USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: BAWA BERITA, MAKLUMAT DENGAN NILAI AKHLAK MULIA

My Metro
Bawa berita, maklumat dengan nilai akhlak mulia
Oleh Dr Mohd Shukri Hanapi | 6 Januari 2024

GAJET harus bertindak sebagai alat yang dapat membantu kita dalam usaha membina masyarakat yang berakhlak, berfikiran murni, mempunyai hala tuju yang jelas serta membentuk suasana negara yang aman dan sejahtera menurut perspektif Islam. FOTO AFP
GAJET harus bertindak sebagai alat yang dapat membantu kita dalam usaha membina masyarakat yang berakhlak, berfikiran murni, mempunyai hala tuju yang jelas serta membentuk suasana negara yang aman dan sejahtera menurut perspektif Islam. FOTO AFP

Gajet atau lebih dikenali dengan smartphone telah menjadi keperluan asas bagi manusia bermula dari golongan kanak-kanak hingga golongan dewasa. Hal ini kerana banyak perkara dapat dilakukan dengan menggunakan gajet itu sendiri seperti untuk berkomunikasi, mencari berita, berhibur, berforum dan banyak lagi aktiviti yang dapat dilakukan menggunakan gajet lebih-lebih lagi apabila ia terhubung dengan jaringan internet.

Penciptaan gajet yang dapat tersambung dengan internet mempunyai banyak faedah jika ia digunakan dengan baik dan beretika. Para pengguna sendiri perlu beretika, berdisiplin, mematuhi peraturan dan bertanggungjawab agar kemajuan tidak disalahgunakan, terutamanya untuk menyebarkan maklumat (sama ada benar atau salah), idea, ideologi, propaganda dan fitnah.

Kita seringkali mendengar kes penyalahgunaan gajet atau teknologi untuk melakukan pelbagai kegiatan tidak sihat. Hal ini ditambah pula dengan kegiatan yang dilakukan oleh penggodam laman web, masalah pengintipan (eavesdropping) serta mencuri maklumat peribadi individu untuk penipuan.

Keadaan ini sedikit sebanyak menyebabkan masyarakat berada dalam dilema, sama ada mahu mempercayai atau terus menafikan sesetengah berita atau maklumat yang disebarkan melalui internet. Jika secara lisan berita atau maklumat boleh dimanipulasi dan dikelirukan, begitu juga melalui internet.

Berhubung masalah yang berlaku inilah menjadi tanggungjawab semua pengguna internet untuk memelihara negara dan rakyat daripada sebarang unsur negatif yang boleh merosakkan. Gunalah akal dan kepintaran kurniaan Allah SWT untuk memastikan berita atau maklumat yang dihantar serta komunikasi yang berlaku melalui internet itu dalam bentuk beretika dan selari dengan ajaran Islam.

Dalam hal ini, setiap pengguna perlu memastikan gajet yang terhubung dengan internet itu dapat dimanfaatkan untuk menyebarkan berita dan maklumat yang positif serta dapat membina pemikiran masyarakat, menambah ilmu serta memupuk sifat yang baik.

Hal ini bermaksud gajet harus bertindak sebagai alat yang dapat membantu kita dalam usaha membina masyarakat yang berakhlak, berfikiran murni, mempunyai hala tuju yang jelas serta membentuk suasana negara yang aman dan sejahtera menurut perspektif Islam.

Bagi memastikan hasrat ini tercapai, lima prinsip Maqasid al-Syar'iah iaitu memelihara agama (al-Din); memelihara jiwa atau nyawa (al-Nafs); memelihara akal (al-'Aql); memelihara keturunan (al-Nasl); dan memelihara harta (al-Mal) dijadikan sebagai falsafah atau tapak kepada pembentukan etika penggunaan gajet dari perspektif Islam. Dalam Islam, persoalan etika mesti dipertanggungjawab secara bersama. Justeru, penggunaan gajet harus perlu dalam lingkungan etika agar kesan buruknya terkawal.

Berasaskan prinsip memelihara agama, setiap pengguna perlu memastikan gajet yang tersambung dengan internet digunakan untuk menyampaikan berita dan maklumat yang boleh memelihara pegangan agama seseorang serta memperteguhkannya. Hal ini terutama sekali berita dan maklumat yang berkaitan akidah, syariah dan akhlak. Oleh itu, apa jua berita dan maklumat yang dinilai bercanggah dengan agama serta memudaratkan pemikiran masyarakat perlu diketepikan. Bagi mencapai tujuan ini, pengguna gajet perlu memahami konsep tauhid dan falsafah takwa. Dengan berpegang kepada tauhid dan falsafah takwa, mereka tidak akan menyiarkan berita dan maklumat yang boleh mengancam agama dan menimbulkan kesan buruk dalam masyarakat Islam seperti kisah tahyul dan khurafat; penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan sahabat RA; dan ajaran bertentangan dengan Akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.

