BERITA DALAM TALIAN: PENYELIDIKAN ARKEOLOGI NEGARA MASIH RANCAK, TERBAIK DI ASIA
Berita Harian Online
Penyelidikan arkeologi negara masih rancak, terbaik di Asia
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof | 9 Mac 2026

Pemangku Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Prof Madya Dr Nasha Rodziadi Khaw (dari kiri); Prof Emerita Datin Padukan Dr Siti Zuraina Abdul Majid; Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamad dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Habibah A Wahab melancarkan buku Etnografi dan Etnoarkeologi Nusantara serta Guar Kepah: Sejarah, Arkeologi dan Kelestarian Warisan sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-30 PPAG baru-baru ini. Foto ihsan USM
GEORGETOWN:Pencapaian Malaysia dalam bidang arkeologi kini berada pada tahap membanggakan dan antara terbaik di rantau Asia meskipun bermula agak lewat berbanding negara lain.
Pakar arkeologi pertama negara, Prof Emerita Datin Paduka Dr Siti Zuraina Abdul Majid, berkata penyelidikan arkeologi masih berjalan dengan rancak walaupun sudah banyak melakar kejayaan termasuk menerima pengiktirafan pada peringkat antarabangsa.
Beliau ketika menyorot detik pulang ke tanah air selepas memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Yale, Amerika Syarikat pada 1979 berkata, pengetahuan prasejarah negara pada era 70-an hingga 80-an dianggap ketinggalan dengan arkeologi belum ditubuhkan sebagai disiplin pengajian di mana-mana universiti tempatan.
Pengasas Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia (PPAM) yang kini dikenali sebagai Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) itu berkata, tahun 1987 menjadi titik mula penyelidikan arkeologi di Universiti Sains Malaysia (USM) sebelum berkembang menjadi PPAM yang ditubuhkan pada 1995.
"Pada waktu itu arkeologi masih asing bagi ramai orang. Ada yang bertanya, untuk apa arkeologi? Ada yang menganggapnya tidak perlu. Itulah cabaran besar, bukan semata-mata cabaran di lapangan.
"Tetapi cabaran membina kefahaman bahawa arkeologi bukan sekadar menggali tanah tetapi membina identiti dan sejarah Malaysia, meningkatkan ekonomi penduduk tempatan dan negara," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-30 PPAG di USM, baru-baru ini.
Siti Zuraina, 82, berkata melihat latar masa lebih awal, kerja-kerja ekskavakasi dijalankan secara rawak mengikut minat pegawai tadbir British. Mereka juga menemukan banyak artifak, hampir 100 gua termasuk Gua Cha di Kelantan selain tapak-tapak candi di Kedah lewat abad ke-19.
"Namun pengetahuan prasejarah kita pada 70-an hingga 80-an masih cetek dan bersifat 'piecemeal' iaitu sedikit di situ, sedikit di sini.
"Sedangkan negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam sudah maju dengan penyelidikan menggunakan metodologi saintifik terkini yang banyak dipacu arkeologis Barat," jelasnya.
Lewat tapi mampu kejar
Menurutnya, ketika itu Malaysia berada di persimpangan dengan dua pilihan sama ada membuka ruang luas kepada pakar Barat seperti negara Asia Tenggara lain atau membina kepakaran tempatan yang menjadi tulang belakang negara.
Siti Zuraina bagaimanapun memilih jalan kedua dan menyifatkannya sebagai jalan lebih sukar tetapi bersifat nasionalisme dalam jangka masa panjang.
Beliau turut mengambil keputusan melakukan dua perkara serentak iaitu membina prasejarah negara secara saintifik dan generasi pelapis supaya perjuangan itu tidak terhenti pada satu nama, didorong pandangan dan sokongan kuat almarhum suaminya, Datuk Dr Vincent Salih Lowe.
Hasilnya, kajian beliau di Tapak Arkeologi Kota Tampan, Lenggong menjadi penyelidikan penting antaranya menerusi penemuan rangka Perak Man berusia 10,000 tahun dengan kecacatan genetik hinggalah teknologi alat batu tertua Asia Tenggara yang membuka lembaran baharu dalam memahami evolusi manusia di rantau ini.
"Masih membekas satu detik pada 1988 sewaktu persidangan arkeologi di Paris apabila Kota Tampan menerima 'standing ovation'. Bayangkan ada pihak menganggap kita ketinggalan tetapi pada hari itu dunia menghormati Malaysia dan penemuan kita.
"Penemuan di Lenggong memberi impak melangkaui sempadan negara sehingga menarik minat ahli arkeologi dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia dan rantau ASEAN untuk datang sendiri melihat tapak ekskavakasi kita.
"Hari ini, penyelidikan arkeologi kita masih rancak sekali dan sangat membanggakan. Walaupun kita bermula lewat, kita dapat mengejar," katanya.
Secara peribadi, beliau melihat negara memerlukan lebih ramai ahli arkeologi berbanding jumlah sedia ada kerana bidang arkeologi bersifat multidisiplin yang 'mengejar masa' dengan kepesatan pembangunan fizikal dikhuatiri menghilangkan atau merosakkan atau melenyapkan bukti sejarah yang belum ditemui.
"Setiap kali kita buat bangunan, setiap kali kita gali tanah ada kemungkinan besar proses itu akan merosakkan bukti di bawah tanah.
"Kita tidak tahu apa yang berada di bawah tanah, kita tidak tahu berapa daripada 100 peratus yang wujud atau berapa baki daripada 100 peratus belum jumpa," katanya
Naratif sejarah
Sementara itu, Pemangku Pengarah PPAG, Prof Madya Dr Nasha Rodziadi Khaw, berkata tumpuan penyelidikan ahli arkeologi pada ketika ini perlu diberikan kepada zaman prasejarah kerana masih banyak tapak dan persoalan kajian yang belum dirungkai sepenuhnya.
Beliau turut menekankan kepentingan memberi manfaat kepada masyarakat melalui pembinaan naratif sejarah, identiti serta diplomasi budaya selain melihat penyelidikan arkeologi bukan sekadar pendidikan tetapi harus memberi impak nyata kepada masyarakat dan negara.
"Kita ada banyak potensi besar terutamanya zaman Paleolitik di Lembah Bujang di Kedah, Kuala Selinsing di Perak selain masih menjalankan eksplorasi di tapak Sungai Batu, Bukit Choras dan tapak prasejarah di Negeri Sembilan dan akan meneruskan lagi penyelidikan di Lenggong dan Guar Kepah.
"Selain kajian akademik, PPAG juga menumpukan aktiviti arkeologi pelancongan dengan pembabitan komuniti bagi memasyarakatkan bidang arkeologi melangkaui tembok kampus. Ia suatu tugas yang tidak akan habis, jadi bagi saya ahli arkeologi tidak akan bersara kerana kepakaran mereka sentiasa diperlukan," katanya.
- Created on .
- Hits: 59