BERITA DALAM TALIAN: LEBIH 250 BAYI YANG LAHIR DI KELANTAN, HIDAP MASALAH JANTUNG KONGENITAL
Berita RTM
Lebih 250 bayi yang lahir di Kelantan, hidap masalah jantung kongenital
21 Januari 2024
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed
KOTA BHARU, 21 Januari- Anggaran seramai 250 hingga 300 bayi yang dilahirkan setiap tahun di Kelantan mempunyai masalah jantung kongenital.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, daripada jumlah itu, hampir satu per tiga daripada mereka memerlukan rawatan awal sama ada secara pembedahan atau tanpa pembedahan.
Tambahnya, hospital USM merupakan satu-satunya hospital di Pantai Timur yang menawarkan rawatan pembedahan bagi pesakit jantung kanak-kanak dengan anggaran kos pembedahan RM1,200.
"Sekarang ini, setiap tahun USM melakukan pembedahan antara 50 hingga 60 pesakit setahun yang meliputi kawasan Malaysia timur. Untuk bedah pesakit yang kurang lima kilogram, saya difahamkan bukan semua orang boleh buat."
"Kurang daripada 10 pakar satu Malaysia dan USM ini, kita ada kepakaran itu," kata Dr. Abdul Rahman kepada pemberita pada sidang media di Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Antara USM dan Yayasan Jantung Kongenital Malaysia (YJKM) di Dewan Persidangan Kampus, Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, di sini.
Menerusi perjanjian itu, YJKM bersetuju untuk menampung caj rawatan hospital sehingga RM3,000 untuk setiap pesakit yang memerlukan.
Kerjasama yang berkuat kuasa selama satu tahun itu, secara tidak langsung dapat membantu dalam merawat pesakit jantung kanak-kanak sekali gus membantu dalam meningkatkan kualiti hidup pesakit serta keluarga.
Mengulas lanjut, Dr. Abdul Rahman berkata hospital USM juga menawarkan rawatan jantung secara transkater untuk merawat pelbagai jenis penyakit jantung kongenital yang melibatkan seramai 100 hingga 120 orang pesakit setiap tahun.
Beliau berkata pihaknya bukan hanya merawat pesakit di Kelantan, namun turut menerima sejumlah pesakit dari Terengganu.
- Created on .
- Hits: 301