GELAP PADA PANDANGAN, NAMUN BUKAN PADA MINDA: TIGA PELAJAR BUTA USM SERLAH KEUPAYAAN LUAR BIASA
USM PULAU PINANG, 10 Oktober 2025 - Di sebalik kekurangan dalam penglihatan, tiga pelajar baharu Universiti Sains Malaysia (USM) yang diuji dengan masalah cacat penglihatan membuktikan bahawa kegelapan bukan penghalang untuk mereka mencipta masa depan yang cemerlang.

Ketabahan dan kecerdasan luar biasa pelajar OKU penglihatan ini membuktikan bahawa kejayaan tidak memerlukan mata yang sempurna untuk melihat, tetapi hati yang kuat untuk berjuang.
Dengan semangat juang dan minda luar biasa, mereka membuktikan tiada perkara yang mustahil untuk dicapai dan berjaya melangkah ke menara ilmu atas tiket merit akademik sepenuhnya, bukan atas kapasiti sebagai golongan berkeperluan khas.

Salah seorang daripada mereka, Daniel Tan Jun Sheng, 21, pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari Kolej Tingkatan Enam Zainal Abidin, Jelutong, kini menempuh kehidupan sebagai mahasiswa USM walaupun buta sepenuhnya.
Daniel mula mengalami kemerosotan penglihatan ketika berusia 12 tahun dan akhirnya hilang penglihatan sepenuhnya ketika berusia sekitar 16 tahun.
Beliau membuktikan kemampuan luar biasa apabila memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0, pencapaian sempurna yang melayakkannya diterima masuk ke USM atas dasar kecemerlangan akademik.
“Ibu dan ayah saya tidak berkemampuan, jadi kejayaan ini saya hadiahkan buat mereka. Walaupun saya tidak nampak, saya masih berpeluang menyambung pengajian dan membanggakan keluarga,” katanya penuh syukur.
Daniel juga menghidap penyakit genetik jarang ditemui, Alstrom Syndrome, yang dianggarkan hanya dihidapi kurang daripada 0.01 peratus penduduk Malaysia. Penyakit itu boleh menjejaskan pelbagai sistem badan termasuk mata, hati, telinga, hormon, jantung dan paru-paru.
“Penyakit ini sangat jarang berlaku, tetapi saya bersyukur kerana hanya diuji dengan masalah penglihatan, tidak pada organ-organ lain. Walau diuji, saya masih mampu belajar seperti orang lain,” jelasnya.

Muhammad Isma Ihtisyam Isharizat, 21, pula tidak menyangka detik bermain bola sepak di sekolah ketika berusia 15 tahun menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya. Akibat hentakan bola ke mata, beliau kehilangan penglihatan sepenuhnya, satu pengalaman yang menguji ketabahan dan semangat juangnya.
“Saraf mata saya lemah sejak kecil, tetapi saya masih mampu menjalankan aktiviti seperti biasa. Namun selepas insiden itu, saya terus hilang penglihatan walaupun telah menjalani pembedahan,” katanya.
Anak sulung daripada empat beradik ini turut menjadi kebanggaan keluarga apabila berjaya menempatkan diri di universiti. Bukan sahaja cemerlang dalam akademik, beliau juga berkeupayaan menghafal al-Quran, membuktikan bahawa kekurangan tidak pernah menjadi penghalang untuk berjaya.
“Motivasi terbesar saya ialah ibu dan ayah. Mereka nadi kekuatan saya. Saat saya jatuh, merekalah yang banyak membantu dan sentiasa positif bersama saya sehingga saya bangkit semula,” ujarnya.

