USM NEWS PORTAL 

Rencana / Features

'TWINDEMIC' BEBANKAN SISTEM KESIHATAN, PETUGAS BARISAN HADAPAN

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/twindemic-bebankan-sistem-kesihatan-petugas-barisan-hadapan-267292

Isabelle Leong

81603360950 sabah

Keadaan twindemic boleh membebankan sistem kesihatan kerana terdapat peningkatan bilangan pesakit yang mengunjungi klinik dan hospital bagi menjalani ujian saringan dan mendapatkan rawatan. - Gambar hiasan

Dr. Suhaily Binti Mohd Hairon - Pusat Pengajian Sains Perubatan

KUALA LUMPUR: ‘Twindemic’ atau pertembungan antara dua wabak yang melanda negara, iaitu influenza dan COVID-19, dilihat akan membebankan sistem kesihatan dan petugas barisan hadapan.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Suhaily Mohd Hairon berkata, petugas barisan hadapan perlu menjalankan ujian saringan ke atas pesakit yang bilangannya meningkat secara mendadak, bagi menentukan punca jangkitan.

Ini kerana, kata Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik), Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM itu, kedua-dua penyakit tersebut mempunyai gejala yang hampir sama, iaitu menyebabkan keradangan pada salur pernafasan.

"Mereka terpaksa melakukan kerja tambahan iaitu menyaring kes yang mempunyai gejala yang sama, supaya dapat membezakan antara COVID-19 dan influenza.

"Ini akan menyebabkan peningkatan usaha penyaringan kes dan pengesanan kontak rapat," katanya kepada Astro AWANI hari ini.

Tambah Dr Suhaily, sistem kesihatan juga akan terbeban akibat peningkatan bilangan pesakit di klinik dan hospital susulan keadaan pandemik berkembar ini.

"Ia juga boleh membebankan sistem kesihatan kerana terdapat peningkatan pesakit yang pergi ke klinik dan hospital untuk menjalani ujian saringan, selain mendapatkan rawatan dan pemeriksaan bagi menentukan punca penyakit," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sekiranya seseorang individu dijangkiti pandemik berkembar itu dalam satu masa, ia menyukarkan proses penyembuhan.

"Sekiranya seseorang itu menghidap COVID-19 dan influenza pada waktu yang sama, kami jangkakan (proses penyembuhan) itu agak sukar.

"Ia kerana terdapat dua jangkitan pada satu masa. Ini akan menyebabkan keradangan lebih teruk pada saluran pernafasan.

"Tetapi, kita bernasib baik, kerana influeza ada vaksin untuk mencegah jangkitan daripada berlaku," kata Dr Suhaily.

Beliau juga menasihati orang ramai, khususnya golongan berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak, ibu mengandung dan pesakit penyakit kronik, mendapatkan vaksin influenza untuk mencegah daripada dijangkiti penyakit berkenaan.

  • Created on .
  • Hits: 1282

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024