Selain itu, dengan berasaskan aspek memelihara jiwa atau nyawa pula, pengguna perlu menyampaikan berita dan maklumat yang berkaitan tatacara penjagaan kesihatan, pemakanan seimbang, pembinaan keluarga bahagia, rencana tentang kejayaan seseorang dalam bidang yang memberi impak positif kepada negara, bahaya dadah, bahaya jenayah dan hal-hal motivasi. Dalam hal ini, segala berita dan maklumat yang boleh mengancam nyawa dan memudaratkan keselamatan masyarakat dan negara mesti disaring, ditapis dan diketepikan.

Seterusnya, berasaskan aspek memelihara akal, pengguna gajet yang tersambung dengan internet patut menyebarkan berita dan maklumat yang berunsur pendidikan, pengajaran serta yang boleh menimbulkan kesedaran kepada masyarakat. Berita dan maklumat yang boleh menyekat pembinaan pemikiran dan intelektual serta yang boleh merosakkan akal fikiran dan akhlak masyarakat seperti tindakan mempromosi arak, dadah, pil khayal, dan video lucah mesti dielakkan.

Berasaskan prinsip memelihara keturunan pula, pengguna tidak patut menyebarkan berita dan maklumat yang bersifat lucah dan boleh merangsang nafsu syahwat serta mendorong kepada perbuatan jenayah seperti zina, liwat, musahaqah (hubungan perempuan sesama perempuan), berkhalwat dan pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram. Dalam kata lain, apa jua berita dan maklumat yang boleh memudaratkan keturunan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung mestilah disekat daripada disebarkan melalui internet.

Sebenarnya prinsip memelihara keturunan ini merangkumi juga soal memelihara maruah (al-'Ird). Oleh itu, apa jua berita dan maklumat yang berunsur fitnah, khabar angin, gosip liar, tuduhan melulu, perihal dalaman rumahtangga, dan sengaja mendedahkan keaiban orang lain wajib dihindari.

Terakhirnya, berasaskan prinsip memelihara harta, para pengguna boleh menyebarkan pelbagai berita dan maklumat tentang pembinaan usahawan berjaya, iklan-iklan perniagaan, prinsip perniagaan menurut Islam, bahaya riba kepada masyarakat dan pelbagai berita dan maklumat lain yang berkisar kepada aspek tersebut. Berita dan maklumat yang boleh memudaratkan, merosakkan dan mensia-siakan harta seperti menggalakkan pencurian, perjudian, pembaziran, skim pelaburan cepat kaya, ekonomi kapitalis dan seumpamanya mesti ditapis, disaring dan disekat daripada disiarkan.

Jelaslah di sini, etika penggunaan gajet dari perspektif Islam yang dibina berasaskan pemeliharaan Maqasid al-Syari'ah ini adalah untuk memastikan alat komunikasi pada masa kini membawa berita dan maklumat yang penuh dengan nilai-nilai akhlak mulia serta moral yang tinggi. Dengan demikian sesuatu berita dan maklumat yang disebarkan itu akan menjadi sesuatu yang lebih bermakna serta bersifat membina pemikiran dan peradaban umat.

Secara lebih terperinci, terdapat beberapa kaedah fiqh yang boleh dijadikan panduan dan kayu ukur terhadap penyebaran sesuatu berita dan maklumat melalui internet ini. Semua kaedah ini boleh diguna pakai dalam membentuk etika penggunaan gajet dari perspektif Islam yang bermatlamat memelihara Maqasid al-Syari'ah. Antara kaedah fiqh tersebut adalah seperti kaedah dar'u mafsadah muqaddam 'ala jalb al-maslahah iaitu menolak keburukan adalah lebih diutamakan daripada mendatangkan kebaikan; la dharar wa la dhirar iaitu tidak boleh mencetuskan kemudaratan dan tidak boleh mengakibatkan kemudaratan; al-dharar yuzal iaitu kemudaratan boleh atau mesti dihapuskan; iza ta'arad mafsadatayn ru'iya a'zamahuma dhararan iaitu apabila bertentangan dua kemudaratan maka kemudaratan yang lebih besar itu lebih diutamakan (kemudaratan yang besar perlu diberi perhatian utama berbanding kemudaratan yang kecil untuk diambil sebarang tindakan bagi penyelesaian); al-dharar udfa' bi qadri al-imkan iaitu kemudaratan itu perlu ditolak seboleh mungkin; al-dharurah tubihu al-mahzurah iaitu darurat mengharuskan sesuatu yang dilarang; al-dharurah tuqaddar bi qadariha iaitu darurat diukur menurut kadar selayaknya; dan kaedah yukhtar ahwan al-syarrayn iaitu antara dua perkara yang buruk maka perlu dipilih yang paling ringan kesannya.

Penulis Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)

  • Created on .
  • Hits: 121

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024