USM NEWS PORTAL 

Rencana / Features

MENGHARMONI RUMAH TANGGA

23 Januari 2020 Mengharmoni rumah tangga HM Addin Ms 15

(Harian Metro, 23 Januari 2020, Addin, ms 15)

Mohamad Muhaimin Mohamad Zaki

Faktor tiada persefahaman dan masalah kewangan antara pasangan menjadi antara punca utama masalah penceraian di Selangor. Berdasarkan rekod, 24,063 jumlah pendaftaran permohonan cerai kes diperoleh bagi tahun 2017 dan 2018 membabitkan pasangan Islam di negeri itu di tahap yang membimbangkan.

Mengambil faktor pertama iaitu tiada persefahaman, pastinya dalam menjalani bahtera rumah tangga, tidak dapat tidak setiap pasangan akan diuji dengan pelbagai ujian dan rintangan cinta yang terbina dizahirkan dalam bentuk saling melengkapi antara satu sama lain.

Konsep ‘melaksanakan hubungan dengan penuh kasih sayang dan ma’ruf’ antara suami dan isteri dalam sebuah keluarga wajar dipraktikkan. Apabila seseorang itu keluar dari zaman bujang dan berada dalam alam rumah tangga, pastinya akan bertemu dengan dua suasana yang sungguh berbeza.

Pertamanya terlihat pada diri kita sendiri dan kedua, pasangan kita yang mempunyai sifat yang lama ketika dia hidup keseorangan dahulu tiba-tiba memulakan perkongsian hidup dengan kita yang tidak pernah dia hidup bersama sebelum ini.

Oleh itu, jika perkara ini tidak ditangani dengan betul, pastinya akan berlaku kesukaran untuk menyesuaikan diri, mengharmonikan kehidupan suami dan isteri sehingga wujudnya konflik rumah tangga.

Dalam sebuah hadis Riwayat At-Tabrani, ketika Saidina Ali meminang Saidatina Fatimah, Baginda SAW berpesan kepada dirinya dengan ungkapan: “Beliau (Fatimah) milikmu, tetapi berlaku baiklah terhadapnya.”

Justeru, apabila pasangan berhadapan dengan sesuatu konflik, maka sebaik-baiknya memulakan dengan mencari jalan penyelesaian melalui perbincangan dan menyatakan secara jujur bagi menyelesaikan masalah berkenaan tanpa mencari kesalahan orang lain.

Allah SWT pernah memerintahkan kepada baginda SAW bertegas terhadap isteri baginda. Berdasarkan surah Al Ahzab ayat 28, Allah SWT berfirman yang bermaksud “Hai Nabi, katakanlah kepada isterimu:

“Jika kamu sekalian mengingini kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya kuberikan kepadamu mut’ah dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik.”’

Menurut tafsiran Imam al-Maraghi, ayat ini menjadi dalil kepada baginda dan golongan suami agar bertegas dengan isteri sesuai dengan keadaan dan suasana. Selain itu, mengamalkan perbincangan dengan baik dan bertoleransi dalam urusan hal ehwal rumah tangga amat dituntut dalam agama.

Penulis adalah penuntut Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pengajian Islam (Syariah), Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM)

  • Created on .
  • Hits: 1780

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024