USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: 80 PERATUS ANAK YATIM, ASNAF PERLU RAWATAN GIGI

Sinar Harian
80 peratus anak yatim, asnaf perlu rawatan gigi
Oleh ADILA SHARINNI WAHID | 3 Februari 2024

Pemeriksaan gigi dan rawatan diberikan kepada anak-anak yatim dan asnaf secara percuma.
Pemeriksaan gigi dan rawatan diberikan kepada anak-anak yatim dan asnaf secara percuma.

KOTA BHARU - Hampir 80 peratus anak yatim dan asnaf dalam kalangan B40 memerlukan rawatan serta pemeriksaan pergigian secara berkala.

Pensyarah dan Pakar Ortodontik Pusat Pengajian Sains Pergigian Universiti Sains Malaysia, Dr Norma Ab Rahman berkata, jumlah itu hasil pemerhatian melalui Program Kesihatan Oral Anak Yatim yang melibatkan 105 anak-anak yatim dan asnaf yang bermula pada April tahun lalu.

Dr Norma
Dr Norma

Menurut beliau, menyedari pentingnya kesihatan gigi menyebabkan pihaknya melaksanakan program itu sekali gus melatih kakitangan di rumah anak yatim dipanggil Traning on Trainer (TOT) sebagai wakil pembantu yang akan bertanggungjawab untuk mengesan atau melatih penjagaan gigi golongan itu.

“Kami mahu gigi semua individu termasuk golongan B40 yang terdiri daripada anak-anak yatim dan asnaf ini berada dalam keadaan baik dan berdasarkan pemerhatian 80 peratus golongan ini memerlukan rawatan gigi.

“Melalui program perintis, kami melatih tiga wakil TOT untuk mengesan masalah gigi seperti kerosakan, menyampaikan ilmu pembersihan dan penjagaan gigi yang betul atau penjagaan harian gigi dalam kalangan mereka,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Program Kesihatan Oral Anak Yatim di Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim (YAATIM) Kelantan di Pengkalan Chepa di sini pada Sabtu.

Anak-anak yatim dan asnaf berkeyakinan selepas menerima rawatan pergigian.
Anak-anak yatim dan asnaf berkeyakinan selepas menerima rawatan pergigian.

Menurut beliau, program sehingga Mac itu juga memberi tumpuan dalam memperkasakan kesihatan oral yang optimum melalui modul e-buku.

Katanya, langkah itu seiring dengan teknologi dan gajet masa kini yang dapat memberi akses terhadap pengetahuan kesihatan gigi melalui telefon bimbit.

 Dr Norma (kanan) menunjukkan e-buku yang memberi pengetahuan berkaitan penjagaan gigi.
Dr Norma (kanan) menunjukkan e-buku yang memberi pengetahuan berkaitan penjagaan gigi.

“Selepas mendapat rawatan secara berkala antara tempoh bermula April hingga kini, anak yatim dan asnaf yang memerlukan rawatan gigi berkurang kepada 20 peratus.

“Kesedaran mereka untuk menjaga gigi masing-masing juga semakin meningkat lebih 50 peratus berbanding sebelum ini,” katanya.

Tambah beliau, perkhidmatan pergigian itu diberikan secara percuma merangkumi proses pemeriksaan gigi, tampal, cabut, mencuci dan pendakap gigi boleh dibuka.

“Kami memberikan rawatan gigi secara asas melalui bas bergerak dan juga melakukan pemeriksaan berkala.

“Mana-mana pesakit yang perlu rawatan lanjut akan dirujuk ke Klinik Pergigian di Hospital USM,” kata beliau yang berhasrat meneruskan program tersebut pada masa depan.

  • Created on .
  • Hits: 256

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024