangan tersebut menjadi lebih parah lagi setelah Presiden Marcos menandatangani danmengesahkan satu Congressional Bill, menyatakan Sabah merupakan sebahagian daripada wilayah Filipina pada 18 September 1968. Ini membawa kepada penggantungan diplomatik Malaysia-Filipina hingga 16 Disember 1969 apabila Persidangan Menteri-menteri ASEAN diadakan di Malaysia. Kedua-dua negara bersetuju untuk memulihkan hubungan danmemulakan hubungan baik sementara tuntutan tersebut diselesaikan.

Pandangan Orang Malaysia

Filipina harus sedar Malaysia tidak berniat menyerahkan Sabah kepada sesiapa pun sebab rakyat Sabah sendiri telah menunjukkan kehendak mereka untuk menyertai Malaysia. Berdasarkan penjelasan didapati Filipina sengaja tidak mahu mengakui kedudukan Sabah atas sebab-sebab politik dalam negeri terutama semasa pemimpinnya berdepan dengan masalah. Contohnya tuntutan semasa Marcos dan Macapagal dibuat bermotifkan politik bukan kedaulatan wilayah. Malaysia tidak menyahut seruan Filipina supaya menyerahkan perbalahan ke Mahkamah Dunia di The Hague, Belanda sebaliknya berdiam diri sebab jika Malaysia menyahut seruan Filipina bererti Malaysia mengakui hak Filipina dan meragui hak sendiri ke atas Sabah. Mahkamah Dunia hanya boleh mempertimbangkan isu ini jika kedua-dua belah pihak bersetuju membawanya ke The Hague.

Ketua Menteri Sabah [Peter Lo] pada 1962 menyatakan orang Sabah rata-rata tidak mahu kerajaan pusat mengadakan rundingan dengan kerajaan Filipina mengenai tuntutan tersebut dan berpegang teguh kepada prinsip self determination, iaitu tidak mahu menjadi sebahagian dari Filipina.

Pendirian Rakyat Filipina dan Pendapat Lain

Pendirian kerajaan Filipina tidak selaras dengan rakyatnya. Rakyat tidak memahami isu tersebut dan tidak sebulat suara menyokong Filipina. Hanya segolongan kecil orang tertentu sahaja terutamanya ahli politik yang berusaha untuk mendapatkan Sabah.

Macapagal melaungkan tuntutan tersebut berasaskan hasrat untuk membawa keuntungan politik kepada diri sendiri dan dalam negeri ketika itu. Tuntutan Macapagal disokong segolongan wartawan yang tertarik dengan tujuan nasionalis, golongan yang menjaga kepentingan sendiri dan ahli-ahli politik.

Kesimpulan

Penduduk Sabah telah menyatakan pendirian untuk menyertai Malaysia. Pihak Filipina harus menghormati prinsip self determination yang dibuat oleh rakyat Sabah. Sepanyol yang menakluk wilayah-wilayah Sultan Sulu, melalui satu protokol yang ditandatangan di Madrid 1885 telah melepaskan semua tuntutannya ke atas hak memerintah wilayah Borneo yang dimiliki Sultan Sulu sebelumnya kepada kerajaan British. Dalam hal ini jika tuntutan Sultan Sulu itu sah dan pengurniaan itu bersifat penyewaan, tetapi nampaknya kerajaan Sepanyol sebagai penjajah wilayah tersebut telah menamatkannya. Jadi oleh kerana kerajaan Filipina adalah pengganti kepada Sepanyol (sebelum itu Amerika Syarikat) maka mereka tiada hak lagi untuk menuntut Sabah. Tuntutan Filipina berdasarkan Perjanjian-Perjanjian 1878 sahaja tidak cukup sebab banyak kelemahan dalam perjanjian tersebut. Wilayah yang sepatutnya dituntut pula bukanlah seluruh Sabah tetapi hanya sebahagian kecil sahaja dari Sabah berdasarkan perjanjian 1878, seperti dalam gambar di bawah. Bandingkan dengan ketetapan oleh Jawatan kuasa Dewan Luar Negeri Filipina yang memasukkan seluruh Sabah ke dalam Peta Pasport Filipina yang baru.

 

thumbnail IMG 20201110 WA00283

 

thumbnail IMG 20201110 WA0029

 

thumbnail IMG 20201110 WA0027

 

 

 

  • Created on .
  • Hits: 15377

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024