USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: IJAZAH 'HADIAH' BUAT ARWAH AYAH

My Metro
Ijazah 'hadiah' buat arwah ayah
Oleh Zuhainy Zulkiffli | 27 November 2023

MUHAMMAD Nooryasin mendedikasikan kejayaannya kepada arwah bapanya. FOTO Danial Saad
MUHAMMAD Nooryasin mendedikasikan kejayaannya kepada arwah bapanya. FOTO Danial Saad

Georgetown: "Beberapa bulan sebelum ayah meninggal dunia, arwah berulang kali beritahu dia mahu datang ke hari konvokesyen melihat saya ambil ijazah di atas pentas.

"Saya cakap pada ayah ia akan berlaku tidak lama lagi, namun tidak sangka arwah terlebih dahulu meninggalkan kami," kata Muhammad Nooryasin Kamaruddin, 24.

Muhammad Nooryasin adalah graduan program dwiijazah bagi pengajian sepenuh masa Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dengan program Pengajian Jarak Jauh (PJJ), Sarjana Muda Sastera di Universiti Sains Malaysia (USM).

Arwah bapa Muhammad Nooryasin, Kamaruddin Mohd Yassin, 63, yang juga veteran tentera meninggal dunia pada Disember tahun lalu selepas terlantar akibat serangan angin ahmar sejak 2020 manakala ibu pula seorang suri rumah.

Bercerita lanjut, Muhammad Nooryasin berkata, keluarganya tiada pendapatan tetap dan hanya bergantung kepada wang pencen bapanya berjumlah RM800 sebulan.

"Wang itulah yang digunakan bagi membayar sewa rumah selain pelbagai utiliti dan ketika memberitahu ayah saya melanjutkan pengajian dwi-ijazah, saya fikirkan arwah akan membantah kerana memerlukan kos belajar yang tinggi.

"Rupa-rupanya, ayah beritahu bahawa dia sangat gembira serta beri dorongan selain berpesan supaya membantu keluarga jika dapat 'kerja yang bagus-bagus' kelak," katanya yang menetap di Perlis itu ketika ditemui selepas Upacara Konvokesyen ke-61 USM, semalam.

Muhammad Nooryasin berkata, berikutan tidak mahu membebankan keluarga, dia turut bekerja sambil belajar dan akhirnya dapat mengusahakan sendiri kedai baiki telefon di dalam kampus menerusi program keusahawanan USM.

"Ayah dan keluarga sebenarnya jadi kekuatan malah saya menganggap cabaran itu hanya datang dan pergi selepas kita berjaya mengatasinya.

"Saya menyambung pengajian dalam program dwi-ijazah ini selepas 'terpengaruh' dengan rakan sekuliah dan gembira kami dapat naik ke pentas serta tamat pengajian bersama-sama," kata anak keempat daripada lima beradik itu lagi.

  • Created on .
  • Hits: 142

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024