USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: 61 ALUMNI PUSAT PENGAJIAN KOMUNIKASI USM BERTEMU SELEPAS 24 TAHUN

My Metro
61 alumni Pusat Pengajian Komunikasi USM bertemu selepas 24 tahun
Oleh Sudirman Mohd Tahir | 21 Disember 2023

Alumni bersama mantan Professor Komunikasi, USM.
Alumni bersama mantan Professor Komunikasi, USM.

Kuala Lumpur: Seramai 61 alumni dan empat bekas pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM) 'bersatu' semula selepas 24 tahun tamat pengajian.

Mantan Timbalan Naib Canselor (Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) tahun 2011-2019 yang juga mantan Dekan dan Profesor Pusat Pengajian Komunikasi USM, Datuk Dr Adnan Hussien berkata, pertemuan itu bagi menyantuni dan menjalin semula ukhwah persahabatan.

"Tahniah kepada jawatankuasa kerana berjaya melaksanakan majlis makan malam dengan menghimpunkan lebih 60 kehadiran alumni komunikasi tahun 1995 hingga 1999.

"Walaupun sudah bertahun, kebanyakannya saya masih ingat. Banyak kenangan menarik, indah dan melucukan. Saya berasa bangga dengan pencapaian semua alumni komunikasi dalam kerjaya masing-masing dengan sumbangan besar kepada negara," katanya.

Turut hadir, mantan Profesor Komunikasi Dr Mohammed Zin Nordin dan Dr Mustaffa Kamal Anuar.

Alumni juga pensyarah di Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi Universiti Islam Selangor (UIS) Rahmatunnisah Sailin berkata, penganjuran majlis itu sesuatu yang sangat istimewa dan penuh makna.

"Jelas terpancar wajah keterujaan, gembira dan hiba yang benar-benar mengimbau kenangan pahit manis zaman remaja dan bergelar mahasiswa di USM. Semoga penganjuran majlis ini akan meninggalkan kenangan terindah buat semua dan ikatan persahabatan kami kekal selamanya.

Alumni Komunikasi USM tahun 1995 hingga 1999 yang menyertai majlis 'reunion'.
Alumni Komunikasi USM tahun 1995 hingga 1999 yang menyertai majlis 'reunion'.

"Biarpun masing-masing sibuk dengan tugasan harian tetapi masih mampu memberi komitmen padu untuk hadir. Jarak perjalanan dari Pulau Pinang, Johor, Melaka, Perak, Terengganu dan Pahang tidak menjadi halangan," katanya.

Pada majlis itu, alumni turut dikejutkan dengan tayangan video gabungan paparan majlis konvokesyen dan ketika sedang melaksanakan pelbagai tugasan yang dilatari dengan lagu dari filem Ali Setan yang menjalankan penggambaran di USM ketika itu.

  • Created on .
  • Hits: 182

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024