USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: INDIVIDU 50 TAHUN KE ATAS BERISIKO HIDAP KANSER KOLOREKTAL

Berita Harian
Individu 50 tahun ke atas berisiko hidap kanser kolorektal
Oleh Hazira Ahmad Zaidi - Disember 30, 2023

Pakar Perunding Pembedahan Am dan Kolorektal Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Prof Dr Zaidi Zakaria menunjukkan bahagian usus besar sebelum diserang kanser. - Foto ihsan HUSM
Pakar Perunding Pembedahan Am dan Kolorektal Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Prof Dr Zaidi Zakaria menunjukkan bahagian usus besar sebelum diserang kanser. - Foto ihsan HUSM

KOTA BHARU: Kanser kolorektal atau kanser usus besar semakin meningkat di dunia dengan individu berumur 50 tahun ke atas lebih berisiko.

Pakar Perunding Pembedahan Am dan Kolorektal Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Prof Dr Zaidi Zakaria, berkata kanser berkenaan berlaku di bahagian kolon atau rektum dan kebanyakan dihidapi golongan lelaki.

Katanya, kanser kolorektal biasanya tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal dan penyakit itu biasanya bermula dengan polip (unjuran berbentuk jejari) di dalam usus sebelum berubah menjadi kanser.

"Individu yang menghadapi perubahan tabiat membuang air besar secara tiba-tiba perlu berwaspada kerana ia adalah antara simptom kanser kolorektal.

"Jika tabiat itu berlanjutan, segera ke klinik atau hospital berdekatan untuk menjalani ujian kerana jika dikesan di peringkat awal, peratus untuk sembuh masih tinggi," katanya.

Keadaan usus besar yang sudah diserang kanser. - Foto ihsan HUSM
Keadaan usus besar yang sudah diserang kanser. - Foto ihsan HUSM

Beliau berkata, simptom kanser kolorektal atau tanda amaran penyakit berkenaan boleh dikesan lebih awal sebelum ia menjadi kanser iaitu ketika polip.

"Namun, disebabkan tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat masih rendah, kebanyakan pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital biasanya sudah berada pada tahap tiga dan empat.

"Sekiranya sel kanser sudah berada pada tahap empat, peratusan untuk sembuh sepenuhnya rendah berikutan sel sudah merebak ke organ lain seperti paru-paru, hati, tulang dan otak," katanya.

Katanya, simptom utama kanser kolorektal ialah perubahan tabiat membuang air besar secara tiba-tiba iaitu daripada setiap hari menjadi dua hari atau lebih (sembelit) tanpa sebab.

"Manakala simptom-simptom lain pula ialah cirit-birit secara tiba-tiba, pendarahan dalam najis, sakit perut, muntah, perut berasa tidak selesa, kerap mengalami pedih perut atau kekejangan dan rasa kenyang atau kembung.

"Simptom lain yang agak lewat ialah seperti kurang selera makan sehingga berat badan susut serta kelesuan dan keletihan akibat kurang darah merah," katanya

Dr Zaidi berkata, terdapat beberapa ujian yang akan dijalankan untuk mengesan kanser kolorektal seperti ujian najis (FOBT – 'Fecal Occult Blood Test'), ujian sigmoidoskopi dan ujian kolonoskopi.

"Ujian najis (FBOT) adalah ujian yang dijalankan untuk mengesan darah dalam najis dengan mengambil sampel najis dan dihantar ke makmal untuk melihat kewujudan darah dalam najis.

"Manakala ujian sigmoidoskopi dan ujian kolonoskopi pula dijalankan secara memasukkan tiub melalui lubang dubur ke dalam rektum dan penghujung kolon untuk mengesan polip atau kanser di dalamnya.

"Ketika prosedur ini dijalankan, pakar boleh melihat dan membuang polip atau ketumbuhan yang dipercayai kanser serta mengambil sedikit tisu untuk ujian biopsi (pemeriksaan di bawah mikroskop bagi mengesan sel kanser)," katanya.

Katanya, kebanyakan rakyat Malaysia enggan melakukan ujian saringan awal dan mengambil mudah terhadap simptom kanser dengan alasan takut, malas dan tiada masa.

"Tahap kesedaran masyarakat kita masih rendah untuk menjalani ujian saringan kerana bagi mereka, selagi tidak sakit ujian saringan tidak perlu dilakukan.

"Kanser kolorektal boleh dikesan awal menerusi ujian kolonoskopi dan jika ketumbuhan belum menjadi kanser, ia sudah pasti dapat dirawat sekali gus mengelak menjadi kanser.

"Ini disebabkan ketumbuhan mengambil masa bertahun untuk menjadi kanser dan pencegahan awal lebih baik," katanya.

Beliau turut menasihatkan individu yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser menjalani ujian saringan untuk pengesanan awal sebagai langkah berjaga-jaga.

"Sekiranya tiada sejarah keluarga menghidap kanser terutama bagi individu berusia 50 tahun ke atas, mereka boleh menjalani ujian saringan untuk pengesanan awal kerana ia adalah langkah terbaik untuk mengenal pasti tanda dan gejala awal kanser kolorektal supaya rawatan boleh dijalankan secepat mungkin," katanya.

  • Created on .
  • Hits: 281

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024