SERAMPANG DUA MATA: WORLD MENTAL HEALTH DAY 2025 PLATFORM SANTUNI JIWA, JAYAKAN SDG3
SERAMPANG DUA MATA: WORLD MENTAL HEALTH DAY 2025 PLATFORM SANTUNI JIWA, JAYAKAN SDG3
Forum dan aktiviti interaktif perkasa kesedaran kesejahteraan mental di kampus USM

Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang mendokong kesejahteraan dengan menganjurkan program World Mental Health Day 2025 bertemakan “Mental Health Matters” di Kompleks Cahaya Siswa USM, di sini baru-baru ini.
Program anjuran Unit Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA) dengan kerjasama Befrienders Pulau Pinang itu menjadi platform penting dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan mental, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goal) 3: Good Health and Well-Being.
Matlamat tersebut menekankan kepentingan kesihatan dan kesejahteraan untuk semua tanpa mengira umur, jantina dan latar belakang.
Majlis perasmian program yang dihadiri lebih 650 peserta itu telah disempurnakan oleh isteri kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Puan Tan Lean Kee.
Hadir sama ialah Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri, Gooi Zi Sen; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Profesor Dr. Azlan Amran; pegawai-pegawai USM; wakil NGO serta para pelajar USM dan sebagainya.
Dalam ucapan perasmiannya, Lean Kee menegaskan bahawa kesihatan mental merupakan sebahagian faktor penting daripada kesejahteraan menyeluruh dan perlu diberikan perhatian setara dengan kesihatan fizikal.
Beliau turut menzahirkan rasa teruja dengan komitmen USM dan Befrienders Pulau Pinang dalam memperjuangkan agenda kesejahteraan mental melalui pendekatan yang inklusif dan berasaskan empati.
“Program seperti ini membantu kita memahami bahawa kesihatan mental bukan isu individu, tetapi tanggungjawab bersama. Hanya dengan empati dan kesedaran, kita dapat memulihkan masyarakat secara kolektif,” katanya.
Program yang turut mendapat penyertaan peserta luar negara termasuk Thailand dan Indonesia itu dianjurkan dengan mengambil kira lima objektif utama, iaitu:
- Meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mental dalam kalangan warga kampus dan masyarakat sekitar Pulau Pinang.
- Menyediakan ruang sokongan awal bagi mahasiswa dan komuniti untuk mendapatkan maklumat serta intervensi awal berkaitan kesihatan mental.
- Mewujudkan platform dialog terbuka melalui ceramah, forum dan perkongsian pengalaman oleh pakar dan individu berpengalaman.
- Menawarkan khidmat sokongan profesional, termasuk kaunseling percuma dan kaunseling kelompok oleh kaunselor berdaftar.
- Membudayakan nilai empati, kasih sayang dan sokongan sosial demi membina komuniti yang lebih harmoni dan berdaya tahan.
Ketua Pegawai Psikologi Unit Kaunseling BHEPA USM, Ahmad Anwar Omar pula berkata, penganjuran program ini selaras dengan komitmen universiti dalam menjayakan SDG3 dengan memberi tumpuan kepada aspek kesejahteraan emosi, kesihatan mental dan pencegahan krisis psikologi dalam komuniti kampus.
“Kesihatan mental adalah tonggak kepada kesejahteraan dan produktiviti masyarakat. Melalui program ini, USM berusaha menjadikan kampus sebagai ekosistem sokongan yang menyeluruh dan inklusif,” ujarnya.
FORUM “LAPORAN ETIKA MENGENAI BUNUH DIRI” TARIK PERHATIAN PENGUNJUNG

Sorotan utama program ini ialah Forum bertajuk “Laporan Etika Mengenai Bunuh Diri Mampu Menyelamatkan Nyawa”, yang menghimpunkan wartawan, editor, profesional kesihatan mental, aktivis pencegahan bunuh diri dan wakil NGO bagi membincangkan isu penting berkaitan peranan media dalam laporan kesihatan mental.
Forum tersebut memberi tumpuan kepada bagaimana laporan beretika dapat membantu mencegah tindakan bunuh diri dengan membina kefahaman, empati dan mewujudkan ruang selamat bagi mereka yang memerlukan bantuan.
Para panel menegaskan bahawa laporan yang sensitif dan beretika bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa, malah menggalakkan masyarakat untuk mendapatkan bantuan tanpa rasa malu atau stigma.
“Media memiliki kuasa untuk menyembuh atau menyakiti. Laporan beretika bukan sahaja tanggungjawab profesional, tetapi juga satu bentuk intervensi kesihatan awam,” tegas salah seorang panelis.
Forum tersebut turut dilihat signifikan dalam konteks SDG3, yang menekankan pencegahan kematian akibat sebab yang boleh dielakkan, termasuk bunuh diri, melalui pendekatan rentas sektor yang merangkumi pendidikan, media dan kesihatan awam.
Barisan moderator dan panel forum terdiri daripada:
Moderator:
- Profesor Madya Dr. Rahimi binti Che Aman, Dekan, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM
Panelis:
- Puan Saras Pillay, Pengerusi, Befrienders Pulau Pinang
- Puan Mediha Mahmood, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Content Forum
- Dr. Ng Yin Ping, Pakar Psikiatri, Hospital Pantai
- Encik Arnold Loh, Wartawan Kanan, The Star
AKTIVITI INTERAKTIF TERAP EMPATI DAN KESEJAHTERAAN DIRI
Selain forum, program ini turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik dan terapeutik, antaranya sesi Mindfulness dan Laughter Therapy bagi mengurangkan tekanan serta meningkatkan kesejahteraan diri.
Turut diadakan ialah Khidmat Kaunseling Percuma dan Safe Room yang dikendalikan oleh kaunselor berdaftar serta pegawai psikologi LPPKN, di samping Pameran Kesihatan Mental dan booth interaktif oleh Unit Kaunseling BHEPA USM, Kelab PEMADAM USM, KPRS USM, Kementerian Kesihatan serta NGO jemputan khas.
Tayangan video kesedaran yang menampilkan kisah benar mengenai kekuatan dan proses pemulihan diri turut mendapat perhatian peserta.
Kesemua aktiviti ini disusun bagi memperkasa literasi kesihatan mental dalam kalangan pelajar dan komuniti, sekali gus menyokong sasaran SDG3 untuk memastikan kesejahteraan mental dan sosial di peringkat komuniti kampus dan luarannya.
DARI KAMPUS KE KOMUNITI: BERSAMA KITA TEKAD SEMBUH BERSAMA

Program World Mental Health Day 2025 ini bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi manifestasi sebenar semangat “Leave No One Behind” yang menjadi teras Matlamat Pembangunan Mampan.
Ia menyatukan universiti, kerajaan, media, NGO dan masyarakat dalam usaha membina dunia yang lebih sihat, prihatin dan berdaya tahan.
Melalui mesej “Mental Health Matters”, USM dan Befrienders Pulau Pinang berharap agar masyarakat lebih berani untuk berbicara, lebih sedia untuk memahami, dan lebih kuat untuk menyokong antara satu sama lain demi menjayakan SDG3: Good Health and Well-Being secara menyeluruh dan berterusan.
Teks: Unit Kaunseling BHEPA/ Suntingan: Marziana Mohamed Alias/ Foto: Muhammad Faris Darwisy Mohd Rafiq
- Created on .
- Hits: 151