Malaysia Kini
Vape 'magic mushroom' tak ada 'magic mushroom'
17 Ogos 2024
Pusat Racun Negara Universiti Sains Malaysia (USM) memberi amaran mengenai fenomena cecair vape yang digelar 'magic mushroom' boleh mengakibatkan "gejala kecelaruan mental serta tingkah laku abnormal yang teruk dialami oleh penggunanya."
Walaupun cecair itu dijenamakan sebagai 'magic mushroom' namun pemeriksaan Pusat Racun Negara terhadap sampel mendapati ia tidak ada kena mengena dengan cendawan tetapi mengandungi dadah sintetik.
"Adakah benar vape 'magic mushroom' mengandungi dadah jenis psilosibin seperti yang diperkatakan?
"Kajian yang dilakukan oleh Pusat Racun Negara terhadap beberapa sampel cecair vape 'magic mushroom' mendapati tiada dadah psilosibin dikesan dalam sampel tersebut.
"Sebaliknya, sampel-sampel ini dikesan mengandungi dadah sintetik yang lebih berbahaya dan boleh menyebabkan gejala keracunan yang teruk serta berpotensi membawa maut," kata institusi itu pada satu hantaran di media sosial.
Psilosibin merujuk kandungan kimia aktif dalam beberapa spesis cendawan liar yang juga sering dirujuk pengkaji sebagai 'magic mushroom'.
Sehubungan itu, Pusat Racun Negara USM menggesa kerajaan segera menguatkuasakan kawalan undang-undang Akta Kawalan Produk Merokok demi kesihatan awam.
"Peningkatan penggunaan vape yang mengandungi dadah berbahaya adalah sangat membimbangkan terutamanya jika berlaku dalam kalangan pelajar sekolah.
"Kelompongan dalam kawalan undang-undang terhadap produk vape telah mula menunjukkan impak kepada rakyat," katanya lagi.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada 9 Julai lalu memberitahu parlimen mengenai kajian yang dilaksanakan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) terhadap 152 pelajar di Kelantan.
Saifuddin memaklumkan hasil kajian mendapati 65 peratus pelajar berkenaan dikesan terlibat menghisap rokok elektronik yang dicampur bahan dikenali sebagai ‘magic mushroom’.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Dr Mohamed Fadzli Hassan pula berkata dia sudah berbincang dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri mengenai hal berkenaan.
Menurut Mohamed Fadzli, pihaknya turut meminta pengurusan Yayasan Islam Kelantan (YIK) untuk mengumpul data dan mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu dan berharap supaya tidak ada pelajar terbabit hingga merosakkan masa depan mereka.