USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: USM, SPACEIN LANCAR SATELIT PIKO PERTAMA MALAYSIA

BERNAMA
USM, SPACEIN LANCAR SATELIT PIKO PERTAMA MALAYSIA
Oleh BERNAMA | 12 November 2023

Screenshot 2023 11 12 at 11.37.43 PM

GEORGE TOWN, 12 Nov (Bernama) - Universiti Sains Malaysia (USM) dan Spaceln San Bhd, sebuah syarikat spin-off USM yang terlibat dalam pembuatan satelit kecil dan perkhidmatan Internet benda (loT) melakar sejarah dengan pelancaran satelit piko pertama Malaysia, SpaceANT-D hari ini.

USM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelancaran berkenaan menggunakan roket Falcon 9 milik Space X dari Vandenberg Space Force Base, California pada 2.47 pagi waktu tempatan.

"SpaceANT-D akan dilepaskan daripada 'deployer' Alba Orbital dalam masa tujuh ke 10 hari lagi dan kemudiannya isyarat pertama satelit akan dihantar ke stesen bumi. SpaceANT-D berukuran 5x5×5 sentimeter dan berat kurang daripada 250 gram itu akan mendemonstrasikan misi penstoran dan penghantaran data untuk aplikasi loT.

"Dinamakan 'Space Advance Network Technology' (SpaceANT), ia akan menerima data daripada sensor di bumi dan kemudiannya data dihantar semula ke stesen bumi. Dari stesen bumi, data akan dihantar ke 'cloud' untuk memudahkan pengambilan data oleh pengguna," menurut kenyataan itu.

Menurut USM, misi berkenaan merupakan hasil usaha bersama antara universiti itu, Spaceln dan Persatuan Pemancar Radio Amatur Malaysia (MARTS) dan menandakan pencapaian penting dalam usaha negara untuk mencapai Esplorasi Angkasa Malaysia 2030.

Kenyataan itu memaklumkan pelancaran satelit berkenaan juga menunjukkan komitmen USM dan Spaceln untuk membangunkan bakat tempatan, menggalakkan inovasi dan memajukan industri angkasa di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Spaceln Dr Norilmi Amilia Ismail dalam kenyataan sama berkata pihaknya gembira dengan pelancaran itu dan Spaceln bercita-cita untuk memimpin aktiviti penjelajahan angkasa di Malaysia.

"Kami percaya dengan pengurangan kos melalui penggunaan satelit kecil akan memberi lebih banyak peluang kepada semua untuk menggunakan teknologi angkasa bagi menyelesaikan pelbagai masalah industri dan kehidupan.

 "Antara industri tumpuan Spaceln untuk penggunaan satelit SpaceANT ini ialah industri pertanian, perhutanan serta minyak dan gas," katanya.

Spaceln merupakan satu daripada pemenang program 'accelerator' SUPERB yang ditawarkan oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), sebuah agensi tindakan afirmatif bumiputera yang strategik yang ditubuhkan pada 2011 di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Geran yang dimenangi telah digunakan untuk membiayai pembangunan SpaceANT-D dan Spaceln juga menerima dana daripada Cradle untuk pembangunan pusat data satelit di USM.

~ BERNAMA

  • Created on .
  • Hits: 183

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024