BERITA DALAM TALIAN: USM, SPACEIN LANCAR SATELIT KECIL SPACEANT-D
Harian Metro
USM, SpaceIn lancar satelit kecil SpaceANT-D
Oleh Nur Izzati Mohamad | 12 November 2023
Nibong Tebal: Universiti Sains Malaysia (USM) dan SpaceIn Sdn Bhd melakar sejarah dengan pelancaran satelit kecil pikopertama Malaysia dikenali SpaceANT-D.
Pelancaran sekitar jam 2.30 pagi waktu tempatan itu menggunakan roket Falcon 9 milik Space X dari Vandenberg Space Force Base, California, Amerika Syarikat
Ketua Pegawai Eksekutif SpaceIn Sdn BhdDr Norilmi Amilia Ismail, berkataSpaceANT-D akan dilepaskan daripada 'deployer' (pengerahan) 'Alba Orbital' dalam masa tujuh ke 10 hari lagi sebelum isyarat pertama satelit dihantar ke stesen bumi.
"SpaceANT-D berukuran 5x5x5 sentimeter (cm) dan berat kurang dari 250 gram (g) ini akan mendemonstrasikan misi penstoran dan penghantaran data untuk aplikasi IoT.
"Ia dinamakan SpaceANT-D (Space Advance Network Technology) berikutan satelit ini akan menerima data daripada sensor di bumi dan kemudiannya data ini dihantar semula ke stesen bumi.
"Daripada stesen bumi, data akan dihantar ke 'cloud' untuk memudahkan pengambilan data oleh pengguna," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Jelasnya, misi itu adalah hasil usaha bersama antara USM dan Persatuan Pemancar Radio Amatur Malaysia (MARTS) dan menandakan pencapaian penting dalam usaha negara untuk mencapai Malaysia Space Exploration 2030.
"Pelancaran satelit ini juga menunjukkan komitmen USM dan SpaceIn untuk membangunkan bakat tempatan, menggalakkan inovasi dan memajukan industri angkasa di Malaysia.
"SpaceIn bercita-cita untuk memimpin aktiviti penjelajahan angkasa di Malaysia dan kami percaya dengan pengurangan kos melalui penggunaan satelit kecil akan memberi lebih banyak peluang kepada semua untuk menggunakan teknologi angkasa bagi menyelesaikan pelbagai masalah industri dan kehidupan," katanya.
Antara industri tumpuan untuk penggunaan satelit SpaceANT itu adalah industri pertanian, perhutanan serta minyak dan gas.
- Created on .
- Hits: 221