BERITA DALAM TALIAN: DARI JALANAN, KINI KUCING VIP
Berita Harian
Dari jalanan, kini kucing VIP
Oleh Zuhainy Zulkiffli | 6 November 2023
USM NEWS PORTAL
Written on .
Berita Harian
Dari jalanan, kini kucing VIP
Oleh Zuhainy Zulkiffli | 6 November 2023
MENGULANGKAJI pelajaran dengan bertemankan si bulus, bagaikan satu terapi minda buat pelajar yang mengunjungi tempat perlindungan kucing di Minden 11800, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Dalam suasana santai pelajar dan warga universiti berkenaan ditemani kucing itu sekali gus dapat mengurangkan tekanan dihadapi.
Ketika melangkah masuk ke ruangan Minden 11800, pengunjung seperti berada di rumah dengan sekali-sekala kelibat haiwan comel itu berlari-lari atau tidur di atas kusyen.
Inilah dunia 10 ekor kucing jalanan yang diselamatkan dan bebas bermain di ruang belajar.
Walaupun, hanya 10 ekor kucing comel, keletahnya membuatkan ramai leka dan terpesona melayaninya. Mereka bebas singgah di Minden 11800 yang dibuka setiap hari kecuali Ahad, jam 10 pagi hingga 6 petang.
Tempat perlindungan kucing pertama di universiti
Bagi sukarelawan, Siti Anis Dalila Muhammad Zahir, 27, berkata Minden 11800 ditubuhkan pada Oktober 2021, juga menjadi tempat perlindungan kucing dalam universiti yang pertama di Malaysia.
Tempat perlindungan kucing itu diselia oleh 10 sukarelawan, iaitu pelajar, kakitangan USM dan individu, selain dilengkapi pelbagai kemudahan.
Belajar dalam suasana santai sambil melihat gelagat si bulus cukup menenangkan. - NSTP/Zuhainy Zulkiffli
Kini ada semua kucing jalanan itu yang diselamatkan dan bebas bermain di ruang belajar.
"Gelagat manja amat menghiburkan, sekali gus dapat mengurangkan tekanan terutama kepada pelajar.
"Ia menawarkan persekitaran tenang dan pelajar boleh bermain-main dengan kucing seperti di rumah. Ramai kalangan warga universiti juga memberi maklum balas positif.
"Setiap kucing diselamatkan divaksin dan dirawat sebaiknya sehingga sihat, malah sukarelawan juga memastikan ruang belajar di sini kekal bersih," katanya juga Alumni USM.
Dilayan bagaikan VIP
Kakitangan USM, Balqis Faqihah Rajak, 24, berkata, pihaknya memperuntukkan kira-kira RM1,000 sebulan bagi kos pembelian makanan dan kegunaan perubatan kucing terbabit.
Wang itu hasil sumbangan pelajar dan orang ramai yang berkunjung ke Minden 11800, malah ada menderma barangan seperti pasir, makanan, aksesori dan alat permainan.
"Ketika ini, kami menangguhkan dulu mengambil kucing jalanan kerana dana tidak mencukupi, namun akan menyelamatkan lebih banyak lagi si comel itu sekiranya sudah bersedia.
"Di sini, si bulus dijaga bagaikan 'kucing VIP' dan tinggal dalam tempat perlindungan yang dilengkapi pendingin hawa ," katanya.
Balqis Faqihah berkata, semua kucing itu mempunyai kisah tersendiri ketika diselamatkan sehingga diberi sepenuh penjagaan dan kasih sayang dalam kalangan pengunjung di Minden 11800.
Minden 11800 menjadi tempat perlindungan kucing dalam universiti yang pertama di Malaysia. - NSTP/Zuhainy Zulkiffli
Antaranya ialah Oyen, berusia 10 bulan, yang ditemukan pada enjin kereta pelajar pada Januari lalu dan ketika dihantar ke Minden 11800, ia berada dalam keadaan trauma, ketakutan serta agak sukar ditempatkan bersama kucing lain.
"Seekor lagi kucing diberi nama Mimi, ditemui ketika ditinggalkan di hadapan bangunan ini pada Oktober lalu, selepas itu ia bunting serta Mochi dan Bobby yang dipanggil 'anak USM'.
"Kisah bulus 'tiga beradik' ini pula, ceritanya menyedihkan, sudahlah dibuang di hadapan masjid, seekor daripadanya mati dimakan anjing manakala dua lagi, Koko dan Kiki berada dalam keadaan trauma bagi tempoh yang agak lama.
"Pada mulanya, kami membuka peluang bagi orang ramai memelihara Koko dan Kiki, namun selepas beberapa minggu menjaga mereka, timbul rasa sayang dan kami bersepakat untuk terus menjaganya.
"Kiki masih dirawat akibat penyakit Feline Coronavirus manakala Koko yang mempunyai ulser baharu saja diberi suntikan vaksin," katanya lagi.
'Tok Tam' Minden 11800
Pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Nurhafizul Abu Seri, 26, berkata pada mulanya dia ke Minden 11800 untuk mengulangkaji pelajaran, namun 'jatuh cinta' kucing di situ menyebabkan dia terus menjadi sukarelawan.
Antara bulus kesayangan di bawah jagaannya ialah kucing hitam digelar 'Tok Tam' berusia empat bulan yang ditemui oleh Mantan Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan sebelum diserah kepada penjagaan Minden 11800.
Katanya, gelaran 'Tok' itu simbolik kepada 'Datuk' Faisal yang menyelamatkannya dan ketika ditemukan di hadapan rumah mantan naib canselor itu, ia dalam keadaan nazak, terlalu kurus, badan dipenuhi najis dan banyak kutu.
"Tok Tam kemudian dikuarantin tiga bulan ketika fasa pemulihan terutama bagi memastikan bebas daripada kutu dan mengambil masa bagi bergaul dengan kucing lain.
Siti Anis Dalila (kiri) dan Balqis Faqihah bersama Kiki dan Koko yang diselamatkan dan kini ditempatkan di tempat perlindungan kucing Minden 11800 USM. - NSTP/ Zuhainy Zulkiffli
"Tok Tam agak garang dan sukar mandikannya, tapi ketika mengeringkan bulunya, dia sudah boleh dikawal dan kini kucing itu paling disayangi," katanya peminat kucing boleh melayari Instagram catsofminden bagi mengikuti perkembangan mereka.
Pelajar ditemani kucing jalanan yang kini dilayan bagaikan VIP di Minden 11800.- NSTP/Zuhainy Zulikiffli
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel :
All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024