USM NEWS PORTAL 

BERITA DALAM TALIAN: PROFESOR USM SERTAI KERJASAMA GLOBAL KESIHATAN OTAK BERSAMA TUM DAN HARVARD

nhonline.co
Profesor USM sertai kerjasama global kesihatan otak bersama TUM dan Harvard
16 Mac 2026

Seorang pakar neurosains dari Universiti Sains Malaysia (USM) dipilih menyertai kerjasama antarabangsa dalam bidang kesihatan otak melibatkan institusi akademik terkemuka dunia.

Profesor Datuk Dr Jafri Malin Abdullah akan mewakili Malaysia sebagai penceramah dan ahli panel dalam TUM–Harvard Global Brain Health Partnership Webinar, satu inisiatif yang menghimpunkan pakar bagi membincangkan cabaran serta masa depan kesihatan otak di peringkat global.

Profesor Jafri yang juga Pengarah Pengasas Brain and Behaviour Cluster (BBC) di USM akan menyertai panel bersama pakar dari Technical University of Munich (TUM) serta Harvard University.

Kerjasama strategik itu diterajui oleh Center for Global Health di TUM dengan matlamat memperkukuh jaringan penyelidikan antarabangsa bagi menangani peningkatan beban penyakit neurologi di seluruh dunia.

Inisiatif tersebut turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan akses rawatan serta latihan kepakaran neurologi di Asia Tenggara dan negara berpendapatan rendah hingga sederhana.

Penglibatan USM dalam program berkenaan mencerminkan komitmen universiti itu dalam memperluas kerjasama global dalam bidang neurosains, selaras dengan pendekatan “We Lead” yang menjadi teras pembangunan akademiknya.

Melalui kerjasama bersama TUM, Harvard dan Global Brain Consortium, pelbagai program latihan serta pemindahan pengetahuan akan dilaksanakan, termasuk inisiatif Brain-Train yang memberi tumpuan kepada pembangunan kepakaran di peringkat antarabangsa.

Kerjasama tersebut memfokuskan kepada tiga teras utama iaitu latihan kesihatan digital dalam pendidikan neurologi, pembangunan kapasiti kepakaran di negara berpendapatan rendah dan sederhana, serta advokasi dasar bagi menjadikan kesihatan otak sebagai agenda penting pembangunan global.

Dalam sesi webinar itu, Profesor Jafri akan turut berkongsi pandangan mengenai masa depan kesihatan otak di Asia serta kepentingan kerjasama antara benua dalam menangani gangguan neurologi.

Webinar tersebut dijadual berlangsung pada 27 Mac 2026 dan menghimpunkan penyelidik, profesional kesihatan, pembuat dasar serta pelajar yang berminat dalam bidang kesihatan global dan neurosains.

  • Created on .
  • Hits: 64

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025