USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: MAJED HILANG 25 ALI KELUARGA AKIBAT REJIM ISRAEL

Kosmo
Majed hilang 25 ahli keluarga akibat rejim Israel
Oleh SAFINA RAMLI | 18 Disember 2023


Majed (kanan) ketika menerima sumbangan RM2,000 yang disampaikan Dr. Awan (dua dari kiri) di USM, hari ini. Foto oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

GEORGE TOWN – Kehilangan 25 ahli keluarga akibat dibom rejim Zionis di Gaza merupakan kenangan pahit yang tidak dapat dilupakan buat selama-lamanya buat seorang pelajar warga Palestin, Majed F.S. Habib, 44.

Malah tambah menyayat hati, Majed yang merupakan pelajar Ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang komunikasi di Universiti Sains Malaysia (USM) memaklumkan, terdapat jasad beberapa orang sepupunya yang berkubur di bawah runtuhan bangunan kediaman mereka di Shija’iah, Gaza yang musnah akibat dibom tentera Israel.

Majed yang sebelum ini bertugas sebagai pensyarah di sebuah universiti awam di Gaza berkata, sejak konflik antara Palestin dan rejim Israel berlaku awal Oktober lalu, kehidupannya di Pulau Pinang berubah sama sekali disebabkan sukar menumpukan perhatian dalam pelajaran kerana terkenangkan nasib isteri dan ahli keluarganya di Gaza.
ADVERTISING

“Setakat ini isteri, dan ahli keluarganya terselamat selepas dua bangunan yang mereka diami di Shija’iah musnah dibom rejim Israel.

“Dalam kejadian pengeboman itu, ramai sepupu dan ahli keluarga saya terkorban malah ada mereka tidak dapat dikeluarkan daripada runtuhan bangunan kerana situasinya tidak selamat,” katanya ditemui di USM di sini, hari ini.

Terdahulu, Majed menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM2,000 daripada pihak USM sebagai tanda USM bersolidariti bersama Palestin dan melalui agenda itu, sebanyak 53 orang pelajar warga Palestin yang melanjutkan pengajian di USM menerima sumbangan tersebut.-KOSMO! ONLINE

  • Created on .
  • Hits: 135

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024