USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: TAK MENYESAL BERHENTI PENGAJIAN A-LEVEL

My Metro
Tak menyesal berhenti pengajian A-Level
Oleh Zuhainy Zulkiffli | 21 November 2023

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera Universiti Sains Malaysia (USM) Muhamad Hafizi Mohd Hanafi, 24, bersama hadiah Pingat Emas Canselor yang diterima ketika Upacara Konvokesyen ke-61 USM, di sini. FOTO IHSAN USM
Graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera Universiti Sains Malaysia (USM) Muhamad Hafizi Mohd Hanafi, 24, bersama hadiah Pingat Emas Canselor yang diterima ketika Upacara Konvokesyen ke-61 USM, di sini. FOTO IHSAN USM

Georgetown: Berhenti belajar pengajian A-Level di sebuah universiti swasta tujuh tahun lalu ternyata bukan keputusan yang salah buat Muhamad Hafizi Mohd Hanafi, 24.

Malah graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera Universiti Sains Malaysia (USM) itu amat berbangga kerana impiannya bagi bergelar pendidik sejak di bangku sekolah semakin terlaksana.

Muhamad Hafizi yang berasal dari Machang, Kelantan berkata, selepas mendapat keputusan baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia menerima tawaran biasiswa Petronas bagi menyambung pengajian ke peringkat A-Level dalam bidang ekonomi.

Namun selepas sebulan berlalu, dia ambil keputusan berhenti pengajian kerana sukar mengikuti pelajaran dalam bidang terbabit.

"Sepatutnya selepas dua tahun di peringkat A-Level, saya bakal menyambung pengajian ke luar negara, namun saya dapati tidak berbaloi jika teruskan belajar tanpa ada matlamat.

"Berikutan lebih meminati bidang pendidikan, saya mendaftar tingkatan enam di sebuah sekolah sebelum menyambung pengajian di USM," katanya selepas Upacara Konvokesyen USM Ke-61 yang dipengerusikan Pro-Canselor Tan Sri Datuk Dr M Jegathesan.

Pada upacara yang bermula hari ini sehingga 27 November bagi meraikan 8,166 graduan pelbagai bidang, Muhammad Hafizi terpilih menerima Hadiah Pingat Emas Canselor.

Muhammad Hafizi berkata, sepanjang pengajian, dia sudah beberapa kali menjalani latihan praktikal di beberapa sekolah dengan pelbagai latar belakang termasuk di bandar dan luar bandar.

Katanya, dia turut melakukan kerja sambilan sepanjang pengajian bagi menampung perbelanjaan di universiti kerana tidak mahu membebankan kewangan ibunya.

"Semasa berhenti belajar A-Level, saya terima pelbagai cemuhan namun ketika berada sejauh ini, saya dapati keputusan itu adalah tindakan tepat kerana saya ada matlamat dan fokus dalam kehidupan.

"Impian saya hanya satu, mahu jadi pendidik anak bangsa serta sudah bersedia mengharungi cabaran dalam pendidikan.

"Berikutan saya menerima biasiswa daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selama lima tahun dan selepas itu saya akan pertimbangkan bagi menyambung pengajian ke peringkat tertinggi," katanya.

  • Created on .
  • Hits: 142

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024