USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: INDIVIDU BERUSIA BAWAH 50 TAHUN JUGA BERISIKO HIDAP PARKINSON

My Metro
Individu berusia bawah 50 tahun juga berisiko hidap Parkinson
Oleh Hazira Ahmad Zaidi | 6 Januari 2024

GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Kota Bharu: Individu yang berusia 50 tahun ke bawah berisiko menghidap penyakit Parkinson disebabkan faktor genetik.

Bagaimanapun hanya sebilangan kecil saja penghidap penyakit itu yang mempunyai sejarah keluarga menghidap Parkinson.

Penyakit Parkinson adalah penyakit kronik 'Neurodegenerative Disorder' yang boleh menyebabkan gangguan berterusan serta menyukarkan pergerakan tubuh dalam tempoh lama.

Penyakit itu timbul secara perlahan-lahan dengan kemerosotan dan kematian neuron tertentu di otak terutama kawasan yang mengawal gerakan.

Pakar Neurosurgeri, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Ang Song Yee berkata, terdapat empat tanda seseorang menghidap penyakit Parkinson iaitu sentiasa menggeletar, pergerakan menjadi lambat, badan menjadi keras dan ketidakseimbangan badan.

Katanya, gerakan gementar merujuk kepada pesakit yang akan perasan tangan atau kaki mereka menggeletar tanpa kawalan terutama semasa rehat.

"Manakala pergerakan menjadi lambat pula merujuk kepada setiap aktiviti yang dilakukan oleh seseorang individu itu menjadi lambat dan terganggu seperti berjalan, membuat kerja rumah dan aktiviti harian lain.

"Selain itu, tanda-tanda Parkinson juga dikaitkan dengan tangan dan kaki pesakit menjadi keras atau kaku dan sering mengalami ketidakseimbangan badan iaitu mudah jatuh terutama ketika berjalan atau bangun dari duduk," katanya.

Beliau berkata, kebiasaannya penyakit itu berlaku disebabkan 'Idiopathic' yang tidak diketahui bergantung kepada faktor genetik yang menyebabkan kemerosotan saraf otak.

"Penyakit Parkinson sebenarnya boleh dirawat melalui pembedahan 'deep brain stimulation' atau rangsangan otak. Namun, kaedah ini hanya untuk melengah atau melambatkan proses kemerosotan ubat.

"Pesakit biasanya akan dimasukkan ke wad dan dirujuk kepada pakar perubatan neurologi untuk menjalani ujian bagi melihat kesesuaian kepada pembedahan rangsangan otak.

"Pembedahan ini dapat membantu pesakit mengurangkan tanda-tanda penyakit selain membantu pesakit mendapat kualiti kehidupan yang lebih bagus.

"Selain itu, pembedahan 'deep brain stimulation' juga dipercayai dapat mengurangkan keperluan ubat-ubatan dan secara tidak langsung dos ubat makin berkurangan," katanya.

Katanya, antara komplikasi pembedahan 'deep brain stimulation' ialah jangkitan kuman dan pendarahan otak.

"Bagaimanapun, antibiotik akan diberi kepada pesakit untuk mengurangkan risiko jangkitan kuman dan kemudahan teknologi canggih 'image-guided surgery' (IGS) akan digunakan bagi mengelak alat yang dimasukkan terkena salur darah untuk mengurangkan risiko pendarahan otak.

"Dengan kemajuan serta perkembangan dalam bidang penjagaan kesihatan dan nutrisi, jangka hayat seseorang individu akan turut meningkat," katanya.

  • Created on .
  • Hits: 110

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024