Rakan senasib Daniel dan Muhammad Isma Ihtisyam, Preetam Raj Kathiraveloo, 20, turut membuktikan bahawa semangat mampu mengatasi kekurangan fizikal.
Beliau menghidap ketumbuhan otak pada usia enam tahun yang menyebabkan kerosakan pada saraf optik. Kini, penglihatannya hanya bergantung kepada sebelah mata kanan setelah mata kirinya tidak lagi berfungsi.
Namun, kekangan itu tidak mematahkan cita-citanya untuk bergelar pendidik. Preetam kini mengikuti Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan dengan pengkhususan dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Geografi di USM.
“Walaupun hanya menggunakan sebelah mata, saya tetap berusaha bersungguh-sungguh kerana impian saya adalah untuk menjadi guru Bahasa Inggeris,” katanya yang memperoleh PNGK 3.08 dalam peperiksaan STPM.
“Saya amat bersyukur kerana dapat menjejakkan kaki ke USM. Bagi saya, peluang ini sangat berharga dan akan saya memanfaatkannya sebaik mungkin,” tambah anak sulung daripada dua beradik itu.
Ketiga-tiga pelajar ini menjadi bukti bahawa kegelapan bukanlah kelemahan, tetapi peluang untuk menyerlahkan kemampuan luar biasa dan kehebatan. USM sentiasa bersedia untuk menyokong perjalanan mereka kerana setiap langkah mereka bukan sekadar menuju kejayaan akademik, tetapi juga menuju perubahan persepsi masyarakat terhadap keupayaan sebenar insan OKU.
USM SEDIAKAN PRASARANA TERBAIK PACU PENDIDIKAN INKLUSIF
Dalam pada itu, USM terus komited dan mengambil langkah proaktif dalam memperkukuh pendidikan inklusif melalui penyediaan prasarana terbaik bagi menyokong golongan berkeperluan khas (OKU).
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata dalam usaha menjadikan USM sebagai universiti inklusif terbaik di negara ini, pihak universiti berpegang kepada dasar pendidikan tinggi yang menekankan keistimewaan bagi golongan inklusif, termasuk masyarakat OKU dan juga Orang Asli.
Katanya, antara inisiatif utama yang diperkenalkan adalah program khusus yang ditujukan untuk membantu pelajar OKU, termasuk pelantikan pembimbing sukarela yang akan menyokong mereka sepanjang perjalanan akademik di universiti.
“USM juga menyediakan kemudahan asrama yang dikhaskan untuk pelajar OKU, lengkap dengan infrastruktur yang memenuhi keperluan khusus mereka.
“Di samping itu, universiti turut menyediakan penginapan yang membolehkan ahli keluarga pelajar OKU yang benar-benar memerlukan, untuk tinggal bersama bagi memberikan sokongan praktikal dan fizikal semasa tempoh pengajian mereka,” katanya.
Tambah beliau, dengan komitmen teguh untuk memastikan tiada pelajar yang terpinggir, USM bertekad untuk mewujudkan persekitaran akademik yang inklusif dan menyokong keperluan kumpulan ini.
“Usaha ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan USM sebagai peneraju pendidikan tinggi di Malaysia, tetapi juga menjadi model bagi institusi lain dalam usaha mengadakan pendidikan yang inklusif dan menyeluruh,” katanya.
USM juga, jelasnya, sentiasa menjaga kebajikan golongan terpinggir termasuk kumpulan yang dikategorikan sebagai berpendapatan rendah (B40), dan langkah ini membolehkan setiap pelajar baharu memulakan perjalanan akademik dengan keyakinan tanpa terbeban oleh kekangan kewangan atau logistik.
Menurut beliau, usaha tersebut mencerminkan hasrat USM melahirkan graduan berkualiti di samping mendokong aspirasi Malaysia MADANI dalam memperkasa pendidikan tinggi yang berdaya saing, inklusif dan berteraskan kesejahteraan.
“USM juga yakin pelbagai inisiatif yang dilaksanakan akan dapat membantu pelajar mencapai kecemerlangan akademik serta mengekalkan keseimbangan kehidupan kampus yang lebih holistik,” katanya.
Antara inisiatif yang disediakan oleh USM termasuk:
- 600 Kit Bantuan Keperluan Asas Penginapan bernilai RM60,000 yang diagihkan secara percuma kepada pelajar kategori B40, miskin tegar, Orang Kurang Upaya (OKU) dan siswa sulung.
- Bantuan Awal Pengajian berjumlah RM200,000 kepada 400 pelajar B40, miskin tegar, OKU dan siswa sulung, disalurkan sebaik sahaja mereka mendaftar pada hari pertama.
- Peruntukan khas RM2.8 juta bagi pengambilan siswa sulung Sidang Akademik 2025/2026, membabitkan 280 pelajar.
- 50 buah komputer riba bernilai RM100,000 disediakan untuk pelajar B40, OKU dan siswa sulung yang memerlukan.
- Sumbangan Yayasan Perkasa Siswa berjumlah RM1,000 setiap seorang kepada 15 pelajar kurang berkemampuan.
- Peruntukan inisiatif pembangunan berjumlah RM1.1 juta (Fasa 1) bagi menggantikan perabot lama di desasiswa kepada perabot baharu, bertujuan memberikan keselesaan dan pengalaman pembelajaran terbaik buat pelajar.
Teks: Marziana Mohamed Alias & Anis Ariney Mohd Asri/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq
- Created on .
- Hits: 414